Nak kulit cantik semulajadi?

“Wah, makin cantiklah kulit kau. Cemburu pula aku tengok. Kongsilah rahsia kecantikan kulit kau.”

Bayangkan ada rakan-rakan atau ahli keluarga yang menegur anda macam ni. Mesti rasa diri sedang melayang-layang kan? Senyum pun panjang sampai ke telinga. Ayat yang sama terngiang-ngiang di telinga tak tahu berapa hari.

Namun, bukan semua wanita yang beruntung dikurniakan kulit cantik semula jadi tanpa cacat cela. Ada yang perlu memakai pelbagai produk yang sesuai dengan kulit wajah. Ada pula yang perlu jumpa pakar kulit disebabkan oleh masalah yang dihadapi.

Artikel kali ni akan berkongsi tentang 10 tips untuk mendapatkan kulit cantik semula jadi. Sesiapa yang bakal jadi raja sehari bolehlah amalkan tips yang diberi lebih awal. Buat persediaan awal tu jauh lebih baik. Namun, sesiapa saja yang memang nak kulit cantik natural boleh saja mencuba tips-tips ni.

Nah, tips-tips ni khas untuk pembaca Bidadari yang disayangi! Untuk kulit cantik semulajadi.

#1 Buat Rawatan Dulu

Kebanyakan wanita tak tahu masalah kulit mereka. Kadangkala kulit ditumbuhi jerawat disebabkan oleh perubahan hormon, cara basuh muka, solekan yang tebal, sarung bantal yang kotor dan sebagainya.

Oleh itu, pertama sekali kenal pasti masalah terlebih dahulu. Jika disebabkan oleh hormon, segera berjumpa dengan pakar kulit. Jika disebabkan oleh solekan, pastikan kandungan bahan di dalamnya tak buat kulit anda alergik dan tersumbat.

Jika kulit anda banyak jerawat dan bintik hitam, rawat masalah itu terlebih dahulu. Jangan terburu-buru membeli produk pencerahan kulit. Sabar. Selesaikan masalah anda satu per satu dulu. Bila dah tiada jerawat, barulah hilangkan parut dengan produk yang bersesuaian.

#2 Jangan Lupa Minum Air

Jangan ingat kita minum air untuk hilangkan haus saja tau. Kulit juga memerlukan air untuk memelihara kelembapan. Air bukan saja untuk menghidrat, malah memberi nutrisi kepada sel-sel kulit.

Tak guna pakai produk kulit yang mahal, kalau malas minum air. Kekurangan air akan menyebabkan kulit muka menjadi kering, bersisik dan gatal. Yang paling teruk kulit muka akan kurang anjal dan anda senang nampak tua! Jangan lupa minum lapan gelas air setiap hari (bergantung pada berat).

#3 Jangan Stres Sangat

Semua orang ada masalah. Tak kira suri rumah, pelajar, wanita bekerjaya dan sesiapa saja. Namun, kita tak patut hidup dalam stres setiap masa. Cari jalan untuk keluar dari masalah. Antaranya keluar shopping, tanam pokok bunga, bercuti dan sebagainya.

Orang yang selalu stres dengan masalah mereka tidak akan hidup gembira dan tenang. Setiap masa, mereka hanya akan memikirkan masalah yang tak akan habis. Bila dah stres tu, penjagaan muka dan diri pun diabaikan.

Malah, tidur pun tak cukup sebab risau memikirkan segala kemungkinan. Banyak sangat berkerut akan menyebabkan muka anda hilang seri. Apa kata mulai hari ni, sentiasa senyum dan positif. Bukan anda saja yang nampak perubahan pada wajah, tapi orang di sekeliling juga.

#4 Jangan Salah Pilih Produk Wajah

Nampak orang lain cantik, kita pun nak cantik sama. Nampak orang lain putih, kita pun nak ikut sama. Ni ialah kesilapan terbesar yang sering kita buat. Bukan semua produk yang dipakai oleh orang lain sesuai dengan kita. Walaupun yang pakai tu adik atau kakak kita.

Ni kerana setiap wanita mempunyai kulit yang berlainan. Ada orang yang mempunyai kulit yang berminyak, normal dan kombinasi. Malah, ada pula yang mempunyai masalah kulit sensitif dan masalah lain macam ekzema dan sebagainya.

Oleh itu, pakai produk yang sesuai dengan anda bukan orang lain. Jangan sampai wang anda terbazir begitu saja. Paling penting beli produk yang mengikut piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Jangan sesekali beli produk ‘timbang kilo’.

