Tidak dinafikan makanan yang mempunyai lemak dan berminyak memang sangat sedap untuk di makan. Bayangkan sendiri jika dapat makan sup tulang bersama lemak goreng dengan nasi panas. Ataupun bayangkan juga betapa sedapnya jika dapat makan burger daging dengan kentang goreng rangup yang best!

Namun sedarkah kalian yang hakikatnya makanan sedap begini tidak bererti bagus untuk kesihatan. Buktinya makanan yang berlemak ini boleh menyebabkan kegemukan disebabkan adanya kandungan lemak tepu yang sukar untuk dihilangkan dari tubuh. Bak kata mudah, dah macam kesan kotoran degil yang sukar untuk dihilangkan dari kolar baju yang berwarna putih.

Jom Kita Kenali Apa Itu Lemak Tepu

Jumlah lemak tepu yang berlebihan di dalam diet makanan harian bukanlah satu perkara yang baik. Ini kerana lemak tepu ini sebenarnya boleh menjadi penyebab untuk penyakit jantung dan strok. Menurut WHO, jumlah pesakit untuk penyakit jantung koronari dan strok telah meningkat kepada lebih daripada 14.1 juta nyawa setahun.

Tidak dinafikan bukannya mudah untuk menghindari lemak tepu ini. Kerana itu, lemak tepu tidak bererti perlu terus dihentikan pengambilannya buat selama-lamanya. Apa yang perlu dilakukan adalah dengan menghadkan pengambilan lemak tepu daripada jumlah yang banyak kepada jumlah yang lebih sedikit.

Kiranya jika dulu asyik makan makanan berlemak dan berminyak setiap hari maka selepas ini jarakkannya dengan hanya di ambil dalam masa beberapa kali seminggu dan selepas itu beberapa kali sebulan. Tidak mengapa, selain dari goreng kan ada banyak lagi kaedah lain untuk urusan masak memasak. Bakar, kukus dan rebus juga boleh menjadi kaedah masakan yang bagus untuk pelbagai menu yang sedap.

Lemak Tepu Boleh Menjadi Penyebab Untuk Banyak Penyakit

Walaupun badan anda memang memerlukan lemak di dalam badan untuk berfungsi dengan baik, anda seharusnya mengelakkan dari pengambilan lemak tepu yang banyak. Lemak tepu berpunca dari makanan seperti lemak pada daging, mentega, susu, keju, dan pelbagai lagi jenis makanan yang lain.

Walaupun sesetengah lemak tepu itu boleh dimakan, tetapi terlalu banyak lemak tepu boleh meningkatkan kadar kolesterol yang mana akan menyebabkan saluran darah tersumbat. Keadaan salur darah tersumbat inilah yang akan menyebabkan berlakunya serangan strok dan serangan jantung.

7 Jenis Makanan Tinggi Lemak Tepu Yang Perlu Dihadkan Pengambilannya

1 – Mayonis

Bahan yang digunakan untuk menghasilkan mayonis adalah telur putih dan juga minyak masak. Minyak yang digunakan untuk pembikinan mayonis ini sememangnya adalah di dalam kuantiti yang sangat banyak. Kerana itu mayonis dikategorikan sebagai makanan kurang khasiat.

Namun masih tetap ada cara untuk menikmati mayonis ini sebenarnya. Salah satu cara terbaik untuk makan mayonis adalah dengan menyediakan salad dengan campuran pelbagai sayur segar dan letakkanlah mayonis ini sebagai sos.

2 – Marjerin, Mentega atau Planta

Tidak kisah apa panggilan untuknya sama ada marjerin, mentega mahupun planta. Yang penting kandungan bahan ini adalah lebih tinggi daripada maonis itu tadi. Jika benar sayangkan tubuh badan sendiri adalah sangat elok untuk hindarkan diri dari makan banyak makanan ini. Cukuplah sekadar 1-2 sudu mentega sehari dengan cara menikmatinya sebagai sapuan pada roti bakar dan lain-lain.

3 – Whipped Cream

Whipped cream mungkin ada yang kenal dan mungkin juga ada yang tidak. Whipped cream ini sebenarnya sering digunakan di dalam pembuatan pencuci mulut terutama dengan gaya inggeris. Ia juga seringkali digunakan dalam pembikinan kek. Kandungan lemak tepu dalam whipped cream memang tersangat tinggi dan tidak hairanlah mengapa ramai penggemar makanan pencuci mulut yang berubah bentuk tubuh menjadi semakin gemuk selepas sering menikmatinya dalam jangkamasa yang lama.

