Boleh dikatakan semua dapur mempunyai jintan putih. Jintan putih biadanya dimasukkan kedalam makanan untuk menyedapkan & menaikkan aroma makanan yang dimasak.

Tahukah anda, yang sebenarnya jintan putih mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan anda. Jom kami kongsikan khasiat jintan putih yang pasti mengejutkan anda.

Pengenalan

Jintan putih atau dalam English “cumin” ini merupakan herba ked-2 paling banyak digunakan di seluruh dunia selepas lada hitam.

Nama saintifiknya Cuminum cyminum dan seringkali orang ramai terkeliru dengan jintan manis (fennel seed) yang mempunyai bentuk dan rupa yang seakan mirip.

Ironinya, jintan manis warnanya lebih putih daripada jintan putih yang berwarna gelap kehitaman. Jintan putih ini selalu digandingkan bersama jintan manis sebagai bahan perapan, rempah masakan dan petua tradisional.

Amalan penggunaan jintan putih ini banyak dilihat dalam budaya setempat antara kaum Melayu, Cina dan India dalam masakan seharian, tidak ketinggalan warga Timur Tengah yang menggunakannya dalam masakan seperti kari, kebab dan makanan panggang.

Ayuh ketahui dengan lebih lanjut khasiat kesihatan jintan putih ini berserta penemuan sains yang membuktikannya.

Imej via Bidadari

1. Melangsingkan badan

Tak ramai yang tahu bahawa jintan putih bukan sahaja menyedapkan makanan malah membantu melangsingkan tubuh badan. Untuk mendapatkan badan yang cantik dan langsing, anda boleh amalkan teh jintan putih setiap pagi dan malam. Cara menyediakan teh jintan putih adalah seperti berikut:

Bahan-Bahannya:

1 sudu besar jintan putih
2 gelas air kosong
1 inci serai
1 inci halia
1 sudu besar  madu asli

Caranya:

  • Masukkan air bersama jintan putih, halia  dan serai ke dalam periuk. Masak sehingga mendidih
  • Apabila mendidih, tutup api & tutup periuk. Biarkan sehingga suam
  • Setelah suam, tapis dan tuang ke dalam gelas. Masukkan madu. Kacau sehingga sebati
  • Minum pagi dan petang setiap hari

 

2. Meningkatkan sel darah merah

Imej via Bidadari

Jintan putih kaya dengan ferum yang membantu meningkatkan jumlah sel darah merah dalam badan.

Sekiranya anda mempunyai masalah anemia, jintan putih merupakan alternatif yang baik untuk anda selain makan ubat yang dibekalkan oleh pihak hospital.

3. Meningkatkan kesuburan

Salah satu keperluan nutrien untuk sistem peranakan yang baik ialah bekalan zink yang mencukupi oleh sistem badan.

Kandungan zink dalam jintan putih membantu meningkatkan kesuburan anda dan pasangan & memulihkan kesihatan sistem reproduktif.

4. Menyihatkan sistem penghadaman

Jintan putih juga menyihatkan sistem penghadaman anda melalui kandungan zink yang tinggi selain kandungan serat yang tinggi.

Nutrien utama dalam jintan putih yang membantu sistem penghadaman yang baik ialah, antaranya 20.85% protein, 38.20% lemak, 4.64% air, 4.37% pepejal, 7.94% serat dan 31.94% jumlah karbohidrat.

5. Menggalakkan pertumbuhan fizikal

Jintan putih sangat baik untuk kanak-kanak kerana ia membantu menggalakkan pertumbuhan fizikal secara optimum.

6. Menjaga kesihatan jantung

Jintan putih mengandungi kandungan potassium yang tinggi. Salah satu daripada fungsi potassium ialah menjaga kesihatan jantung.

Potassium berperanan sebagai pengawal ritma jantung yang normal.

7. Mengawal tekanan darah

Selain menjaga kesihatan jantung, potassium dalam jintan putih juga membantu mengawal tekanan darah dalam tubuh badan anda.

Selain itu, jintan putih dilaporkan mengandungi kandungan sodium yang rendah. Hal ini amat penting bagi mengurangkan tekanan darah yang secara kebiasaannya akan meningkat jika kandungan sodium adalah tinggi.

