Di dalam surah al-Kahfi terdapat pelbagai kisah yang boleh dijadikan ibrah kehidupan dan antara kisah yang menarik adalah kisah diantara Nabi Khidir dan Nabi Musa.

Sebelum meneruskan penulisan mengenai kisah Nabi Khidir dan Nabi Musa, mari kita kenali dahulu misteri Nabi Khidir sebenarnya.

Siapakah Nabi Khidir menurut al-Quran dan Hadis?

Ada diantara ahli agama didunia meragui kewujudan Nabi Khidir kerana Nabi Khidir merupakan seorang yang sangat misteri. Namun ulama ahli sunnah waljamaah mengakui kewujudan Nabi Khidir berdasarkan surah al-kahfi dan beberapa hadis sahih.

Ibnu Asakir dari Mujahid meriwayatkan “dinamakan khidir (hijau) kerana dimana dia berada maka tempat sekitarnya menjadi hijau”.

Dan menurut hadis Imam Bukhari ; “dan apabila khidir duduk diatas jerami yang sudah kering, maka jerami itu akan berubah menjadi hijau kembali.”

Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa; “Khidir adalah nama seorang anak cucu Adam as yang taat beribadah kepada Allah swt dan ditangguhkan ajalnya.”

Berdasarkan ketiga-tiga hadis diatas , jelaslah bahawa Nabi Khidir sebenarnya wujud dan keberadaannya menjadi topik perdebatan hingga ke hari ini.

Kisah Nabi Khidir dan Nabi Musa menerusi surah al-Kahfi.

Di dalam surah al-Kahfi, bermula ayat 65 hingga ayat 82 telah menceritakan bagaimana  Nabi Musa memulakan perjalanannya untuk menimba ilmu dengan mengikut Nabi Khidir bermusafir. Sebelum diperintahkan untuk menimba ilmu dengan Nabi Khidir, Nabi Musa telah melakukan sesuatu sehingga beliau ditegur Allah swt menerusi firmanNya.

Menurut Ibnu Abbas, Ubay bin Ka’ab mendengar Nabi Muhammad saw bersabda ; “ sesungguhnya pada suatu hari , Musa berdiri di khalayak Bani Israil dan bertanya , “ Siapakah orang yang paling berilmu?” Jawab Nabi Musa, “Aku”. Lalu Nabi Musa ditegur Allah swt melalui firmanNya; “Sesungguhnya di sisi-Ku ada seorang hamba yang berada di pertemuan dua lautan dan dia lebih berilmu daripada kamu.”

Nabi Musa diperintahkan untuk bermusafir diantara dua lautan sehingga ikan yang dibawanya di dalam sangkar hilang untuk bertemu dengan Nabi Khidir.

Mendengar firman Allah swt, Nabi Musa membawa seekor ikan di dalam wadah dan berangkat ke lokasi yang diperintahkan bersama-sama dengan muridnya iaitu Yusya bin Nun. Setelah menempuh perjalanan yang jauh dan tiba di sebuah batu, Nabi Musa as memutuskan untuk berehat .

Ketika mereka berdua berehat, ikan yang berada di dalam wadah tiba-tiba bergerak-gerak dan akhirnya terjatuh ke dalam air dan terus berenang ke arah laut. Murid Nabi Musa terpegun melihat kebesaran Allah swt menghidupkan semula ikan yang telah mati itu.

Akibat kepenatan Yusya akhirnya tertidur dan dia terlupa untuk menceritakan kepada Nabi Musa akan peristiwa yang dilihatnya.

Lalu mereka berdua meneruskan perjalanan dan sampailah di suatu kawasan, Nabi Musa berkata kepada muridnya untuk membawa makanan . Dan ketika itulah Yusya menceritakan mengenai peristiwa ikan di dalam wadah kembali hidup dan berenang ke dalam lautan.

Mendengar kata-kata Yusya, Nabi Musa sedar bahawa disitulah tempat pertemuan dengan Nabi Khidir. Lalu Nabi Musa dan Yusya kembali semula ke tempat batuan tersebut.

Setelah tiba semula ditempat batuan tersebut, mereka berdua melihat seorang hamba Allah swt memakai jubah berwarna putih bersih.  Lalu Nabi Musa memberi salam dan Nabi Khidir menjawab dengan penuh bijaksana;

“Dari mana datangnya kesejahteraan di bumi yang tidak mempunyai kesejahteraan?Siapakah kamu?

Nabi Musa menjawab beliau adalah Musa dan tujuannya mencari Nabi Khidir adalah untuk mempelajari ilmu dan kebijaksanaan yang dimiliki oleh Nabi Khidir.

