Ibu ingin berbincang dengan anda akan topik di atas. Tengah hari di suatu hari, semasa sedang membeli di salah sebuah kedai runcit berhampiran rumah Ibu, tiba-tiba Ibu terdengar suara kecil meminta duit seringgit.

“Mak Cik nak duit seringgit nak beli keropok,” kata suara itu. Ibu menoleh ke belakang dan melihat dua orang anak kecil berusia lebih kurang tujuh dan lapan tahun menadah tangan.

tips mendidik anak
babiesborn.blogspot.com.au

Tersentak Ibu dibuatnya. Melihat dari rupa pakai, anak-anak itu tidaklah melarat hidup mereka. Namun, untuk kepastian Ibu bertanya. ” Lapar ya?” Mereka mengangguk.

Ibu hampir mahu mengeluarkan duit untuk memberi, tapi terhenti terasa seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan anak-anak ini. Ibu lalu memberitahu mereka yang Ibu akan membelikan sendiri. Dalam hati, berhajat untuk membeli lebih dari seringgit.

“Ok, Makcik belikan sekarang”, kata Ibu.

“Tak nak keropok tu,” bentak salah seorang kanak-kanak itu.

Terkejut Ibu, lalu bertanya,” Kenapa?”

“Kat situ mahal,” jawab anak yang membentak tadi.

“Takpe lah Makcik yang belikan,” jawab Ibu menenangkannya.

“Saya nak beli yang kat sana,” menunjukan arah yang memang tiada keropok di jual. Ibu mulai curiga.

Lalu mula bertanya anak-anak itu di mana rumah mereka, mak ayah ada tak, dah pergi sekolah ke tidak. Nampak cerita mereka bertukar-tukar. Ibu lagi curiga. Terdetik di hati sudah berapa lama anak-anak kecil ini menggunakan strategi meminta dari orang ini.

Walaupun mereka bukan anak atau cucu Ibu, Ibu amat kasihan. Namun, kasihan Ibu bukan hanya sekadar menghulur duit.

Ibu mahu mereka ada peluang untuk memahami mereka tiada masa hadapan jika mereka teruskan aktiviti begini. Dengan penuh kasih-sayang dan hormat kepada mereka Ibu terus berkata,

” Sayang, sebenarnya tidak berapa baik untuk suka meminta-minta dari orang lain ni. Jika mak ayah tahu tentu mereka malu. Jika kita mahu duit, belajarlah membuat kerja yang boleh mendatangkan duit yang halal.”

Niat Ibu untuk mengajar mereka berusaha untuk apa yang mereka mahu, bukan sekadar meminta. Jika mereka mahu menolong mengangkat barang yang Ibu beli itu, yang tidak banyak itu, Ibu akan beri mereka lebih dari yang mereka minta. Sebab Ibu mahu mengajar mereka untuk berusaha dan jangan hanya meminta.

Tiba-tiba salah seorang pergi ke peti ais dan mengambil minuman jus yang berharga lebih dua ringgit lalu terus berkata, ” Nak air ni boleh?” Seolah-olah tuli telinganya kepada apa yang Ibu katakan tadi.

Ibu menarik nafas, ” Dahaga ya? Jika dahaga Mak Cik belikan air kosong sejuk ni.” “Tak nak air kosong !”bentak adik yang membentak tadi.

“Habis nak air apa?” Sengaja Ibu hendak melihat akalnya. Dengan pantas dia ke peti ais itu dan mengambil air jus juga.

Ibu menghela nafas panjang. Sudah ternyata budak-budak ini sudah biasa melakukan aktiviti ini. Dan pada pandangan mereka Ibu ini adalah nenek yang boleh ditipu-tipu dan diminta-minta.

Ibu senyum kepada mereka. Ibu tahu Ibu kasih kepada mereka dan Ibu akan melayan mereka dengan kasih-sayang dan TEGAS. Ibu tahu, jika mereka benar-benar lapar dan dahaga mereka akan menerima apa sahaja yang Ibu beri. Mereka tidak akan banyak kira.