8. Antioksidan

Jintan putih juga telah dikenal pasti sebagai agen antioksidan yang sangat baik untuk tubuh badan anda.

Kajian daripada Institut Penyelidikan Teknologi Makanan di India pada tahun 2005 mendedahkan bahawa jintan putih kaya dengan sebatian fenolik.

Sebatian fenolik ini merupakan bahan antioksidan yang sangat baik terutamanya dalam melawan serangan oksidan seperti radikal bebas, hidroksil dan peroksi pada peringkat sel.

9. Mengurangkan simptom menopos

Wanita yang hampir menopos juga akan mengalami beberapa simptom seperti sakit kepala, kekeringan semasa melakukan hubungan seks, mood swing, sukar tidur, dan sebagainya.

Pengambilan jintan putih dalam menu harian membantu mengurangkan simptom-simptom tersebut.

Kandungan sebatian bioaktif dalam jintan putih akan memastikan tubuh badan mendapat nutrien yang secukupnya. Hal ini seterusnya dapat menjadikan sistem fisiologi tubuh lebih lancar dan bekerja dengan baik.

10. Mencuci usus

Jintan putih mempunyai kadar serat yang tinggi yang membantu ‘mencuci’ segala toksin dan kotoran dari usus kecil dan usus besar anda.

Usus yang bersih akan meningkatkan proses pencernaan dan mengelakkan masalah sembelit atau cirit-birit.

11. Membunuh sel kanser

Satu lagi fungsi jintan putih ialah membunuh sel kanser yang terdapat dalam badan anda. Ia mengelakkan kanser menjadi semakin besar & mengelakkan masalah kanser berulang.

Dakwaan ini cuba dibuktikan oleh sekumpulan penyelidik dari Philadelphia, Amerika Syarikat pada tahun 2011. Mereka berjaya mengekstrak dua sebatian daripada jintan putih iaitu thymoquinone dan alpha-hederin.

Sebatian tersebut mempunyai keupayaan antikanser yang tinggi yang merencatkan pertumbuhan dan penggandaan sel kanser.

12. Milk booster

Perasan tak, susu anda akan menjadi semakin meriah setiap kali anda makan makanan yang mengandungi jintan putih?

Ini kerana jintan putih merupakan salah satu daripada makanan penggalak susu yang murah dan mudah untuk diperolehi. Perkara ini menjadi petua tradisional yang menjadi amalan turun temurun berdasarkan pemerhatian orang dulu-dulu.

Kuantiti susu yang bertambah ini boleh dikaitkan dengan kandungan mineral yang banyak dalam jintan putih yang membantu penghasilan susu yang lebih baik.

13. Menghilangkan kegatalan

Jika anda mengalami masalah kegatalan kulit, rendam jintan putih di dalam air panas dan sapukan pada kulit yang gatal.

14. Menurunkan suhu badan

Imej via Bidadari

Anda juga boleh menurunkan suhu badan yang demam dengan menggunakan jintan putih. Caranya:

  • Rendam jintan putih dalam air panas
  • Basahkan tuala kecil dengan air tadi
  • Jerlum badan atau letakkan tuala basah tadi diatas dahi

15. Awet muda

Jika anda nak awet muda, boleh amalkan mencuci muka dengan air rendaman jintan putih setiap pagi.

Dengan kehadiran antioksidan yang tinggi, sistem peredaran darah yang lebih lancar dan keperluan nutrien yang mencukupi, inilah rahsia awet muda yang sebenarnya secara saintifik!

Menurut kajian yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik dari Mesir dan Pakistan pada tahun 2010, jintan putih mempunyai lebih banyak antioksidan berbanding halia.

Dalam jintan putih, antara bahan antioksidan yang dianggap ‘berharga’ untuk menjadi sebatian antioksidan aktif ialah cuminal, γ-terpinene dan pinocarveol.

16. Menghilangkan kembung

Jintan putih membantu menghilangkan kembung perut akibat masalah ketidak hadaman, radang perut dan asid berlebihan dalam usus.

17. Mengawal tahap kolesterol dalam darah

Jintan putih dilaporkan mengandungi vitamin A,B, dan C yang tinggi.

