Tahukah anda mengenai khasiat kesihatan minyak zaitun? Mari teruskan membaca artikel ini untuk mengetahui khasiat dan kebaikan minyak zaitun.

Pengenalan

Apabila disebut olive oil atau pun minyak zaitun, apakah perkara pertama yang terlintas di fikiran anda? Semestinya kini anda membayangkan minyak zaitun yang digunakan sebagai bahan dalam beberapa masakan seperti salad dan spageti, bukan?

Minyak zaitun juga sinonim dengan masakan berunsurkan diet Mediterranean.

Harganya di pasaran juga agak mahal kerana perlu diimport dari luar negara.

Secara tradisionalnya minyak zaitun sangat terkenal dalam potensinya untuk merendahkan kolestrol, mengelakkan penyakit jantung dan sangat rendah lemak. Diet yang berasal daripada Timur Tengah ini telah membuktikan Extra Virgin Olive Oil (EVOO) adalah yang terbaik dari banyak aspek khususnya kesihatan.

Menurut statistik, seorang lelaki biasa Greek akan mengambil 20 liter minyak zaitun setiap tahun berbanding dengan lelaki Malaysia yang hanya 2 liter setahun. Negara-negara yang kebanyakan populasinya mengamalkan minyak zaitun seperti Itali, Greek dan Sepanyol dalam pemakanan mereka didapati mempunyai kadar kanser yang jauh lebih rendah berbanding populasi negara Eropah Utara yang kurang mengamalkannya.

"

Kandungan Kimia Minyak Zaitun

Minyak zaitun dihasilkan dengan cara pemerahan sejuk buah zaitun tanpa menggunakan bahan kimia tambahan dan hanya sedikit haba dikenakan. Umumnya, komposisi kimia minyak zaitun ialah pecahan gliserol (90-99%) dan sedikit amaun bahan bukan gliserol (0.4-5%).

Minyak zaitun sebenarnya merupakan sumber kepada sekurang-kurangnya 30 sebatian fenolik. Antara sebatian utama tersebut dikenali sebagai oleuropein, hydroxytyrosol dan tyrosol. Banyak kajian tertumpu kepada keupayaan aktiviti biokimia sebatian tersebut.

Para saintis mengelaskan sebatian ini kepada 6 kumpulan iaitu:

  1. Asid fenolik
  2. Alkohol fenolik
  3. Secoiridoid
  4. Hidroksi-isocromans
  5. Flavonoid
  6. Lignan

Secara umumnya, sebatian fenolik yang terdapat dalam minyak zaitun mempunyai ciri anti-oksidan dan anti radikal yang kuat.

Imej via Bidadari

Kandungan dan kualiti mintak zaitun juga sebenarnya dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti:

  • Demografi kawasan penanaman
  • Varieti (kandungan tinggi mengikut varieti pokok zaitun: Cornicabra > Picual > Hojiblanca > Arbequina)
  • Usia pokok (pokok berusia 6-7 tahun menghasilkan kandungan fenolik tertinggi berbanding pokok berusia 4-5 tahun dan lebih muda)
  • Kematangan buah (buah yang matang mempunyai kandungan tertinggi berbanding buah muda, namun buah yang sudah ranum didapati berkurangan kandungan sebatian fenolik kerana berlaku penguraian sebatian kimia).
  • Pemprosesan (kisaran menggunakan alatan seperti tukul > pengisar dari batu)
  • Penyimpanan (simpanan di kawasan gelap dan bertutup menjamin kualiti kandungan kimia dalam minyak zaitun, namun melebihi 6 bulan, didapati kandungannya akan berubah)
  • Haba (minyak zaitun tidak disesuai dimasak dengan suhu tinggi seperti untuk menggoreng kerana sebatian kimianya akan terurai, maka lebih sesuai digunakan terus dalam suhu bilik atau pada suhu rendah dalam tempoh sekejap di atas api)

Khasiat dan Kebaikan Minyak Zaitun

Berikut merupakan 5 khasiat dan kebaikan minyak zaitun yang boleh digunakan dalam kehidupan seharian kita, berdasarkan petua turun-temurun yang diwarisi.

#1 Untuk Penjagaan Kulit Muka

Di Malaysia, akibat cuaca yang terlampau panas kadang kala menyebabkan kulit kita kering dan tidak bermaya. Jadi, gunalah minyak zaitun untuk melembabkan semula. Apabila anda mandi, sapukan sedikit minyak zaitun ke kulit dan anda akan lihat kesannya dengan serta merta.

Untuk kegunaan di kaki pula, anda boleh menggunakan stoking rendaman minyak zaitun untuk mendapatkan kulit kaki yang lebih licin dan lembut. Bukan itu sahaja. Minyak zaitun boleh digunakan sebagai pelembab bibir, kuku bahkan punggung bayi anda bagi memudahkan untuk membuang najis.

Selain itu, minyak zaitun boleh diletakkan di kulit kepala dan rambut anda bagi merawat masalah kelemumur dan kulit kepala kering. Hanya letakkan minyak zaitun di kulit kepala anda sejam sebelum anda mandi. Biarkan selama sejam kemudian bilas dengan air.

#2 Terapi Oil-Pulling

Oil-Pulling adalah teknik daripada Ayuverda yang telah digunakan secara meluas di dalam dunia terapi. Selalunya sesudu minyak zaitun akan dikumurkan selama 15 ke 20 minit beberapa kali setiap hari. Mungkin bagi mereka yang pertama kali mendengarnya berasa janggal dengan teknik ini.

Tetapi teknik ini sebenarnya boleh menyah toksik badan anda dengan membunuh dan menyingkirkan bakteria, hingus dan segala toksik yang tersekat di badan. Dengan teknik ini, ramai orang mengatakan boleh lega daripada penyakit seperti arthritis dan alergik sehinggalah ke demam dan senggugut.

