Menjengah sudah bulan Ramadhan untuk tahun 2019 bersamaan dengan 1440 Hijrah. Pada bulan yang penuh berkah ini, segala pintu-pintu langit akan dibuka manakala pintu neraka akan ditutup dan turunnya malaikat ke bumi untuk memberikan rahmah.

Siapa tidak tahu bulan yang mulia inilah seluruh umat Islam sangat digalakkan untuk melakukan kebaikan untuk melipat kali gandakan pahala sebagai bekalan di akhirat kelak. Oleh kerana kemuliaan Ramadhan ini tiada tolok bandingnya maka sengaja kami ingin kongsikan sedikit kisah tazkirah ringkas sebagai penghayatan dan renungan kita bersama sebelum Ramadhan tahun ini melabuhkan tirainya.

Tazkirah 1: Syafaat Mencari Malam Lailatul Qadar’


kisah tazkirah ringkas
Imej via [flickr]

Asal sahaja menyebut Ramadhan, pasti tidak asing lagi kedengaran tentang malam Lailatul Qadar iaitu malam penuh kemuliaan yakni malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Perbanyakkanlah ibadah dan amalan saat 10 malam terakhir ini kerana siapa yang mendirikan solat malam dengan sungguh-sungguh di malam hari nescaya Allah akan mengampunkan dosa-dosa yang pernah dilakukan sebelum ini.

Kedatangan malam Lailatul Qadar ini juga tiada siapa dapat menduga namun Rasulullah S.A.W ada memberikan petunjuk bahawa malam seribu bulan ini akan hadir dalam sepuluh malam yang terakhir pada bulan Ramadhan dan secara tepatnya adalah di malam-malam ganjil.

Istimewanya malam Lailatul Qadar ini adalah kerana ia merupakan malam dimana turunnya mukjizat mulia iaitu Al-Quran oleh Allah S.W.T yang diperantarai Nabi Muhammad S.A.W.

Beruntungnya mereka yang mendapat syafaat malam Lailatu Qadar ini kerana rata-rata ulama berpendapat bahawa ketika seorang muslim itu melaksanakan amalan dan ibadah tepat di malam Lailatul Qadar, maka orang itu akan mendapatkan pahala yang besar dan nilai pahalanya adalah lebih besar dari seorang muslim yang beribadah selama seribu bulan yakni setara dengan 80 tahun.

Sangat rugi kepada mereka yang tidak cuba untuk merebut syafaat malam Lailatul Qadar ini. Di malam yang mulia itu, seorang muslim bukan sahaja beroleh keberkahan tetapi juga kesejahteraan, kedamaian hati malah akan dibebaskan daripada segala kerosakan hati dan diampunkan dosa-dosa lalu.

Tazkirah 2: Kelebihan Mengamalkan Pembacaan Al-Quran

Imej via[isykarima]

Mendalami Al-Quran itu hukumnya wajib dan secara tidak langsung seorang muslim itu perlu mengimani, memahami, mengamalkan dan menyebarkan kalam Allah ini. Al-Quran merupakan kunci untuk seseorang itu menjadi insan yang sempurna di sisi Allah serta akalnya juga akan lebih terpelihara dan tidak mudah menjadi majnun atau gila. Insan yang mata hati dan fikirannya sentiasa mengingati Al-Quran, maka dia akan sentiasa dirahmati Allah S.W.T dalam pelbagai cara.             

Al-Quran merupakan mukjizat teragung yang telah diturunkan oleh Allah S.W.T kepada umat Islam. Ramai sahaja umat Islam yang masih berdolak-dalih untuk membacanya saban hari dengan pelbagai alasan seperti kesibukan bekerja sedangkan sebenarnya membaca Al-Quran itu bukannya dikira jika membaca keseluruhannya tetapi dengan beberapa surah sahaja juga dikira pahala. Setiap huruf yang dibaca dalam Al-Quran, Allah menjanjikan 10 pahala sebagai ganjaran dan dikira sebagai telah melakukan satu kebajikan.

Saat amalan kita dihitung tatkala di Padang Mahsyar, Al-Quran ini akan bertindak sebagai pendamping yang dapat menyelamatkan diri ketika diri kita dihisab dan juga menghindarkan diri dari huru-hara yang berlaku di Padang Mahsyar. Ahli keluarga kita sendiri juga tidak akan berupaya untuk membantu  malah mereka sangat sibuk dengan urusan diri masing-masing di hari pembalasan kelak.


