Ramai mendakwa makan telur dalam jumlah yang banyak boleh menjejaskan kesihatan kerana tahap kolesterol yang tinggi. Namun adakah benar fakta tersebut?

Ketahuinya dengan terus membaca artikel ini bersama khasiat kesihatan telur ayam yang dikongsikan berdasarkan kajian sains lepas.

Pengenalan

Ayam betina mula menghasilkan telur seawal usia 5 bulan. Proses penghasilan telur di dalam sistem badan ayam tersebut mengambil masa selama 26 jam bagi sebiji telur. Ayam jantan hanya diperlukan untuk menyuburkan telur di dalam badan ayam betina menjadi anak ayam.

Hal ini bermaksud, sekiranya tiada ayam jantan ketika ayam betina sedang menghasilkan telur di dalam badannya, telur yang terhasil tidak akan bertukar menetas menjadi anak ayam kerana tiada persenyawaan berlaku.

Imej via Bidadari

Sebenarnya, mengamalkan memakan telur ayam adalah baik kerana banyak khasiatnya. Ia adalah makanan asli yang ideal dan diterima sebagai diet harian manusia di seluruh dunia.

Sejak turun-temurun lagi, telur ayam menjadi makanan menyihatkan dan ubat bagi pelbagai penyakit.

Cara penyediaannya juga mudah. Ia boleh dimasak dengan pelbagai cara sama ada separuh masak, tiga suku masak, rebus, goreng, sambal, kari dan sebagainya.

Fakta Nutrisi Telur Ayam

  • Telur ayam kampung boleh dijadikan penawar atau ubat tradisional bagi merawat pelbagai penyakit. Permintaannya sangat tinggi kerana ia mengandungi vitamin dan galian yang mencukupi hasil daripada pemakanan haiwan tersebut yang asli dan organik, iaitu bebas daripada bahan kimia.
  • Sebiji telur ayam mengandungi lebih kurang 10 peratus cangkerang, 30 peratus kuning telur dan 60 peratus albumen (mengikut berat).
  • Kandungan kimia telur ayam, telur itik dan telur puyuh tidak terlalu berbeza antara satu dengan lain, kecuali kandungan kolesterol telur itik adalah lebih tinggi sedikit iaitu lebih kurang 16.20 miligram bagi setiap gram kuning telur.
  • Bahagian putih telur mengandungi protein albumin yang juga merupakan vitamin larut lemak.
  • Apa yang agak unik adalah ia mengandungi sejenis lagi protein yang dipanggil avidin iaitu sejenis bahan antibiotik semula jadi yang amat berguna untuk melawan jangkitan mikro organisma yang dapat merosakkan telur tersebut.
  • Antibiotik ini wujud bersama-sama dengan biotin dan akan musnah apabila dimasak. Kadar lemak dan kalori dalam telur adalah rendah tetapi ia kaya dengan sumber protein dan vitamin A.
  • Bahagian kuning telur merupakan makanan yang mengandungi zat yang banyak dan seimbang.

Imej via Bidadari

Khasiat Kesihatan Telur Ayam

Telur ayam mengandungi banyak lagi khasiat lain yang bermanfaat untuk kesihatan kita. Tidak hairanlah, banyak penyelidikan saintifik yang telah dan sedang dijalankan bagi melihat perkembangan khasiat telur ayam ini.

Berikut merupakan manfaat telur ayam berdasarkan kajian sains yang telah dijalankan dan diulas secara menyeluruh oleh sekumpulan penyelidik di Manchester, UK pada tahun 2010.

1. Telur sebagai Sumber Makanan Diet yang Sihat

Pengambilan telur dalam diet makanan seharian menyumbang kepada diet yang sihat.

Sebiji telur bersaiz medium mengandungi 78 kcal tenaga dengan 6.5 gram protein, 5.8 gram lemak (2.3 gram daripadanya ialah lemak mono tidak tepu) dan pelbagai lagi mikronutrien penting.

