Zamzam berasal daripada perkataan Bahasa Arab yang membawa maksud banyak atau melimpah ruah. Air Zamzam merupakan air yang dianggap suci oleh umat Islam. Ia merupakan telaga mata air yang terletak dalam kawasan Masjidil Haram, bersebelahan tenggara Kaabah yang mempunyai kedalaman sedalam 42 meter.

telaga zamzam

Imej via utusan

Air zamzam mucul pada zaman Nabi Ismail as. Iaitu ketika Baginda ditinggalkan bersama ibunya Hajar oleh Nabi Ibrahim as di Mekah. Pada waktu itu, Hajar mencari air bagi menghilangkan dahaganya antara bukit Safa dan Marwah (Peristiwa ini disemadikan dalam Ibadah Sa’ie). Hal ini merupakan perintah Allah swt kepada Nabi Ibrahim as agar baginda meninggalkan zuriatnya ini di wadi (lembah) Mekah. Firman Allah swt:

رَّبَّنَا إِنِّي أَسْكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِندَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا الصَّلَاةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِّنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُم مِّنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian daripada zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Mekah) yang tiada tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadah). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian daripada manusia tertarik kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur”. (Surah Ibrahim, Ayat 37)

Air Zamzam adalah kurniaan Allah swt kepada Nabi Ismail as. Dan ia kekal sehingga ke hari ini. Malah, terdapat hadis-hadis Nabi Muhammad saw yang turut menceritakan tentang kelebihan dan keistimewaan Air Zamzam.

 

Khasiat & Kelebihan Air Zamzam

1) Menghilangkan Lapar

minum zamzam

Imej via islamidia

Keberkatan Air Zamzam ini berfungsi seperti makanan, dan ia mengenyangkan bagi orang yang meminumnya.

Nabi saw bersabda,

إِنَّهَا مُبَارَكَةٌ إِنَّهَا طَعَامُ طُعْمٍ

Maksudnya, “Air zam-zam itu air yang diberkahi. Makanan yang mengenyangkan.” (HR Muslim & Ibn Hibban)

Dari Ibnu Abbas ra, Nabi saw bersabda,

خَيْرُ مَاءٍ عَلَى وَجْهِ الأَرْضِ مَاءُ زَمْزَمْ ، وَفِيْهِ طَعَامُ مِنَ الطَّعْمِ ، وَشِفَاءُ مِنَ السَّقَم

Maksudnya, “Air terbaik yang ada di muka bumi adalah air zam-zam. Boleh menjadi makanan yang mengenyangkan dan ubat dari penyakit.” (HR Tabrani)

Syaikh Abdurrasyid Ibrahim (1364 H) berkata, “Saya bertahan beberapa minggu dengan air zam-zam untuk menghilangkan rasa laparku. Ini adalah pengalaman nyata yang tidak diragukan padanya.” (Lihat Fadhlu Māa Zamzam hlm. 105-106 oleh Sa’id Bakdasy)

 

2) Mengoptimumkan Proses Metabolisme Tubuh

Proses metabolisme tubuh berfungsi untuk mengubah zat-zat yang masuk ke dalam tubuh seperti lemak bertukar menjadi tenaga. Apabila tenaga terhasil, maka tubuh akan memiliki tenaga untuk menjalankan aktiviti sehari-hari. Mineral dari air zam-zam sangat baik dalam memaksimumkan proses metabolisme, serta berfungsi untuk mengganti dengan segera, mineral yang digunakan ketika proses metabolisme.

Kita disarankan untuk kerap meminum Air Zamzam. Seeloknya minum Air Zamzam sebelum tidur malam atau pada waktu pagi selepas bangun tidur. Hal itu kerana, menurut pakar Mury Kuswari, kadar metabolisme tubuh tinggi sewaktu kita sedang tidur.

 

3) Mukjizat Air Zamzam Bergantung Kepada Niat Orang Yang Meminumnya

Dari Ibnu ‘Abbas ra, Rasulullah saw bersabda:

مَاءُ زَمْزَمَ لمِاَ شُرِبَ لَهُ إِنْ شَرِبْتَهُ تَسْتَشْفِي شَفاَكَ الله ُوَإِنْ شَرِبْتَهُ لِشَبْعِكَ أَشْبَعَكَ الله ُوَإِنْ شَرِبْتَهُ لِقَطْعِ ظَمْئِكَ قَطَعَهُ اللهُ وَهِيَ هَزْمَةُ جِبْرَائِيلَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ وَسُقْيَا اللهِ إسْمَاعِيْلَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ

Maksudnya, “Air Zamzam sesuai dengan niat ketika meminumnya. Bila engkau meminumnya untuk ubat, semoga Allah menyembuhkanmu. Bila engkau meminumnya untuk menghilangkan dahaga, semoga Allah menghilangkannya. Air Zamzam adalah galian Jibril, dan curahan minum dari Allah kepada Ismail as.” (HR Daruqutni dan Hakim)

Ibnu Taimiyyah berkata, “Seseorang disunnahkan untuk meminum Air Zamzam sampai benar-benar kenyang, dan berdoa ketika meminumnya dengan doa-doa yang dikehendakinya (bebas). Namun tidak disunnahkan mandi dengannya (air Zamzam).” (Lihat kitab Hajjatun-Nabi, al Albani, 1/117)

Inilah keistimewaan dan kelebihan Air Zamzam yang tidak ada pada air-air yang lain. Oleh itu, niatlah apa-apa sahaja yang baik sewaktu minum Air Zamzam. Mudah-mudahan, niat kita itu dikabulkan oleh Allah swt.

