Ayuh ketahui kronologi di padang mahsyar.

Sesungguhnya mati itu adalah pasti, hanya bila dan di mana sahaja kita masih menanti kematian itu tiba. Sesiapapun tidak mengetahui akan detik kepergiannya kerana telah dirahsiakan oleh Allah SWT.

Firman-Nya yang bermaksud:

“Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali.”

(al-Anbiya’: 35)

Manakala selepas kematian itu, setiap muslim yang akan mengalami 12 fasa, iaitu persinggahan yang begitu azab bagi sesiapa yang banyak membuat larangan Allah. Tetapi persinggahan ini menjadi tempat yang aman bagi mereka yang bertakwa. Dan waktu ini kelak, hanyalah amalan semasa hidup di dunia sahaja dapat membantu melepasi tingkat ujian yang disediakan Allah SWT.

Pertama:  Alam Barzakh

Setiap azab dan nikmat kubur adalah sesuatu yang wujud dan bukannya sekadar bayangan mimpi, mainan perasaan mahupun khayalan. Tetapi ianya terjadi secara nyata terhadap muslim yang baik ataupun sebaliknya.

Nabi SAW telah mengajarkan doa perlindungan daripada siksaan kubur.  Sabda Baginda yang bermaksud:

“Apabila seseorang selesai membaca tasyahhud (akhir), hendaklah ia memohon perlindungan kepada Allah empat perkara, iaitu: ‘Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari seksa Neraka Jahannam, dari seksa kubur, dari fitnah hidup dan mati, dan dari fitnah al-Masih Dajjal’.”

(Hadis Riwayat Muslim, Abu Awanah, Nasa’i dan Ibnu jarud)

Rasulullah SAW juga menyebutkan golongan yang gemar melanggar hukum Allah SWT akan menanggung azab yang dasyat ketika di dalam kubur kelak, iaitu golongan yang:

  • Tidak mendirikan solat
  • Suka melakukan fitnah, mengumpat dan mengadu domba.
  • Pecah amanah dan melakukan khianat (terutamanya dalam zakat)
  • Tidak bersuci setelah buang air kecil (solatnya tidak sah)
  • Suka bercakap bohong
  • Membaca al-Quran tetapi melakukan larangan Allah, tidak melakukan perintah Allah.
  • Melakukan zina
  • Memakan riba
  • Tidak membayar hutang

Kedua: Peniupan Sangkakala

Sangkakala ditiup oleh malaikat Israfil atas perintah Allah SWT.  Tiupan yang pertama akan mengejutkan dan membinasakan manusia, merosakkan dunia dengan goncangan, gunung ganang menjadi rata,  matahari akan digulung, bintang bertaburan dan dunia menjadi gelap gelita dan keadaan alam kembali seperti awal penciptaannya atas kehendak Allah SWT, seperti  dijelaskan dalam al-Quran :

“Dan ditiuplah sangkakala maka matilah semua yang di langit dan di bumi, kecuali apa yang dikehendaki oleh Allah SWT.”

(az- Zumar : 68 )

Manakala pada tiupan sangkakala yang kedua pula adalah tiupan yang membangkitkan semua manusia.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Dan tiupan sangkakala (kedua), maka tiba-tiba mereka keluar dengan segera dari kuburnya (menuju) kepada Rabb mereka.”

(Yaasiin : 51)

Ketiga:  Hari Kebangkitan

Semasa hari kebangkitan, umat manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Sudah tidak ada rasa malu kerana masing-masing kerana sangat takut dan bimbang dengan nasib sendiri. Ketika itu juga,  ibu akan lupakan anaknya, suami juga akan lupakan isterinya dan hanya memikirkan tentang diri sendiri.

Firman Allah SWT maksudnya :

“Pada hari ketika mereka dibangkitkan Allah semuanya, lalu diberitakannya kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan. Allah mengumpulkan (mencatat) perbuatan itu, padahal mereka telah melupakannya. Dan Allah Maha menyaksikan segala sesuatu.”

(al- Mujadalah : 6)

Lalu didatangkan api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat berhimpun itu (padang mahsyar).

Ada dalam kalangan muslim yang banyak amalannya bergerak menggunakan tunggangan, ada yang berjalan kaki. Terdapat yang kurang amalan mereka berjalan dengan menyeret muka. Dan pelbagai keadaan lagi mewakili perlakuan mereka semasa hidup di dunia.

Keempat : Padang Mahsyar  

Firman Allah SWT maksudnya :

“(Iaitu) pada hari (ketika ) bumi diganti dengan bumi yang lain dan (demikian pula) langit dan mereka (manusia) berkumpul (di padang Mahsyar)  menghadap Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.”