Tazkirah 3: Kesan Memperbanyak Amalan Istighfar


kisah tazkirah
Imej via [safurara]

Seseorang yang rajin beristighfar, Allah akan membantunya menempuh setiap kesusahan yang dialami itu. Pada setiap kesempitan yang dilalui akan ada cara mengatasinya dan mungkin apa yang dilakukannya akan membuahkan rezeki yang tidak disangka-sangka.

Seluruh umat Islam sangat digalakkan untuk beristighfar kerana selain ianya dapat meningkatkan iman, istighfar juga dapat menjadi penenang hati. Apabila kita beristighfar secara tidak langsung amalan ini dapat mendekatkan diri kita kepada Allah S.W.T.

Kesan kepada mereka yang gemar beristigfar juga akan membantu seseorang itu mengecapi hidup dengan penuh yakin serta bebas daripada perasaan putus asa atau lemah.

Justeru itu Islam sangat menggalakkan umatnya untuk kerap beristighfar, selalu bertaubat kerana kita sebagai manusia biasa pasti tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan dosa. Sedangkan Rasulullah S.A.W yang maksum itu sendiri rajin mengamalkan istighfar iaitu 70 kali saban hari, inikan pula kita manusia biasa.

Tazkirah 4: Kehebatan Amalan Bersedekah

Pada hari-hari biasa juga kita sangat digalakkan untuk bersedekah apatah pula bila  tibanya bulan Ramadhan yang penuh berkah ini kerana amalan bersedekah itu sangat sinonim dengan iman seorang Muslim.

Setiap apa yang disedekahkan dengan niat ikhlas yang diterima di sisi Allah S.W.T akan dikurniakan dengan ganjaran pahala. Pahala yang paling sedikit adalah 10 kali ganda manakala yang paling banyak adalah 700 kali ganda.

Rebutlah peluang untuk bersedekah sebanyak mana yang anda mampu kerana selain mendapat pahala yang tidak ternilai secara tidak langsung anda telah membantu untuk mengurangkan beban dan kepayahan orang lain yang tidak berkemampuan dan daif.

Yang dinamakan sedekah itu luas, tidak seharusnya ia berbentuk wang ringgit. Ubat-ubatan, makanan, senyuman, baju, tenaga kerja juga disifatkan sebagai sedekah. Malaikat juga akan turut mendoakan mana-mana mukmin yang rajin bersedekah itu kesejahteraan malah Allah akan melapangkan seluas-luas pintu rezeki untuknya.

Tazkirah 5: Kebaikan Berbuka Puasa Dengan Buah Kurma

Bukan sekadar suatu tradisi namun berbuka dengan kurma merupakan sunnah Rasulullah selain menyimpan seribu satu syafaat untuk kesihatan manusia. Kita sangat digalakkan untuk berbuka puasa yang didahului dengan kurma kerana kurma dapat membekalkan tenaga dengan lebih cepat setelah seharian kita letih bekerja tanpa menjamah sebarang makanan atau minuman.   

Pastikan anda memakan kurma segar yang asli kerana kebanyakan kurma yang terjual di pasaran hanya berbentuk manisan dan mengandungi banyak gula yang tidak baik untuk kesihatan. Kurma diangkat tinggi oleh Rasulullah S.A.W kerana mempunyai khasiat semulajadinya yang tinggi dan dapat mengembalikan paras gula rendah dalam darah kepada paras normal.

Kurma asli juga memiliki serat yang baik yang mampu membantu untuk mencegah sembelit dan mengelakkan daripada menghidap penyakit kencing manis. Zat-zat yang terkandung dalam kurma iaitu glukosa dan fruktosa hanya memerlukan masa dalam lingkungan 5 ke 10 minit untuk diserap dalam usus manusia saat perut kosong.

kisah tazkirah ringkas
Imej via Mampu.com[mampu]

Itulah dia 5 Kisah Tazkirah Ringkas berkaitan Lailatul Qadar, Al-Quran & Sebab Berbuka Dengan Kurma sempena Ramadan ini. Jom baca juga Cara Bayar Fidyah Kisah Rabiatul Adawiyah dan Kelebihan Malam Nisfu Syaaban.

Rujukan:

  1. Bharian
  2. Hmetro
  3. Islamika

Penulis: zulrina

Avatar

Penulis yang bekerjaya di rumah. Meminati dunia perniagaan, travel dan makanan.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.