Hal ini membantu mengurangkan kadar kolesterol berbahaya dalam badan dengan menyingkirkan kolesterol jahat pada plasma darah dan mengekalkan kolesterol baik untuk sistem peredaran darah yang lebih lancar.

18. Menjaga kesihatan sendi dan otot

Jintan putih dilaporkan mengandungi sejenis sebatian yang dinamakan anethole.

Sebatian ini terkenal dengan fungsinya untuk merawat masalah bengkak atau keradangan pada sendi, tulang dan otot. Aktiviti anti keradangan oleh jintan putih turut dilaporkan oleh kajian-kajian lepas.

19. Menyegarkan nafas

Sekiranya anda mempunyai masalah nafas berbau, anda boleh gunakan air kumuran jintan putih untuk mengatasi masalah tersebut. Caranya:

  • Rendam jintan putih dalam segelas air panas
  • Tunggu sehingga suam
  • Gunakan untuk berkumur setiap pagi

20. Merawat sakit mata

Jika anda terkena sakit mata, boleh gunakan jintan putih untuk menghilangkannya dengan cepat. Caranya:

  • Rendam jintan putih dalam segelas air panas
  • Tunggu sehingga suam
  • Basahkan tuala kecil dengan air rendaman tadi dan tekapkan pada mata yang dijangkiti

Sifat anti radang dan antimikrob berdasarkan penemuan pelbagai sebatian biokatif dalam jintan putih menjadikannya rintang terhadap serangan mikrob atau keadaan keradangan yang boleh menyebabkan kemerahan dan bengkakan.

Malah, dalam kajian saintifik yang pernah diterbitkan di Journal of Food Science, sebatian bioaktif jintan putih berupaya membunuh pertumbuhan mikroorganisma berbahaya seperti E. coliS. aureus dan S. faecalis.

21. Melegakan batuk berkahak

Imej via Bidadari

Akhir sekali, jintan putih juga boleh digunakan untuk menghilangkan masalah batuk berkahak. Caranya:

  • Rebus satu sudu jintan putih, lemon, dan madu bersama 2 gelas air sehingga mendidih
  • Tunggu sehingga suam
  • Minum sekerap yang mampu
  • Air rebusan itu akan mencairkan kahak serta melegakan batuk yang anda hadapi

Dalam penyelidikan yang diterbitkan oleh Journal of Egyptian Archaeology, masyarakat Mesir Kuno mengamalkan minuman jintan putih bersama madu dan susu untuk mengurangkan simptom batuk.

Namun, pemerhatian ini hanyalah bersandarkan amalan petua tradisional tanpa pembuktian klinikal dan saintifik yang dikendalikan.

Rujukan

  1. Allahghadri, T., Rasooli, I., Owlia, P., Nadooshan, M. J., Ghazanfari, T., Taghizadeh, M., & Astaneh, S. D. A. (2010). Antimicrobial property, antioxidant capacity, and cytotoxicity of essential oil from cumin produced in Iran. Journal of food science75(2), H54-H61.
  2. El-Ghorab, A. H., Nauman, M., Anjum, F. M., Hussain, S., & Nadeem, M. (2010). A comparative study on chemical composition and antioxidant activity of ginger (Zingiber officinale) and cumin (Cuminum cyminum). Journal of agricultural and food chemistry58(14), 8231-8237.
  3. Khan, A., Chen, H. C., Tania, M., & Zhang, D. Z. (2011). Anticancer activities of Nigella sativa (black cumin). African Journal of Traditional, Complementary and Alternative Medicines8(5S).
  4. Poole, F. (2001). ‘Cumin, Set Milk, Honey’: An Ancient Egyptian Medicine Container (Naples 828).
  5. Thippeswamy, N. B., & Naidu, K. A. (2005). Antioxidant potency of cumin varieties—cumin, black cumin and bitter cumin—on antioxidant systems. European food research and technology220(5-6), 472-476.

Itulah dia 21 khasiat jintan putih yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga pasti akan sukakan perkongsian kami tentang khasiat cekur, khasiat daun sirih, dan khasiat bunga telang.

 

Artikel ini telah dikemaskini oleh Dr. Muhammad Jefri bin Mohd Yusof.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.