 

4) Menguatkan Tulang Dan Gigi

tulang kuat

Imej via bobo

Air Zamzam mengandungi kadar kalsium dan garam magnesium yang lebih tinggi dibanding telaga lain yang terdapat di sekitar Mekah.

Oleh kerana tulang dan gigi yang sihat memerlukan kandungan kalsium yang mencukupi, maka, kekerapan minum Air Zamzam boleh membantu mencegah terjadinya masalah pereputan tulang dan gigi sebelum waktunya.

 

5) Menyembuhkan Pelbagai Penyakit

Dikisahkan oleh al-Azraqi bahawa ada seorang yang makan, lalu ternyata ada jarum pada makanannya sehingga jarum tersebut tersangkut di kerongkongnya. Dirinya seakan-akan seperti hendak mati, lalu dia minum Air Zamzam (dengan memohon pertolongan kepada Allah), akhirnya rasa sakit yang dialaminya hilang, dan masalah pun selesai. (Lihat Kitab Akhbar Makkah 2/35)

Ibnul Qayyim berkata, “Saya dan selain saya telah mencuba untuk berubat dengan Air Zamzam pada perbagai jenis penyakit, akhirnya saya mendapati keajaiban yang luar biasa, dan saya mendapatkan kesembuhan dengan izin Allah.” (Lihat kitab Zadul Ma’ad 4/393)

Dikisahkan oleh Taqiyuddin al-Fasii bahawa seorang pegawai Masjidil Haram yang bernama Ahmad Syarifi pernah minum air zamzam dengan niat memperoleh kesembuhan dari kebutaan yang dialami dirinya, lalu akhirnya dia pun sembuh dari buta yang menimpa dirinya. (Lihat kitab Syifaul Ghiram 1/255)

Dari Jabir bin Abdillah ra, telah mendengar Rasulullah saw bersabda:

مَاءُ زَمْزَمَ، لِمَا شُرِبَ لَهُ

Maksudnya: “Air Zamzam bergantung pada sesiapa yang meminumnya”. (HR Ibnu Majah)

Air zam zam tong

Imej via munirimani

Oleh sebab itu, tidak kiralah apa penyakit sekalipun, jika kita berniat minum Air Zamzam untuk menyembuhkan penyakit yang ada, insyaAllah dengan keizinan Allah swt penyakit itu akan sembuh. Yang penting, mukjizat Air Zamzam itu boleh diperoleh dengan syarat niat yang tulus dan menyandarkan diri secara kuat hanya kepada Allah swt semata-mata.

Jangan terdapat keraguan di dalam hati tentang kemahakuasaan Allah. Sesungguhnya Allah sangat mencintai orang-orang yang bertawakkal (menyandarkan diri hanya kepada Allah swt). Hal ini seperti yang telah dijelaskan di dalam kitab Ahkamul Quran 3/1124 karya Ibnul Arabi.

 

6) Memiliki Zat Bersifat Anti-Kuman

Penelitian yang dilakukan oleh Arab Saudi menemui di dalam Air zam-zam terkandung zat fluorida yang berfungsi sebagai anti-kuman. Ia berkhasiat memusnahkan kuman-kuman yang terdapat dalam kandungan airnya.

Lebih menakjubkan, tidak ada sedikitpun lumut di telaga Zamzam dan ia sentiasa bebas dari pencemaran kuman. Hal ini membuat kesegaran air zam-zam menjadi yang terbaik di dunia. Seperti mana dalam hadis, daripada Abdullah bin Abbas ra, bahawa Nabi saw bersabda:

خَيْرُ مَاءٍ عَلَى وَجْهِ الأَرْضِ مَاءُ زَمْزَمَ

Maksudnya, “Sebaik-baik air yang terdapat di muka bumi adalah Zam-Zam. dan penawar bagi penyakit”. (Lihat: al-Jami’ al-Saghir)

 

7) Regenerasi Kulit Mati

basuh muka

Imej via maskulin

Air Zam Zam memiliki kandungan pH yang cukup tinggi sehingga mampu merawat kulit wajah. Salah satunya adalah dapat meregenerasi kulit mati. Dengan minum Air Zamzam, ia dapat membantu menghasilkan sel-sel kulit mati dengan cepat dan diganti dengan kemunculan sel-sel kulit baru.

Anda boleh minum Air Zamzam untuk memperoleh manfaat ini, ataupun membasuh wajah menggunakannya. Kalau ingin berwudhu dengan Air Zamzam juga boleh kerana sewaktu wudhu, anda akan membasuh muka.

 

Artikel Menarik Lain

Bagaimana dengan artikel berkenaan Khasiat & Kelebihan Air Zamzam yang dikongsikan? Anda dapat manfaat?

Jangan lupa untuk like dan share ya. Selain artikel di atas, kami juga menulis artikel lain untuk anda baca iaitu:

Rujukan:

  1. MStar
  2. Utusan
  3. Zam-zam
  4. Mufti WP
  5. Fakta Sains

 

Penulis: Aniuna

Avatar

Seorang yang ingin memanfaatkan teknologi digital untuk berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.