Menjadi ibu dan ayah buat pertama kali pastinya mengujakan kita semua. Namun, langit tidak sentiasa cerah. Sesekali, pasti berlaku situasi yang mencabar emosi kita.

Emosi negatif ini perlu diubah kembali kepada emosi positif dengan kadar segera agar ianya tidak mengganggu urusan dalam kehidupan seharian kita.

Kali ini, saya kongsikan cara untuk mengaktifkan 5 deria asas kita untuk mendapatkan ‘emotional spark’  yang positif. Ia boleh digunakan apabila diri kita berasa ‘down’  dan ‘mood’  dalam keadaan kurang baik.

Foto Kredit : sonitips.weebly.com

5 DERIA ASAS

Bagaimanakah cara untuk mengubah emosi negatif kita secara pantas dengan menggunakan 5 deria asas kita?

Sepertimana yang kita tahu, kita mempunyai 5 deria asas dan ia telah diaktifkan semenjak kita bayi dan sepanjang kita membesar.

Apabila kita membesar, kita akan mula lebih atau kurang cenderung kepada mana-mana deria tersebut. Namun, apabila kelima-lima deria ini digabungkan dan diaktifkan, seluruh diri kita akan menjadi lebih sihat dan seimbang.

Setiap deria mempunyai pengalaman peribadi tersendiri yang kita gemari mengikut kecenderungan di hati kita dan dapat diingati melalui anggota badan (sometimes minds forget but our body remember).

Sesetengah individu apabila trauma dan fobia, sangat berkesan dibantu dengan teknik asas dalam bantuan kecemasan : contoh ‘breathing’  untuk jantung, melihat benda / alat tertentu, bau tertentu yang kuat, dengar bunyi yang kuat, dan sentuhan, agar mereka kembali kepada dunia realiti semasa.

Untuk emosi harian kita, ada caranya juga.

Foto Kredit : worldatlas.com

5 LANGKAH MUDAH

Baru-baru ini, saya kongsikan dan buat latihan bersama peserta Seminar Jangan Marah Saya,  untuk mengenalpasti aktiviti di bawah 5 deria asas ini, yang mana apabila dilakukan atau dialami semula, ‘mood’  negatif boleh diubah kepada ‘mood’  positif.

Ini kerana, pengalaman peribadi paling positif sebenarnya sentiasa ada bersama di dalam diri kita. (Rujukan asal aktiviti dari sini)

Ingat, apabila kita dalam keadaan lemah, dan mungkin diri berasa tidak kuat, anggota badan kita sebenarnya sangat cekap dan boleh membantu kita untuk kembali positif.

Cuma kita perlu berlatih dan cekap mengenal pasti sesegera mungkin pengalaman peribadi lampau kita dalam mengembalikan ‘mood’  positif tertinggi kita.

Ayuh kita sama-sama ikuti 5 langkah mudah ini :-

  1. Lukiskan gambar tangan kita beserta 5 jari kita di atas sehelai kertas.
  2. Setiap jari mewakili satu deria asas, tulis nama deria di bahagian luar setiap jari tersebut.
  3. Untuk setiap deria ini, kenal pasti memori terbaik yang apabila kita alami / mengingatinya semula, kita akan rasa ‘super best’.
  4. Tulis ‘key word’ kepada aktiviti tersebut di dalam ruang setiap deria.
  5. Tampal di tempat yang mudah dilihat untuk diingati selalu. Jika tidak, terus ingat setiap satunya kerana ianya sentiasa berada bersama diri kita.

Foto Kredit : kristinamarcelli.wordpress.com

Ingat, pengalaman kita adalah peribadi dan sangat berharga. Tiada sesiapa boleh mengambilnya, merampasnya atau mencurinya dari kita. ‘Activate’ kan ia!

Berikut merupakan contoh bagi setiap deria sebagai panduan buat semua.

1. ANGGOTA MATA – DERIA PENGLIHATAN

Apabila kita melihat sesuatu perkara itu, secara automatik kita akan berasa sangat ‘best’, gembira, puas, dan bahagia.

Contoh : gambar keluarga, wajah bayi kita, bunga orkid, kad / kata-kata motivasi, gambar pemandangan / laut / gunung, movie kegemaran atau apa-apa sahaja asalkan ianya melibatkan penglihatan kita.

