Madu kelulut semakin mendapat tempat dalam kalangan penggemar makanan kesihatan tradisional. Tidak hairanlah makin ramai pengusaha tempatan khususnya golongan Bumiputera mula menceburkan diri dalam penternakan madu kelulut.

Mari kita singkap kelebihan madu kelulut dari sudut pandangan kesihatan sebagaimana yang telah dikaji melalui penyelidikan saintifik.

Pengenalan

Madu kelulut dihasilkan oleh lebah kelulut. Lebah kelulut (juga digelar meliponini) ialah lebah tidak bersengat dengan saiz lebih kecil yang menghasilkan madu sama seperti lebah madu.

Dianggarkan terdapat hampir 500 spesis lebah kelulut di seluruh dunia, antaranya Trigona scaptotrigonaTrigona laevicepsTrigona apicalis, Trigona thorasicaTrigona itama dan lain-lain lagi. Lebah kelulut boleh didapati di kebanyakan kawasan-kawasan tropika dunia, seperti Australia, Afrika, Asia tenggara, dan kawasan tropika Amerika.

kelulut

Imej via Khasiat Habbatus Sauda

Antara negara Asia Tenggara yang dikenal pasti mempunyai lebah Trigona ialah seperti

  • Indonesia (37 spesis)
  • Thailand (20 spesis)
  • Myanmar (9 spesis)
  • Vietnam (8 spesis)
  • India (3 spesis)
  • Taiwan (1 spesis)

Manakala negara kita Malaysia mempunyai lebih daripada 29 spesis lebah Trigona di hutan hujan tropika.

"

Mereka boleh dijumpai sepanjang tahun dengan iklim Khatulistiwa yang semestinya memberikan kelebihan tersendiri secara semula jadinya dari segi habitat dan pekerjaan harian mereka menghasilkan madu.

Madu Kelulut

Madu kelulut dikatakan mempunyai pelbagai khasiat dan lebih tinggi khasiatnya jika dibandingkan dengan madu lebah biasa. Kelulut menyimpan madu di dalam sarang yang berbentuk tempayan kecil yang dilapisi propolis.

Rasanya masam sedikit berbanding madu lebah. Rasa madu kelulut yang masa-masam manis ini menunjukkan sifat asid dan telah diuji oleh Fatima et al. (2018) yang merekodkan bacaan pH 2.79.

Lebah ini penting sebagai agen pendebungaan di hutan-hutan dan kebanyakan spesis buah, bunga, sayur dan tanaman lain.

Menurut Pegawai Penyelidik MARDI, Mohd. Fahimee Jaapar, sebelum ini kelulut hanya digunakan sebagai agen pendebungaan sahaja dan biasanya boleh menghasilkan madu dalam tempoh satu bulan. Ramai yang beranggapan kelulut tidak boleh menghasilkan madu dalam kuantiti banyak.

Namun, hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) penternakan kelulut yang diusahakan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), telah berjaya membuktikan meningkatkan pengeluaran madu kelulut sehingga 2 kilogram (kg) untuk satu koloni dalam tempoh satu bulan.

Kelebihan Madu Kelulut

Imej via Bidadari

Madu kelulut sememangnya mempunyai banyak khasiat. Disebabkan lebah kelulut lebih kecil berbanding lebah biasa, mereka mampu menghisap madu daripada bunga sehingga ruang paling dalam. Hasilnya, madu yang dihisap mengandungi lebih banyak vitamin dan mineral tertentu.

Antara bahan penting dalam madu ini yang dihasilkan kelulut ialah propolis. Propolis dihasilkan oleh lebah melalui campuran air liurnya dengan bahan makanannya seperti:

  • debunga
  • kulit kayu
  • pucuk-pucuk pokok
  • bunga

Anak-anak lebah kelulut dan kokun sangat sensitif terhadap serangan virus, kulat dan serangga perosak. Untuk memastikan sarang sentiasa bersih, steril dan dalam persekitaran yang terkawal, lebah kelulut menghasilkan propolis yang berfungsi sebagai antikulat, antivirus dan antibakteria.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, berikut merupakan antara 5 khasiat madu kelulut untuk kesihatan:

1) Anti Mikrob

Kelulut mengeluarkan propolis yang mengandungi antibiotik semula jadi dan anti bakteria. Hal ini boleh dilihat pada keadaan sarang kelulut yang tidak diserang oleh mikroorganisma seperti bakteria dan kulat. Kelulut menggunakan resin daripada pokok dan memprosesnya dalam sistem tubuh mereka bagi menghasilkan madu untuk mencegah pembiakan mikrob.

Perkara ini disokong oleh perbincangan dalam kertas kajian Saiful Yazan et al. (2016) yang menyenaraikan antara fungsi madu kelulut adalah untuk bertindak sebagai agen anti bakteria dan melegakan simptom akibat jangkitan kuman seperti batuk dan demam.

2) Masalah Pencernaan

Imej via Bidadari

Madu kelulut mengandungi vitamin, mineral, asid amino dan enzim yang penting untuk proses pencernaan. Malah, madu kelulut juga mengandungi anti bakteria yang dapat mencegah pertumbuhan bakteria dalam salur pencernaan.

Untuk memberi sifat kelegaan kepada sistem pencernaan ini, Lestari dan rakan-rakan (2019) mengesyorkan pengambilan madu kelulut maksimum 20 g atau satu sudu kecil sehari, selain dapat menurunkan indeks glisemik yang berkaitan dengan kawalan gula dalam darah.

3) Anti Oksidan dan Anti Kanser

Umumnya, khasiat propolis merangkumi kesemua 16 jenis asid amino, glukosa, vitamin A,B,C,D dan E, bioflavonoid dan pelbagai lagi sebatian kimia yang lain.