Hal ini bermakna, satu hidangan telur memberikan hampir kesemua keperluan diet yang diperlukan oleh tubuh.

2. Sumber Bekalan Protein Terbaik

Imej via Bidadari

Kajian-kajian lepas mendapati bahawa telur ayam kaya dengan vitamin A, folate, biotin dan iodin jika dibandingkan dengan sumber protein yang lain seperti tofu, ikan, daging dan ayam.

Antara kesemua sumber makanan protein tersebut, telur mengandungi asid amino yang paling kaya. Kandungan asid amino yang tinggi ini sangat penting bagi tumbesaran kanak-kanak, remaja dan golongan muda bagi membentuk protein, membina otot dan mencegah degenerasi otot rangka.

3. Menurunkan Berat Badan

Pengambilan telur yang konsisten mampu menurunkan berat badan.

Hal ini dibuktikan melalui kajian Vander Wa et al. pada tahun 2008 yang melihat kesan pengambilan telur dalam sarapan pagi selama 8 minggu, 5 hari seminggu.

Dalam kajian yang melibatkan 152 peserta itu, dicatatkan penurunan berat badan yang signifikan sebanyak 61% bagi kumpulan yang mengambil diet telur dalam makanan mereka.

Terdapat banyak kajian yang menumpukan peranan telur yang dikatakan boleh memberikan kesan satiety iaitu rasa kenyang yang berpanjangan. Perkara ini ternyata boleh membantu mengurangkan lagi berat badan.

4. Mengurangkan Risiko Penyakit Koronari, Jantung dan Kardiovaskular

Walaupun telur dikatakan tidak bagus untuk kesihatan kerana mengandungi kolestrol, kajian lepas menyangkal persepsi ini dengan menyatakan bahawa telur mempunyai kandungan tenaga yang rendah dan diperkaya dengan nutrisi lain.

Malah, tambah menarik, mengikut model anggaran risiko yang dibangunkan oleh para penyelidik, pengambilan sebiji telur sehari menyumbang kepada penurunan 1% risiko penyakit koronari jantung.

Di samping itu, pengambilan diet telur selama 13 minggu pada kadar 3 biji telur sehari menunjukkan peningkatan tahap kolestrol baik dalam badan.

 5. Khasiat Kolina dalam Telur

Telur mengandungi antara sebatian utama yang dipanggil kolina.

Antara khasiat kesihatan kolina menurut kajian lepas ialah membantu melawan kanser payu dara dan menghalang kerosakan DNA.

Selain itu, kolina amat bermanfaat bagi ibu mengandung.

Dilaporkan, kolina adalah penting bagi proses pembiakan sel dan susun atur genetik yang mencegah masalah dan ancaman kesihatan. Kajian tersebut menerangkan keupayaan kolina untuk menderma kumpulan metil kepada DNA fetus kandungan dalam perut ibu untuk mewujudkan keadaan hypermethylation yang menyingkirkan kod genetik yang boleh mendatangkan penyakit.

Kesimpulan

Telur ayam ialah sumber makanan yang kaya dengan pelbagai nutrien dan boleh didapati dengan murah dan mudah di negara kita.

Terdapat banyak khasiat dan manfaat kesihatan pengambilan telur dalam diet seharian kita.

Namun, dos pengambilannya mestilah secara bersederhana supaya tidak timbul masalah kesihatan yang lain.

Semoga bermanfaat.

Rujukan

  1. Myhealth
  2. Applegate, E. (2000). Introduction: nutritional and functional roles of eggs in the diet. Journal of the American College of Nutrition19(sup5), 495S-498S. (link)
  3. Ruxton, C. H. S., Derbyshire, E., & Gibson, S. (2010). The nutritional properties and health benefits of eggs. Nutrition & Food Science. (link)

 

Artikel ini telah dikemas kini oleh Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof.

Penulis: Nabilah Ruza

Merupakan salah penyumbang di Bidadari.my. Rajin berkongsi artikel yang berinformasi di sini.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.