Ibu lalu berkata kepada mereka dengan suara yang tegas tapi lembut, ” Ok, sebab dahaga, makcik beli air kosong ini,” senyum Ibu kepada anak-anak itu.

” Tak nak, air kosong tak de rasa,” bentak si adik. ” Oh, kalau begitu tak perlulah kita beli air, sebab tak dahaga!” jawab Ibu tegas.

Nampak mati akal anak itu. Ibu mengajak mereka untuk membeli keropok lekor di hadapan kedai itu. Tiba-tiba kedua-dua mereka berlal dari situ. Ibu panggil, bertambah laju mereka berlari.

Ibu tersenyum sendiri. Senyum pahit dan di hati ini memikirkan siapalah emak-ayah budak-budak itu? Tahukah mereka akan aktiviti anak-anak mereka ini?

Semasa memandu untuk pulang ke rumah, Ibu ternampak dua anak-anak kecil itu bermain di kaki lima kedai. Nampak seperti mereka baru membeli mainan bebola kecil yang berisi benda di dalamnya yang biasa terjual di depan kedai. Terdetik hati Ibu, agaknya itulah keropok yang mereka nak beli dengan duit seringgit tadi.

Ibu terus berdoa kepada Allah, agar anak-anak kecil ini Allah pimpin hati mereka agar tidak menjalani hidup seperti itu lagi. Agar mereka akan terdorong menjadi orang yang ikhlas dan berjaya. Agar ibu bapa mereka tersedar dan menjadi prihatin dalam mendidik mereka.

“Kasihanilah mereka Allah, mereka masih merupakan hambaMu yang kudus. Hati mereka masih jernih, cuma mereka keliru. Semoga mereka berjumpa orang yang boleh membimbing mereka untuk berjaya di dalam hidup di dunia dan akhirat.”

Sayang semua, jagalah anak-anak baik-baik. Jangan kita tidak prihatin kerana anak-anak adalah anugerah yang diamanahkan oleh Tuhan kepada kita. Miskin atau kaya bukan persoalannya. Jika miskin tapi berwawasan, anak tetap akan dijaga dengan baik.

Jika miskin pun, ajarlah anak menghargai ilmu, rajin belajar dan berusaha. Miskin bukan passport untuk mengajar anak melata dan meminta-minta dari orang. Ramai ibu bapa miskin dahulu yang dapat menjaga anak-anak dengan baik sehingga boleh ke menara Gading dan mengubah ekonomi keluarga.

Ajar anak untuk berusaha jika dia mahu sesuatu yang lebih. Seperti anak-anak kecil tadi, jika mereka meminta untuk mengangkat barang-barang Ibu ke kereta pun Ibu akan menghulurkan wang yang membolehkan mereka untuk membeli minuman yang mereka mahu itu.

Namun, bila mereka hanya sekadar menadah tangan…maka bagaimana masa hadapan mereka nanti? Entitlement mindset menjadi lebih kuat di dalam diri mereka. Bila ini bersarang di dalam minda mereka, banyaklah perkara yang tidak baik yang mereka boleh lakukan. Yang paling kecil, memaksa orang menanggung hidup mereka.

Bukankah ini sudah banyak berlaku? Mak bapak yang sudah tua tetapi masih lagi terpaksa menanggung anak-anak yang sihat muda belia yang malas bekerja yang hidup saban hari tidur dan berpoya?

Kerja mereka meminta dan membentak untuk mendapat apa yang mereka mahu. Semua itu bermula bila hati kudus mereka dinodai dengan kealpaan ibu bapa.

Kadang-kadang adalah lebih susah untuk tidak memberi dari memberi. Namun, bila kita jelas dengan matlamat yang hendak kita capai, maka walaupun kita sakit, kita dapat teruskan dan tidak berkata dua lagi.

Semoga Allah memimpin kita.

Salam Kasih

Penulis: Dr Rozieta Shaary

Prof. Dr. Rozieta Shaary atau juga dikenali sebagai Ibu Rose adalah Family & Love Guru yang telah berkecimpung dalam bidang Pembangunan Modan Insan dan pendidikan melebihi 25 tahun. Beliau boleh dihubungi di Facebooknya

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.