Berdasarkan ayat 67 surah al-kahfi ; Nabi Khidir menjawab bahawa Nabi Musa tidak akan dapat bersabar untuk bermusafir (menuntut ilmu) bersama-sama Nabi Khidir.

Dan Nabi Khidir menambah lagi bahawa ilmu yang dimilikinya adalah ajaran Allah swt dan tidak diajarkan kepada Nabi Musa dan sebaliknya ilmu yang dimiliki Nabi Musa as juga tidak diketahui oleh Nabi Khidir.

Menerusi ayat 69 surah al-kahfi; Nabi Musa menjawab bahawa Nabi Khidir akan mendapati dirinya seorang yang sabar dan beliau tidak akan menentang Nabi Khidir dalam sebarang urusan.

Akhirnya Nabi Khidir memberi kebenaran kepada Nabi Musa untuk mengikutinya dengan syarat bahawa Nabi Musa tidak akan mengajukan sebarang soalan tentang perbuatannya sehingga Nabi Khidir sendiri yang akan menerangkan kepada Nabi Musa.

Maka kembara Nabi Khidir dan Nabi Musa bermula dan berlakulah beberapa peristiwa yang menguji kesabaran dan janji Nabi Musa untuk tidak mempersoalkan tindakan Nabi Khidir.

Peristiwa pertama adalah dimana Nabi Khidir memusnahkan perahu yang mereka naiki bersama. Akibat sifat ingin tahu yang kuat, Nabi Musa terlupa akan janjinya dan bertanya mengenai tindakan Nabi Khidir. Nabi Khidir mengingatkan Nabi Musa akan janjinya dan Nabi Musa minta maaf atas sikapnya yang tidak sabar dan lupa akan janji.

Kembara mereka diteruskan dan sampailah di daratan dan Nabi Khidir telah membunuh seorang kanak-kanak yang sedang bermain bersama kawan-kawannya.

Tindakan Nabi Khidir mencetuskan tanda tanya kepada Nabi Musa lalu beliau bertanya dan Nabi Khidir mengingatkan sekiranya Nabi Musa masih bertanya, Nabi Musa perlu akur untuk tidak turut serta dalam kembara seterusnya.

Peristiwa terakhir adalah dimana mereka tiba disebuah kampung dan mereka meminta bantuan  dari penduduk kampung namun tidak diendahkan oleh penduduk kampung.

Nabi Musa berasa kesal dengan tindakan penduduk kampung. Nabi Khidir mengajak Nabi Musa untuk membaiki tembok rumah yang rosak. Akibat tidak puas hati Nabi Musa terhadap sikap orang kampung, beliau enggan membantu. Nabi Khidir menegaskan bahawa dia tidak dapat menerima Nabi Musa sebagai muridnya dan mereka harus berpisah.

Akhirnya Nabi Khidir menjelaskan akan setiap tindakannya kepada Nabi Musa. Dan tahulah Nabi Musa bahawa setiap yang dilakukan ada sebabnya.

Ibrah Dari Kisah Nabi Khidir dan Nabi Musa

Di dalam kehidupan kita seharian terdapat pelbagai pengajaran yang kita boleh pelajari dari masyarakat sekeliling. Mengambil iktibar dari sikap Nabi Musa yang mengaku bahawa dia adalah manusia yang paling berilmu menimbulkan penyakit riak dan berupaya mendatangkan kemurkaan Allah swt.

Riak merupakan penyakit hati yang berupaya menyebabkan kita kufur nikmat dan memandang rendah terhadap orang lain.

Seterusnya adalah adab dalam berguru. Tindakan Nabi Musa yang tidak menepati janji dan sering mempersoalkan tindakan Nabi Khidir menyebabkan Nabi Khidir memutuskan untuk tidak lagi membawa Nabi Musa dalam kembaranya. Setiap tindakan yang dilakukan Nabi Khidir mempunyai sebab tertentu dan Nabi Khidir mendapat petunjuk dari Allah swt sebelum melakukan perbuatan tersebut.

Rujukan

Penulis: Noor Hazreen Mohd Mokhtiar

Noor Hazreen Mohd Mokhtiar

Berkhidmat sebagai seorang guru tuisyen Bahasa Melayu mendatangkan minat dalam bidang penulisan.Suka berkongsi idea dan info dengan rakan-rakan tak kira di alam maya atau realiti . Mengharapkan setiap yang membaca mendapat manfaat yang sebaiknya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.