Bila sebut tentang mandi limau, perkara pertama yang terlintas di fikiran anda pastinya amalan perubatan islam dan tradisional untuk menghilangkan sihir dan gangguan makhluk  halus. Ini kerana mandi limau adalah sinonim dengan ritual tersebut.

Namun tahukah anda bahawa yang  sebenarnya amalan mandi limau telah diamalkan sejak zaman nenek moyang kita dulu lagi kerana terdapat 1001 khasiat disebalik amalan mandi limau.

Istimewa untuk anda hari ini kami akan kongsikan khasiat mandi limau yang tak ramai anak muda zaman sekarang tahu.

khasiat mandi limau
Sumber: Mediamaklumat

Menyegarkan badan

Salah satu daripada khasiat mandi limau ialah untuk menyegarkan tubuh badan yang lesu dan penat. Apabila anda balik dari kerja dalam keadaan yang penat, ditambah lagi dengan kepenatan menghadap kesesakan lalu lintas, mandi limau adalah satu hadiah untuk diri sendiri.

Aroma segar dari limau pastinya akan membuatkan anda terlupa sekejap tentang kepenatan yang dialami. Cara untuk menyediakan mandian limau adalah sangat mudah. Ambil beberapa biji limau, potong. Tak perlu potong terlalu nipis.

Masukkan limau tadi kedalam baldi atau besen yang berisi air. Perah limau supaya keluar airnya. Apabila mula mandi, selepas anda selesai bersyampu dan bersabun, basahkan badan dengan air limau tadi. Gosokkan kulit limau ke badan. Kemudia bilas dengan air biasa.

Menghilangkan sakit kepala

Kalau anda kerap sakit kepala, mandi air limau adalah sangat membantu. Ini kerana aroma harum dari kulit limau boleh mengurangkan kesakitan yang dialami.

Malah keasidan limau yang terkena kulit kepala boleh merehatkan pembuluh darah di kepala yang sedang membengkak dan terlalu sarat dengan aliran darah. Cara mandi limau untuk menghilangkan sakit kepala adalah seperti berikut:

  1. Ambil 3 biji limau nipis. Potong kepada 4 bahagian.
  2. Masukkan ke dalam besen atau baldi yang berisi air sejuk.
  3. Perahkan limau agar airnya keluar.
  4. Basahkan kepala dengan air limau tadi. Gosokkan kulit limau pada seluruh kepala, pastikan terkena kulit kepala. Fokus kepada bahagian kepala yang sakit.
  5. Kalau anda seorang yang beragama islam boleh berselawat dan minta Allah hilangkan sakit kepala yang dialami.
  6. Tidak perlu bilas. Biarkan air limau tinggal di kepala dan rambut.
  7. Lap badan dan pakai pakaian seperti biasa.

Menghilangkan sakit badan

Kalau anda selalu mengalami masalah sakit badan, lenguh-lenguh, dan terasa badan berat, mandi limau boleh membantu menghilangkan masalah yang anda alami.

Anda pernah dengar tentang mandi ais bersama limau? Ia adalah satu kaedah tradisional yang terbukti berkesan untuk memberikan badan yang ringan dan bebas dari sakit-sakit serta lenguh-lenguh. Cara untuk mandi ais bersama limau ialah seperti berikut:

  1. Sediakan 3 biji limau nipis. Potong nipis.
  2. Sediakan satu pek ais. Pek ais boleh dibeli dari kedai serbaneka seperti 7-eleven, Speedmart99, KK Mart, dan stesyen minyak.
  3. Sediakan segenggam garam bukit atau garam kasar.
  4. Masukkan semua bahan tadi ke dalam satu baldi air.
  5. Biarkan seketika supaya air menjadi sejuk. Sambil meramas limau agar air limau sebati dengan garam dan ais.
  6. Mandi dengan air limau berserta ais dan garam tadi. Mulakan dengan menjirus kaki terlebih dahulu dan naik ke atas. Jangan jirus terus ke kepala.
  7. Kalau anda tak mampu mandi seluruh badan akibat tak tahan dengan kesejukannya, sebagai alternatif anda boleh rendamkan kaki dalam air yang disediakan tadi. Insya Allah ianya juga berkesan.
khasiat mandi limau
Sumber: Rileklah

Menghilangkan angin dalam badan

Semakin kita berusia, biasanya tubuh badan akan mula meragam dan mudah dimasuki oleh angin. Badan yang berangin akan menyebabkan kita berasa tidak selesa.

Selain makan ubat klinik atau dibeli dari farmasi, salah satu ikhtiar yang boleh anda lakukan ialah dengan mandi limau. Cara mandi limau untuk menghilangkan angin adalah sama seperti yang kami nyatakan di atas tadi.

Cuma bezanya anda boleh masukkan limau dan sedikit garam bukit atau garam kasar dalam air mandian. Amalan mandi air limau bersama garam akan membantu mengatasi masalah angin dalam badan.

Menaikkan seri muka

Yang ini pasti ramai perempuan suka. Tahukah anda bahawa mandi air limau bersama kuntuman bunga membantu menaikkan seri muka dan menghadirkan aura positif yang akan membuatkan orang suka pada kita.

Cara mandi limau untuk menaikkan seri muka ialah seperti berikut:

  1. Ambil 3 biji limau nipis. Potong kepada 4 bahagian.
  2. Masukkan ke dalam besen atau baldi yang berisi air sejuk.
  3. Perahkan limau agar airnya keluar.
  4. Masukkan kuntuman bunga . Boleh guna apa jenis bunga asalkan ianya harum. Anda boleh beli kuntuman bunga yang gugur dari  kedai menjual bunga.
  5. Basahkan kepala dengan air limau tadi. Gosokkan kulit limau dan kuntuman bunga ke seluruh tubuh badan.
  6. Tidak perlu bilas.
  7. Lap badan dan pakai pakaian seperti biasa.

Itulah dia info tentang khasiat mandi limau yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang khasiat limau purut, khasiat daun parsley, dan khasiat daun kunyit.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.