Foto Kredit : vention.co.ke

2. ANGGOTA TELINGA – DERIA PENDENGARAN

Apabila kita mendengar sahaja bunyi ini, kita akan terus rasa seronok dan ‘best’.

Contoh : alunan zikir, muzik instrumental, lagu kegemaran, bunyi air terjun, bunyi ombak menghempas pantai, suara ibu, suara anak, atau sebarang bunyi lain yang melibatkan pendengaran kita.

Foto Kredit : stthomas.campuslabs.com

3. ANGGOTA HIDUNG – DERIA BAU

Apabila kita hidu sahaja bau ini, masyaAllah ‘best’  betul.

Contoh : bau anak, bau masakan ibu, bau kopi, bau minyak wangi kegemaran, bau baru yang akan didaftarkan (mengikut kajian aroma terapi, bau bunga ros untuk melembutkan emosi keras, lavender untuk ‘stress free’, oren untuk tenaga, ‘peppermint’ untuk kesegaran) dan sebagainya.

Kenal pasti apa sahaja bau kegemaran yang melibatkan hidung kita untuk menghidunya.

Foto Kredit : lighterbrighteryou.life

4. ANGGOTA LIDAH – DERIA MERASA

Apabila kita makan atau minum, rasa makanan atau minuman tersebut membuatkan kita rasa sangat ‘best‘.

Contoh : air kelapa, air kopi, ‘cheese cake’, masakan asam pedas, ikan patin masak tempoyak, buah durian, atau apa sahaja yang melibatkan deria rasa kita.

Membayangkan makanan atau minuman tersebut secara visual sahaja pun sudah mampu ‘activate’kan lidah merasa kita, bukan? Maka, gunakan ia sebagai ‘emotional spark factor’ untuk kita kembali positif.

Foto Kredit : bakers-corner.co.nz

5. ANGGOTA KULIT – DERIA SENTUHAN

Apabila kita menyentuh sesuatu objek itu, sentuhan tersebut mampu membuatkan kita berasa ‘best’.

Contoh : pelukan ‘heart to heart’, pelukan anak, pelukan orang tersayang, menyentuh atau memeluk kelembutan bulu ‘teddy bear’  yang besar, bola ‘gym’  kecil yang boleh digenggam, memeluk bayi, menyentuh kucing, dan sebagainya, yang melibatkan deria sentuhan kita.

Foto Kredit : eva.ro

UTAMAKAN QALBU – DERIA HATI

Walaupun kita menjadikan pengalaman istimewa peribadi diri bagi meningkatkan ‘mood’  positif kita, utamakan deria hati kita iaitu organ jantung – qalbu kita.

Ambil wuduk, solat, berzikir serta bacalah Al-Quran kerana ianya dapat menenangkan hati kita yang gundah gulana

Membaca Al-Quran akan mengaktifkan kesemua deria ini – melihat ayat Al-Quran, mendengar suara sendiri membacanya, menyentuh naskhah Al-Quran, menghidu bau ketenangan Al-Quran serta menghadirkan rasa enak dan selesa di lidah apabila membacanya.

Walaupun deria lidah diaktifkan secara bukan fizikal, namun ianya juga dapat mengalirkan rasa yang aman dan nyaman dalam diri.

Foto Kredit : therightfulrecital.com

Semoga perkongsian ini bermanfaat dan dapat dipraktikkan oleh kita dalam menyusuri liku-liku kehidupan sebagai hambaNya, suami / isteri, ibu bapa, anak dan khalifah Allah di muka Bumi ini.

Selamat beramal buat semua.

Penulis: Maznah Ibrahim

Maznah Ibrahim

Seorang ibu dengan tiga cahaya mata, masih bekerja sebagai Kaunselor di KKM. Telah berkhidmat sebagai kaunselor selama 12 tahun dengan pengalaman dalam bidang kaunseling kanak-kanak dan keibubapaan. Merupakan Penulis Ebook "Saya Tak Nak Marah Anak Lagi", "Teknik Rebonding" dan beberapa Ebook berkaitan Parenting.Lebih maklumat lanjut di Facebook dan website beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.