Bioflavonoid adalah sangat baik untuk kelancaran dan baik pulih sistem tubuh manusia dan ternakan.

Asid fenolik dan derivatif pula merupakan bahan antioksidan yang terkandung dalam madu kelulut dan kandungannya lebih tinggi berbanding madu tempatan atau madu import, mempunyai pelbagai kegunaan.

Selain itu, asid p-koumarik dipercayai boleh mengurangkan risiko barah perut dengan mengurangkan pembentukan bahan nitrosamine (karsinogen). Asid fenilpropionik iaitu sejenis bahan utama madu kelulut pula dilaporkan mungkin boleh mengurangkan enzim cyclooxygenase-2 (COX-2), sejenis enzim terbentuk semasa perkembangan barah usus besar.

4) Menurunkan Kandungan Gula Dalam Darah

Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) juga telah merekodkan bahawa madu mempunyai khasiat dari segi perubatan. Kajian makmal telah dilakukan ke atas tikus yang telah disuntik dengan diabetes menunjukkan madu berupaya menurunkan glukosa dalam darah. Selain itu, pengambilan madu kelulut ini didapati tidak akan menyebabkan kerosakan fungsi ginjal dan hati (tidak bersifat toksik), serta dapat mengurangkan tekanan oksidatif.

Namun begitu, kajian-kajian ini hanya diuji kepada tikus sahaja. Oleh sebab itu, perlu lebih banyak kajian yang dijalankan kepada manusia untuk membuktikan bahasa madu kelulut dapat menurunkan paras gula dalam darah, seterusnya merawat penyakit kencing manis.

Kajian Rashid dan rakan-rakan pada tahun 2019 tidak menjumpai kaitan yang signifikan antara pengambil madu kelulut dengan pengurangan kadar gula dalam darah pesakit kencing manis. Mereka menyatakan bahawa kajian mereka terhad disebabkan tempoh pemantauan yang tidak mencukupi (30 hari) untuk melihat trend keseluruhan kesan madu kelulut ke atas kawalan gula dalam darah.

Walau bagaimanapun, mereka melaporkan pesakit kencing manis yang mengambil kelulut sebanyak 30 gram sehari selama 30 hari ini merekodkan penurunan berat badan yang agak ketara. Madu kelulut memberi sensasi rasa kekenyangan yang mengurangkan pengambilan lebih makanan.

5) Menyembuhkan Luka

Imej via Bidadari

Oleh sebab madu ialah bahan semulajadi, sanitasi pada bahagian luka dapat dikekalkan, sehingga menghasilkan kesan penyahbauan yang baik untuk luka.

Selain itu, madu kelulut menjalankan aktiviti angiogenik, iaitu mekanisme penyembuhan luka, dan juga mendorong pembentukan tisu granulasi serta penghasilan sel baru pada luka.

Beberapa kajian juga telah menunjukkan aktiviti biologi madu kelulut yang menarik seperti antinociceptive (kelegaan rasa sakit), imunomodulator (rangsangan sistem imun pertahanan tubuh) dan aktiviti nematicidal (membunuh cacing) bagi tujuan penyembuhan luka dengan lebih cepat.

Kesimpulan

Walaupun terdapat kajian saintifik yang dijalankan terhadap madu kelulut seperti penyelidikan dari pihak tempatan seperti MARDI sehinggalah ke peringkat antarabangsa, namun, hasil kajian masih belum kuat untuk mengesahkan bahawa madu kelulut dapat merawat secara sepenuhnya penyakit-penyakit yang kronik seperti kencing manis dan kanser.

Jadi, dinasihatkan kepada pesakit kronik seperti kanser, anda perlu dapatkan nasihat dari doktor terlebih dahulu sebelum mengamalkan madu kelulut untuk merawat penyakit anda.

Madu kelulut sememangnya kaya dengan  nutrien yang bagus untuk kesihatan badan. Madu ini bagus diamalkan untuk mengekalkan kesihatan yang baik sebagai makanan kesihatan tambahan. Namun, untuk merawat penyakit, anda perlu dapatkan nasihat pengamal perubatan terlebih dahulu.

Rujukan

  1. Blog MARDI
  2. IJ, Fatimah., & AB, M. H. (2018). Physicochemical Characteristics of Malaysian Stingless Bee Honey from Trigona Species. International Medical Journal Malaysia17. (link)
  3. Lestari, O. A., & Dewi, Y. S. K. (2019, December). TOTAL CONSUMPTION OF HONEY WHICH PROVIDES LOW RESPONSE TO GLYCEMIC INDEX AND GLYCEMIC LOAD. In Proceeding of the International Conference on Food and Agriculture (Vol. 2, No. 1). (link)
  4. Saiful Yazan, L., Zali, M., Shyfiq, M. F., Mohd Ali, R., Zainal, N. A., Esa, N., … & Voon, F. L. (2016). Chemopreventive properties and toxicity of Kelulut honey in Sprague Dawley rats induced with Azoxymethane. BioMed research international2016. (link)
  5. Rashid, M. R., Aripin, N., Nain, K., Mohideen, S., Begum, F., Baharom, N., … & Hanum, H. (2019). The effect of kelulut honey on fasting blood glucose and metabolic parameters in patients with impaired fasting glucose. Journal of nutrition and metabolism2019. (link)

Khasiat Makanan Lain

Kami juga ada menulis beberapa artikel tentang khasiat sumber makanan yang lain untuk anda baca. Semoga ianya turut bermanfaat. Oh ya, jangan lupa untuk share dan kongsi dengan menekan butang share Facebook jika artikel yang dikongsi bermanfaat.

*Artikel ini telah dikemas kini oleh Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof pada 25 Mac 2020

Penulis: Aniuna

Avatar

Seorang yang ingin memanfaatkan teknologi digital untuk berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.