Seringkali kita sering memarahi anak untuk perkara yang kita nampak. Kadang-kala kita lupa untuk memunasabah diri tentang perkara itu mungkin sebenarnya lain daripada apa yang difikirkan.

 

Apa Yang Kita Nampak

adhd-djecak-pred-plocom

wordpress

Umur saya 6 tahun, saya sekolah di pra-sekolah. Budak-budak takut kawan dengan saya sebab kata saya ‘jahat’. Ada yang tarik baju saya dan kata saya ‘budak tak betul’.

Cikgu selalu marah sebab kata saya tidak boleh duduk diam, tidak mahu ikut aktiviti macam murid lain dan selalu ganggu mereka. Saya tidak boleh bagi tumpuan lama-lama. Kalau kerja sekolah susah saya tidak mahu buat sebab saya tidak tahan tengok buku lama-lama.

Saya tidak boleh duduk satu tempat lama-lama. Jadi saya tidak tahan kalau kena berbaris, kena tunggu giliran atau kena duduk di kerusi melukis lama-lama. Ummi saya tidak boleh bawa saya ke shopping mall sebab saya ‘buat benda bahaya’.

Saya lari ke jalan dan tak pandang kereta atau motor lalu. Saya selalu kena marah sebab ‘buat’ adik. Kadang-kadang saya tengok ummi dan ayah geleng kepala tidak larat kawal saya.

Dua minggu sekali saya pergi terapi, kemudian jumpa doktor dan kena makan ubat. Orang kata saya “tak normal”, saya budak “OKU”. Dulu ummi susah nak cari orang jaga saya sebab semua orang tidak tahan jaga saya. Jiran-jiran pun tidak mahu beri anak dia main dengan saya sebab saya ganas.

Saya pernah tengok ummi menangis. Saya tidak tahu kenapa.

 

Apa Yang Orang Tidak Nampak

Doktor kata saya ada ADHD. Maknanya ada masalah dengan aktiviti otak di bahagian inferior prefrontal cortex bahagian kanan dan kiri caudate menyebabkan fungsi eksekutif otak hadapan saya terganggu.

Bahagian ini mengawal tumpuan dan tingkah laku. Bila bahagian ini terganggu, maka saya sukar mengawal tingkah laku dan tidak boleh fokus pada sesuatu seperti orang lain.

Doktor juga beritahu, ada kajian oleh NIMH menunjukkan otak kanak-kanak dengan ADHD 3-4% lebih kecil. Ada kes yang perlu ubat untuk stabilkan bahan kimia otak bernama dopamine dan serotonin. Doktor kata ubat ini bukan untuk buat saya jadi bodoh dan bukan juga ubat ‘gila’.

Selain ubat, doktor suruh ummi bawa saya ke cikgu OT untuk belajar ‘fokus’ dan ‘behavioural modification’. Saya tidak tahu apa tapi saya seronok sebab cikgu ajar saya seorang sahaja. Tidak ada budak lain buli saya.

Doktor kata ada budak yang boleh sembuh, ada juga yang ada ADHD sampai besar. Tapi apa pun, macam ummi kata, saya nak jadi anak yang soleh, berguna walaupun saya ada ADHD.

Kalaupun saya tak dapat straight A macam budak lain, saya juga nak berjaya. Berjaya dalam definisi saya sendiri.

Sebab doktor, ummi dan ayah cakap, bukan salah saya. Saya bukan budak nakal, jahat, ganas atau budak ‘hyper’.

Saya ada ATTENTION DEFICIT AND HYPERACTIVITY DISORDER

Penulis: Dr Rozanizam Zakaria

Dr Rozanizam Zakaria

Merupakan seorang doktor dalam bidang psikiatri dan motivasi minda. Merupakan penulis buku "Aku Nabi Isa!.." dan banyak berkongsi tentang ilmu psikologi anak-anak. Beliau boleh dihubungi di Facebook.

    Tinggalkan Komen!


    Langgan Info Kami

    Berkaitan


    .