4 – Keju

Keju memang ada khasiat di dalamnya tapi hakikat yang keju ini turut mengandungi lemak tetap tidak boleh disangkal. Jika hendak nikmati keju memadailah dengan hanya mengambilnya dalam kuantiti yang sedikit. Jangan terlalu obses dengan rasanya yang sedap berlemak kerana hakikatnya keju ini boleh menyebabkan kesihatan tubuh merosot jika terus di makan secara keterlaluan tanpa had.

5 – Lemak Haiwan

Cari pengganti yang lebih rendah dalam lemak tepu dan baik untuk kesihatan. Sebagai contoh boleh digunakan minyak herba dan ghee buatan sendiri bagi mengantikan lemak haiwan seperti dari daging, kulit ayam dan sebagainya.

6 – Makanan Yang Digoreng

Makanan yang dimasak dengan cara goreng juga turut mengandungi kandungan lemak tepu yang tinggi. Makanan goreng seperti kentang goreng, ayam goreng, dan sebagainya sama sekali harus dielakkan. Jika benar-benar rasa teringin untuk menikmati menu sebegini, anda boleh gunakan minyak zaitun untuk proses menggoreng bagi mengantikan minya sawit biasa. Rasanya juga akan bertambah sedap!

7 – Kek Aising

Satu lagi makanan yang mengandungi kandungan lemak tepu yang agak serius adalah kek aising. Lagi-lagi jika lapisan krim di atasnya. Nampak memang sedap tapi ia juga boleh beri kesan yang tidak baik untuk kesihatan. Nak makan kek tak salah tapi ada baiknya di beli kek yang fokus dengan penggunaan bahan mentah sihat atau buat saja sendiri di rumah dengan menggunakan gula perang gelap, tepung multigrain, dan pemanis semulajadi seperti madu.

7 Petua Terbaik Bagaimana Untuk Hindari Lemak Tepu Dalam Badan

Terdapat beberapa cara untuk mengurangkan pengambilan lemak tepu ke dalam badan dan seterusnya membantu meningkatkan kesihatan anda dengan lebih baik untuk jangkamasa yang panjang.

#1 – Kurangkan pengambilan kuantiti daging merah dalam diet harian

#2 – Gunakan lebih banyak minyak zaitun di dalam masakan berbanding dengan minyak sawit biasa

#3 – Hindarkan diri dari memakan kulit ayam dan lemak lembu terutama dalam menu sup dan juga yang di goreng.

#4 – Ambil tahu ilmu kalori dan ketahui jumlah sebenar berapa banyak lemak yang badan anda perlukan untuk setiap hari

#5 – Penting untuk elakkan diri dari makan makanan sejuk beku yang banyak terjual di pasaraya

#6 – Tambahkan supplement Omega 3 ke dalam menu diet harian anda untuk berikan tahap kecergasan yang lebih tinggi pada tubuh

#7 – Kurangkan pengambilan hasil produk tenusu di dalam menu makanan seharian. Jika ingin makan keju pilih yang rendah lemak dan jika ingin minum susu pilih susu jenis tepung dari susu lemak penuh.

Bentuk Badan Yang Kurus Tidak Bererti Tiada Lemak Tepu!

Anda jangan ingat mereka dengan keadaan fizikal yang agak ‘besar’ saja punya masalah lemak tepu ini. Tidak! Anda yang berbadan ramping juga boleh menjadi pengumpul lemak tepu yang berjaya jika sama sekali tidak menjaga tahap pemakanan masing-masing.

Mulai hari ini kita sama-sama usaha untuk ubah corak pemakanan kerana dengan cara itu tubuh badan kita di masa yang akan datang lebih kekal sihat dan terbaik.

Sumber :

Penulis: Siti Awadah

Avatar

Isteri dan ibu kepada 6 cahayamata. Berpendidikan di dalam bidang bisnes dengan kerjaya tetap sebagai penulis bebas. Gemar berkongsi mengenai sirah Islam, isu rumahtangga dan keibubapaan berdasarkan pembacaan dan pengalaman sendiri.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.