(Ibrahim : 48)

Padang mahsyar adalah pengumpulan semua mahluk di dunia pada hari kiamat untuk dihisap segala amalannya dan ditetapkan sama ada akan ke syurga atau ke nereka. Perbandingan lamanya tempoh waktu di padang mahsyar adalah selama satu hari dengan 50,000 tahun di dunia. Bahkan kehidupan di dunia ini dirasakan seperti satu jam saja.

Allah berfirman maksudnya:

“Malaikat-malaikat dan Jibril naik (menghadap) kepada Rabb dalam sehari yang kadarnya 50,000 tahun.”

(al-Maarij :4)

Namun, di padang mahsyar kelak, terdapat tujuh golongan yanga akan mendapat perlindungan arasy, iaitu;

  • Pemimpin yang adil.
  • Pemuda yang masanya dihabiskan untuk beribadah kepada Allah.
  • Seseorang yang hatinya terpaut pada masjid.
  • Dua lelaki yang berkasih sayang dan bertemu dan berpisah kerana Allah.
  • Lelaki yang digoda oleh perempuan cantik dan berpengaruh untuk bermaksiat tetapi menolak dengan mengatakan ‘Aku takutkan Allah’.
  • Seseorang yang bersedekah dan menyembunyikannya.
  • Seseorang yang mengingati Allah sehingga mengalir air matanya.

Kelima :  Syafaat (pertolongan)

Syafaat adalah pertolongan yang diberikan oleh Rasulullah SAW hanya untuk orang muslim  sahaja. Golongan musyrik, kafir dan munafik tidak akan mendapat syafaat Baginda kelak.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Di antara syafaatku adalah untuk orang yang melakukan doas besar di kalangan umatku.”

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Keenam : Hisab

Di peringkat hisab ini, Allah SWT akan menunjukkan segala amalan yang telah dilakukan ketika hidup di dunia. Termasuklah semua jenis percakapan dan perbuatan yang baik atau buruk.

Allah berfirman yang bermaksud;

“Dan kamu lihat tiap-tiap umat dipanggil untuk (melihat) buku catatan amalnya . Pada hari itu kamu diberi balasan terhadap apa yang kamu kerjakan.”

(al-Jatsiah : 28)

Umat Nabi Muhammad SAW adalah umat yang pertama akan dihisab, dan hal pertama yang akan dihisab dari hak Allah adalah solat, dan perkara pertama yang  diadili antara manusia adalah berkaitan darah.

 Ketujuh : Pembahagian Catatan Amal

Ketika ini, setiap hamba akan diberi kitab amalannyaa, iaitu yang mengandungi semua perkara yang  dilakukan semasa  hidup di dunia yang ditulis lengkap oleh malaikat.

Sesiapa yang  baik amalnya selama di dunia, akan menerima catatan tersebut  dari sebelah kanan. Sesiapa yang buruk amalannya akan menerima catatan dari belakang dan sebelah kiri, seperti pada firman Allah SWT yang bermaksud:

“Adapun orang yang diberikan kitabnya dari sebelah kanannya, maka ia akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah, dan ia akan kembali kepada kaumnya (yang sama-sama beriman) dengan gembira. Adapun orang yang diberikan kitabnya dari belakang, maka ia akan berteriak : ‘celakalah aku’, dan ia akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka).”

(al- Insyiqaq : 8-12)

“Adapun orang yang diberikan kepadanya kitabnya dari sebelah kirinya, maka dia berkata ‘Wahai alangkah baiknya kiranya tidak diberikan kepadaku kitabku (ini), dan aku tidak mengetahui apa hisab terhadap diriku.Wahai kiranya kematian itulah yang menyelesaikan segala sesuatu. Hartaku sekali-kali tidak memberi manfaat kepadaku.Telah hilang kekuasaanku dariku’. (Allah berfirman), ‘Peganglah dia lalu belenggulah tangannya ke lehernya’, kemudian masukkanlah dia ke dalam api neraka yang menyala-nyala.”

(al- Haqqah : 25 -31)

Kelapan: Timbangan amal (Mizan)

“Dan kami akan memasang timbangan yang tepat pada hari kiamat, maka tiadalah seorang dirugikan walau sedikitpun. Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawipun pasti Kami mendatangkan (pahala)nya. Dan cukuplah Kami sebagai Pembuat perhitungan.”

