Taugeh merupakan sayuran yang kerap dimasukkan ke dalam makanan seperti mi goreng, kuetiau goreng, mi rebus, soto dan sebagainya. Namun, apa yang penulis perhatikan ramai orang tak suka makan taugeh.

Mereka sanggup mengasingkan taugeh ketika menjamu selera. Malahan, ada yang tidak mahu sayur ni dimasukkan ketika memesan makanan di restoran atau gerai. Senang cakap, sayur ni dibenci oleh ramai orang. Mengapa ye?

Jika ditanya, kebanyakan akan beritahu rasanya yang tak sedap mengganggu nikmat makan. Wah, begitu sekali! Namun, tahukah anda taugeh mempunyai khasiat yang amat tinggi? Nasib baik penulis suka makan taugeh!

Semoga lepas baca artikel ni, ramai yang akan berubah hati dan mula sukakan taugeh. Jangan lupa, Allah tak akan mencipta sesuatu itu tanpa ada sebabnya. Hikmah diciptakan taugeh ialah khasiatnya kepada manusia. Jom semak!

Khasiat Taugeh dari Aspek Kesihatan

khasiat taugeh

Imej via naturalfoodseries

Antikanser

Taugeh ialah hasil cambahan daripada kacang hijau dan alfalfa mengandungi banyak unsur fitokimia yang bernutrien tinggi. Salah satu khasiatnya ialah kehadiran canavanine iaitu sejenis asid amino.

Asid amino ini mampu menghalang pertumbuhan kanser usus besar, pankreas dan leukimia.

Baik untuk Sistem Pencernaan

Serat dan enzim semula jadi di dalam taugeh dapat meningkatkan kontraksi di dalam usus yang membolehkan kelancaran proses membuang air besar. Oleh itu, sesiapa yang mengalami masalah sembelit, jangan lupa makan taugeh setiap hari. Asid dalam perut dapat dikekalkan dan dapat melancarkan sistem pencernaan.

Baik untuk Wanita

Tahukah anda, taugeh mempunyai estrogen semula jadi? Fungsinya sama seperti estrogen sintesis yang utama untuk wanita. Estrogen dalam taugeh dapat meningkatkan kepadatan dan susunan tulang dan mencegah osteoporosis.

Malahan, memakan taugeh secara kerap dapat mengelakkan sakit semasa haid, simptom pra-menopaus, gangguan menopaus dan kembung perut. Semangkuk taugeh mengandungi vitamin A, B1, C, E dan K yang sangat baik untuk tubuh badan wanita.

Menggalakkan Kesuburan

Jika pasangan yang sudah berkahwin mempunyai masalah kesuburan yang menyukarkan mereka mendapat anak, taugeh sangat bermanfaat. Pengambilan taugeh oleh kaum lelaki mampu menghasilkan sperma yang baik dan berkualiti. Malahan, bagi kaum wanita ovum yang dihasilkan ketika proses ovulasi juga berkualiti.

Mengurangkan Lemak

Bagi pesakit jantung dan mereka yang berisiko mendapat strok disebabkan oleh kadar kolestrol yang tinggi, digalakkan untuk mengambil taugeh dalam hidangan harian.

Saponin di dalam taugeh akan menyingkirkan lemak jahat (LDL) tanpa mengganggu lemak baik (HDL). Ini kerana ketika kacang hijau tumbuh sebagai taugeh, dikatakan bahawa kadar saponinnya meningkat sebanyak 450 peratus.

Membersihkan Usus

Taugeh sangat kaya dengan serat dan air dapat membersihkan segala kekotoran di usus besar. Apabila saluran usus bersih, tiada lagi zat dalam kotoran yang akan diserap oleh tubuh. Oleh itu, segala toksik dalam badan yang boleh merangsang penyakit dapat dielakkan.

Kurangkan Tekanan

Kandungan flavonoid yang terdapat di dalam taugeh mampu mengurangkan masalah stres yang membawa kepada depresi. Flavonoid dapat merangsang hormon melatonin yang mengawal mood. Selain itu, ia juga membantu kita mendapatkan tidur yang berkualiti.

Menurunkan Berat Badan

Taugeh mempunyai kalori yang rendah. Disebabkan ia kaya dengan serat, kita akan mudah berasa kenyang. Ini menyebabkan taugeh merupakan pilihan yang sihat dan baik sekali bagi orang yang ingin menurunkan berat badan.