Nak semak produk kosmetik yang telah diharamkan oleh KKM, anda boleh melayari laman web National Pharmaceutical Regulatory Agency Malaysia (NPRA).

#5 Rajinkan Diri Bersenam

Jangan lupa kita perlu nampak cantik dan pada masa yang sama sihat tubuh badan. Oleh itu, sihat dan cantik perlu bergerak seiring. Bersenam banyak kebaikannya pada kulit wajah.

Sebenarnya, kulit mendapat nutrien melalui pembuluh-pembuluh darah di bawah permukaan kulit. Apabila kita bersenam, denyutan nadi akan bertambah. Oleh itu, darah akan membawa lebih banyak nutrien dan oksigen ke kulit.

Tak perlu membuat senaman berimpak tinggi, cukuplah dengan hanya membuat brisk walk, berjoging dan berjalan di keliling rumah. Nak pusing-pusing di mall pun boleh.

#6 Jaga Kebersihan Diri

Muka saja kalau cantik tak guna kalau kebersihan diri diabaikan. Bangun saja pagi, jalan lupa basuh muka bersih-bersih. Kotoran yang terkumpul sepanjang malam perlu dibersihkan iaitu minyak di muka, peluh, habuk dan air liur basi anda.

Jangan lupa tukar sarung bantal dan tilam dengan kerap. Di situlah pusat terkumpulnya semua habuk dan kuman. Malah, jangan lupa basuh tuala muka dan badan juga. Pastikan tuala dikeringkan selepaskan digunakan. Jika lembap dan basah, banyak bakteria yang akan terkumpul.

#7 Amalkan Gaya Pemakanan Yang Sihat

Amalan pemakanan yang sihat mengikut saranan KKM dan piramid makanan bukan saja penting untuk kesihatan tubuh badan tetapi juga kecantikan kulit. Kurangkan makanan yang manis, tinggi garam, berproses dan makanan segera.

Lebihkan sayur dan buah-buahan yang kaya dengan pelbagai vitamin, mineral, kalsium dan magnesium yang baik untuk kulit. Cara penyediaan makanan juga perlu dititiberatkan. Kurangkan makanan berminyak dan bergoreng. Lebih baik amalkan pemakanan yang dimasak secara rebus, kukus dan bakar.

#8 Jangan Tidur Lewat

Waktu tidur ialah masa untuk kita merehatkan diri setelah sehari suntuk bekerja. Badan dan otak juga perlu berehat. Seelok-eloknya tidur seawal 10.00 malam dan dapatkan tidur yang mencukupi selama lapan jam.

Jika tak cukup tidur, wajah akan nampak sembap, tak bermaya, kering dan cepat nampak tua. Malahan, bawah mata juga akan nampak gelap dan kendur. Oleh itu, pastikan anda dapat tidur yang berkualiti.

#9 Jangan Ekstrem Jaga Badan

Selain nak kulit wajah yang cantik, perkara paling penting yang difokuskan oleh wanita ialah bentuk badan yang ramping. Tak salah nak jaga badan, bagus untuk kesihatan juga. Namun, jangan pula anda esktrem dalam berdiet.

Jika terlalu jaga makan, dikhuatiri makanan harian anda tak cukup nutrien yang sangat penting untuk kulit. Akhirnya, badan memang slim tetapi kulit wajah kendur dan tak bermaya pula.

#10 Manjakan Diri Di Pusat Kecantikan

Jika ada wang yang lebih, sesekali apa salahnya buat rawatan spa di pusat kecantikan. Kulit juga perlu dibelai dan dimanja. Urutan dan rawatan di spa bagus untuk kecantikan kulit.

Namun, jika kewangan tak mengizinkan, anda juga boleh jadikan rumah anda sebagai spa. Anda boleh mencuba pelbagai petua kecantikan yang telah dikongsikan oleh para penulis di Bidadari.my. Banyak petua yang boleh dicuba misalnya cara buat masker wajah.

Kesimpulannya, penjagaan kulit muka memerlukan komitmen dan disiplin yang tinggi. Tak semestinya anda perlu membelanjakan wang yang banyak untuk rawatan dan produk kosmetik. Yang paling penting ubah amalan harian yang mungkin tak bagus untuk kulit.

Jangan lupa kongsikan artikel tentang tips kulit cantik semulajadi ni pada ahli keluarga dan rakan-rakan. Moga kita sama-sama beroleh manfaat. Jemput juga baca artikel langkah penjagaan kulit ala Korea dan cara memutihkan kulit

Penulis: Zuraidah Muhidden

Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.