(al- Anbiya : 47)

Mizan adalah timbangan pada hari kiamat untuk menimbang amalan setiap hamba-Nya. Golongan kafir akan terus dimasukkan ke dalam neraka tanpa pertimbangan Mizan. Hanya orang muslim saja yang amalannya ditimbang.

Kesembilan : Telaga (al-Haudh)

Selepas itu, umat Nabi Muhammad SAW akan mendatangi air telaga Rasulullah SAW  yang bernama ‘al-Kausar’ yang mengalir dari syurga.  Sesiapa yang minum dari telaga tersebut tidak akan haus selama-lamanya.

Sesungguhnya setiap nabi mempunyai telaga sendiri,  namun telaga Rasulullah SAW adalah yang paling mulia,  paling besar, paling indah, dan paling banyak pengikutnya. Dalam sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Sesungguhnya setiap Nabi memiliki telaga, mereka membanggakan diri, siapa di antara mereka yang paling banyak peminumnya (pengikutnya). Dan aku berharap, akulah yang paling banyak pengikutnya.”

(Hadis Riwayat Tirmidzi)

Telaga al-Khausar ini berbentuk segi empat tepat, sebesar satu bulan perjalanan. Bau air telaga ini lebih harum daripada kasturi, warnanya lebih putih daripada susu dan sejuknya lebih sejuk dari embun.

Kesepuluh : Ujian Keimanan Seseorang

Pada peringkat ini, iman seseorang diuji; ketika ini munafik yang berpura-pura beriman kepada Allah SWT tidak mampu bersujud seperti sujudnya orang mukmin.  Malah mereka memohon rayu agar orang-orang mukmin membantu mereka dan menuntun jalan mereka. Sebenarnya yang menjadi petunjuk dan cahaya yang menyuluh hanyalah amalan ketika hidup di dunia.

Kesebelas: Sirat

Sirat adalah jambatan yang dibentangkan di atas neraka Jahannam, untuk sampai ke syurga Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW tentang titian sirat;

“Tempat menggelincirkan, di atasnya ada besi penyambar dan pengait dan tumbuhan berduri yang besar, ia mempunyai duri yang membahayakan seperti yang ada di Najd yang disebut pohon Sud’an.”

(Hadis Riwayat Muslim)

“Telah sampai kepadaku bahawasanya sirat itu lebih tipis dari rambut dan lebih tajam dari pedang.”

(Hadis Riwayat  Muslim)

Sesiapa yang banyak amalan baiknya akan melalui titian sirat ini seperti kilat, terbang seperti burung dan sesiapa yang gagal melaluinya dan jatuh ke dalam neraka di bawahnya.

Keduabelas : Jambatan

Selepas melewati titian sirat, jambatan ini akan dilalui untuk menuju ke syurga.  Selepas melalui jambatan ini, barulah mukmin yang terselamat akan masuk ke dalam syurga.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya  :

“Seorang mukmin akan dibebaskan dari api neraka, lalu mereka diberhentikan di atas jambatan antara syurga dan neraka, mereka akan saling diqisas antara satu sama lainnya atas kezaliman mereka di dunia. Setelah mereka bersih dan terbebas dari segalanya, barulah mereka diizinkan masuk syurga. Demi zat yang jiwa Muhammad di tangan-Nya, seorang diantara kalian lebih mengenal tempat tinggalnya di syurga daripada tempat tinggalnya di dunia.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Penutup: Perbaiki dan banyakkan amalan sementara masih hidup di dunia.

Begitu mendengar rentetan dan azab balasan Allah SWT di hari akhir sudah cukup gerun dan menginsafkan. Adakah kita sudah bersedia?

Wahai saudara-saudara seiislam, masih ada masa untuk kita bermuhasabah dan menyoal diri kita sendiri, adakah sudah cukup amal dan ibadah kita untuk dibawa sebagai bekalan di akhirat kelak? Dan tidak cukupkah dengan bayangan penyiksaan di neraka terhadap golongan yang ingkar akan perintah Allah SWT?

Sebelum dipanggil pulang, marilah banyakkan amal dan tinggalkan segala dosa dan maksiat demi menjadikan kita hamba Allah yang menerima buku catatan amalan dari tangan kanan, dan berjaya mengharungi titian sirat menuju syurga Allah SWT seperti burung berterbangan, amiin.

 

Jika anda menyukai artikel ini, mari baca lebih banyak perkongsian menarik kami tentang Nama-nama Neraka dan Tingkatannya Yang Perlu Diketahui dan 3 Golongan di Mahsyar! WAJIB Baca!

 

Rujukan

  1. www.hmetro.com.my
  2. www.bharian.com.my

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.