#3 Mengurangkan Masalah Rambut Gugur, Bulu

Imej via Bidadari

Lazimnya, binatang peliharaan seperti kucing lebih terdedah kepada masalah ini. Jika binatang pelihaaan anda memakan bulu yang rosak dan tidak sihat, ini akan menyebabkan masalah pencernaan kepadanya.

Jadi ia akan memuntahkan semula bulu yang rosak tersebut. Dengan memberi minyak zaitun pada binatang peliharaan anda, bulu mereka akan menjadi lebih lembut dan teratur maka tidak akan wujudlah masalah ini lagi!

Dikatakan jika anda tambahkan setengah sudu teh minyak zaitun ke dalam makanan binatang peliharaan setiap hari, anda akan melihat perubahan ke atas mereka yang kini mempunyai bulu yang lebat dan cantik!

Secara tidak langsung, anda boleh mengamalkan menyapu minyak zaitun pada rambut anda untuk mendapat rambut yang sihat dan bersinar!

#4 Menambahkan Kelembapan Kek

Kita tahu minyak zaitun boleh melembabkan kulit dan rambut. Tetapi bukan itu sahaja! Dengan Vitamin E dalam minyak zaitun, akan membuatkan bukan sahaja kek, tetapi cupcake dan muffin anda kelihatan lembap dan gebu.

Minyak zaitun juga boleh menahan kelembapan itu daripada kering dengan cepat selain menambahkan nutrien-nutrien tambahan ke dalam kek.

Bukankan lebih seronok jika kita makan sambil menjaga kesihatan?

#5 Mengilatkan Kayu

Selain daripada kelebihan yang disebutkan di atas, minyak zaitun juga boleh digunakan untuk mengilatkan perabot perabot anda di rumah seperti kayu dan lantai.

Tetapi diingatkan janganlah guna minyak gred yang terlalu tinggi kerana bimbang ia akan merosakkan kerja si tukang kayu kerana kandungan gred yang tinggi boleh melunturkannya. Pastinya anda akan lebih gembira melihat perabot perabot anda lebih bersinar dengan menggunakan minyak zaitun.

Kajian Saintifik

Imej via Bidadari

Dari segi penyelidikan saintifik pula, terdapat beberapa kajian dijalankan ke atas kaitan pengambilan minyak zaitun terhadap perkembangan kesihatan manusia. Lopez-Miranda pada tahun 2010 ada mengulas berkenaan senarai kesan pengambilan minyak zaitun ke atas kualiti kesihatan manusia, antaranya:

  • Profil lipid yang lebih baik apabila kolestrol-LDL berkurang dan kolestrol-HDL meningkat
  • Peningkatan metabolisma glukosa dalam kalangan pesakit diabetis
  • Kawalan tekanan darah
  • Pengurangan darah beku dalam saluran darah
  • Pengurangan risiko penyakit kaitan kognitif dan lanjut usia
  • Peningkatan fungsi endothelial (lapisan pembuluh darah)

Sementara itu, Cicerale et al. (2008) ada merumuskan beberapa kajian lepas tentang kesan kandungan sebatian fenolik dalam minyak zaitun ke atas aktiviti selular, seperti  berikut:

  • Mengurangkan aktiviti dan fungsi platelet darah
  • Penunjuk kepada fungsi selular melalui peningkatan gandaan pertumbuhan sel baharu dan pengurangan kematian sel
  • Merencatkan aktiviti mikrob
  • Meningkatkan kapasiti anti-oksida dalam plasma
  • Penunjuk aktiviti keradangan dengan menurunkan aktiviti penghasilan asid arachidonik, TXB2, ltb4 dan COX yang menyebabkan keradangan

Kesimpulan

Semestinya, terdapat banyak lagi khasiat dan kegunaan minyak zaitun ini yang tidak disenaraikan dan terus dikaji oleh para saintis. Usah ragu ragu lagi dengan keupayaan minyak zaitun. Pengambilannya juga amat mudah untuk diamalkan pada setiap hari.

Hanya makan satu sudu minyak zaitun dalam makanan anda setiap hari dan anda akan menikmati khasiatnya yang banyak itu. Tambah-tambah lagi jika dijadikan amalan dan bahan wajib di dalam masakan.

Rujukan

  1. Cicerale, S., Conlan, X. A., Sinclair, A. J., & Keast, R. S. (2008). Chemistry and health of olive oil phenolics. Critical reviews in food science and nutrition49(3), 218-236. (link)
  2. López-Miranda, J., Pérez-Jiménez, F., Ros, E., De Caterina, R., Badimón, L., Covas, M. I., … & de la Lastra, C. A. (2010). Olive oil and health: summary of the II international conference on olive oil and health consensus report, Jaén and Córdoba (Spain) 2008. Nutrition, metabolism and cardiovascular diseases20(4), 284-294. (link)
  3. Tuck, K. L., & Hayball, P. J. (2002). Major phenolic compounds in olive oil: metabolism and health effects. The Journal of nutritional biochemistry13(11), 636-644.  (link)

Khasiat Sumber Makanan Lain

Kami juga ada menulis beberapa artikel tentang khasiat sumber makanan yang lain. Semoga ianya turut bermanfaat. Oh ya, jangan lupa untuk share dan kongsi dengan menekan butang share Facebook jika artikel yang dikongsi bermanfaat.

*Artikel ini telah dikemas kini oleh Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof pada 25 Mac 2020

Penulis: Tasneem Haneem

Tasneem Haneem

Tasneem Haneem merupakan penulis di Bidadari.My. Minat dengan tulisan kekeluargaan.

    Tinggalkan Komen!


    Langgan Info Kami

    Berkaitan


    error: Content is protected !!
    .