Tingkatkan Fungsi Organ

Taugeh sesuai dimakan secara dimasak atau dibuat ulam. Berbanding sayuran dan buah-buahan yang tak dimasak, taugeh mengandungi 100 kali lebih banyak enzim. Enzim ini mengandungi protein khas yang meningkatkan fungsi organ di dalam tubuh kita.

Jika kita hendak mengelak makan daging atau ayam, taugeh boleh digantikan sebagai sumber protein. Taugeh mampu memberi 35 peratus protein untuk tubuh.

Mencegah Anemia

Kandungan asid folik yang tinggi di dalam taugeh sangat baik untuk meningkatkan sel darah merah yang membawa oksigen. Pengeluaran sel darah merah yang stabil menghalang terjadinya anemia.

Meningkatkan Metabolisme Badan

Vitamin B yang terdapat di dalam taugeh dapat meningkatkan metabolisme badan dengan cara memastikan sel-sel berfungsi dengan baik. Ia mengubah makanan menjadi sumber tenaga, memelihara sel-sel otak dan jaringan tubuh badan.

Baik untuk Penglihatan

Jika anda tak mahu ada masalah penglihatan seperti rabun, banyakkan makan taugeh. Kandungan vitamin A di dalamnya meningkatkan kesihatan mata. Ia juga mempunyai agen antioksidan yang dapat melindungi sel-sel mata daripada radikal bebas. Radikal bebas ni dapat merosakkan retina yang akan menyebabkan katarak.

Mengurangkan Asid

Pakar pemakanan mengesyorkan, kita perlulah mengambil makanan beralkali sebanyak 80 peratus dan 20 peratus lagi makanan berasid. Mereka yang mengekalkan corak pemakanan seperti ini akan lebih bertenaga dan sihat.

Salah satu makanan yang tinggi alkali ialah taugeh. Ia mampu mengekalkan keseimbangan nilai pH dalam badan. Malahan, dilaporkan juga individu yang mempunyai badan yang tinggi asid cenderung mendapat serangan kanser.

Khasiat Taugeh dari Aspek Kecantikan

Mencantikkan Kulit Wajah

Nak cantik, tapi tak suka taugeh. Tak perlu membeli produk yang mahal-mahal di pasaran kerana taugeh juga mampu memberi kesan yang sama. Kandungan Omega 3 di dalamnya dapat mengurangkan masalah jerawat dan jeragat.

Masalah bintik putih dan hitam juga dapat dikurangkan. Tak percaya? Cuba amalkan memakan sayur taugeh setiap hari. Anda pasti tak akan menyesal.

Rambut yang Cantik

Taugeh mengandungi vitamin A yang boleh merangsang folikel rambut dan kulit kepala. Jika anda nak rambut yang cantik, sihat, kuat dan hitam menawan, makanlah taugeh sebagai sumber vitamin setiap hari. Jangan tak tahu, masalah kelemumur juga boleh berkurangan.

Melembapkan Kulit

Jika anda mempunyai kulit yang terlalu kering, masalah ni boleh diatasi dengan memakan taugeh secara kerap. Taugeh mempunyai kandungan vitamin C dan air yang tinggi. Hasilnya kulit nampak sihat, licin, tona sekata dan berseri-seri.

Awet Muda

Kandungan antioksidan yang tinggi di dalam taugeh mampu menghalang tubuh daripada radikal bebas yang merosakkan sel. Radikal bebas yang terhasil daripada pencemaran udara dan sinaran UV akan merosakkan kulit muka.

Kalau anda nak nampak muda dan kekal menawan, jangan buang taugeh ketika makan mi goreng. Lagi satu, rajinkanlah diri untuk memasak taugeh ketika di rumah. Lebih jimat bukan?

Apa pendapat anda tentang taugeh selepas membaca artikel ni? Diharapkan para pembaca yang ‘memusuhi’ taugeh selama ni dah mula jatuh hati. Kadangkala benda yang kita tak suka itu mempunyai banyak kebaikan.

Mulai hari ni, cuba untuk makan taugeh. Jangan terlalu rajin asingkan taugeh apabila makan kuetiau. Kalau tak mampu juga, apa kata telan saja sambil tutup mata. Bayangkan yang indah-indah untuk kesihatan kita. Selamat mencuba!

Jemput baca juga artikel khasiat madu kelulut dan khasiat halba

Rujukan

  • Wow Rupanya Antara Khasiat Makan Taugeh Selalu Boleh Tingkatkan Kesuburan Suami Isteri. https://www.mingguanwanita.my/wow-rupanya-antara-khasiat-makan-taugeh-selalu-boleh-bantu-tingkatkan-kesuburan-suami-isteri(link)

 

 

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.