Tertanya-tanya khasiat buah delima? Suka makan buah delima, tetapi tidak tahu akan khasiat dan kebaikan buah delima yang ada?

Berikut adalah 15 sebab mengapa jus delima sangat baik untuk kesihatan anda. Jom baca!

Pengenalan

Buah delima atau nama saitifiknya, Punica granatum L. (pomegranate) dilaporkan mempunyai pelbagai khasiat kesihatan berdasarkan penyelidikan makmal dan eksperimen yang telah dijalankan. Tidak hairanlah jika banyak produk minuman atau suplemen kesihatan sekarang banyak memasukkan pati delima atau jus delima sebagai salah satu komponen.

Secara umumnya, buah delima mampu mencegah atau merawat pelbagai penyakit berisiko tinggi yang dikaitkan dengan keadaan tekanan darah tinggi, kandungan gula yang tidak terkawal, kandungan kolestrol, keadaan oksidatif dan aktiviti keradangan pada tisu tubuh.

Sebatian aktif dalam buah delima seperti polifenol mempunyai kesan anti-oksidan, anti radang dan anti kanser yang tinggi.

Dalam artikel ini, kesan terapeutik dan kesihatan buah delima akan dibincangkan dengan lebih lanjut.

Penanaman dan Pokok Buah Delima

Imej via Bidadari

Pokok delima boleh hidup di kawasan kering, sangat rintang terhadap pelbagai jenis musim dan hanya memerlukan air yang minimum untuk hidup dan membesar. Kawasan kering dan berangin merupakan tapak penanaman yang popular bagi pokok delima, contohnya di kawasan Turki, Mesir, Tunisia, Sepanyol dan Maghribi.

Buah delima dikategorikan sebagai sejenis beri dengan ketinggian pokok boleh mencecah sehingga 30 kaki. Daunnya sepanjang 3-7 cm dan lebar 2 cm berbentuk oblong.

Bunganya berwarna merah terang, oren atau merah jambu dengan diameter 3 cm bersama 4 hingga 5 kelopak. Buah delima berbentuk heksagonal membulat dengan diameter 5 -12 cm dan berat purata 200 gram. Kulit buah yang tebal  dan agak keras melindungi biji buah delima.

Komposisi Kimia Buah Delima

Biji Benih

Kira-kira 18% daripada biji benih buah delima ialah minyak. Minyak ini kaya dengan kandungan asid puninik (65%). Terdapat juga sebatian fitoestrogen yang menyerupai hormon steroid seks manusia khususnya dalam tubuh wanita.

Jus Buah

Jus buah delima merupakan sumber gula yang baik seperti gula fruktosa, sukrosa dan glukosa. Terdapat juga asid organik ringkas seperti asid askorbik (vitamin C), asid sitrik, asid fumarik dan asid malik bersama kehadiran asid amino prolin, methionin dan valin.

Kelas sebatian yang terbanyak dalam jus buah delima ialah tanin dan flavonoid yang menandakan potensi farmakologikal dari segi aktiviti anti-oksida dan pengawetan.

Ellagitannin yang merupakan tanin boleh diuraikan menjadi asid hidroksibenzoik yang banyak digunakan dalam aplikasi pembedahan plastik.

Sebatian ini mencegah kematian sel kulit dengan aktiviti anti-oksidanya yang tinggi. Sebatian anti-oksida yang lain dalam jus buah delima ini termasuklah punicalagin, punicalin, catechin, flavonol dan flavan-3-ol.

Sementara itu, kehadiran sebatian anti-oksida anthocyanin memberikan warna merah kepada jus buah delima.

Kulit Kayu dan Akar

Kulit kayu dan akar pokok delima sangat kaya dengan sumber alkaloid. Sebatian ini terdiri daripada bahan berasaskan karbon. Alkaloid daripada pokok delima sering digunakan untuk merawat masalah kecacingan dalam rawatan tradisional.

Kajian Saintifik Kebaikan Khasiat Delima

Imej via Bidadari

Beberapa penyelidikan yang menggunakan bahagian-bahagian tertentu buah delima sebagai agen rawatan kesihatan adalah seperti berikut:

Bagri et al. (2009): Mereka menggunakan bahagian bunga dan menghasilkan ekstrak untuk diberikan kepada tikus makmal. Mereka mendapati kandungan kolestrol dalam darah berkurang dengan signifikan.

Althunibat et al. (2010): Dengan menggunakan ekstrak kulit buah delima pula, aktiviti anti-oksidan dan enzim didapati meningkat untuk prestasi hati dan ginjal yang lebih baik dalam spesimen tikus yang dikaji mereka.

Faria et al. (2007): Melihat kesan pengambilan jus buah delima ke atas tikus makmal dan mendapati bahawa terdapat peningkatan ketara terhadap aktiviti enzim seperti catalase, glutathione‐S‐transferase, glutathione reductase, superoxide dismutase dan glutation synthetase yang bertanggungjawab dalam memberi perlindungan daripada serangan radikal dan oksidatif.

Esmaillizade et al. (2004): Kajian pengambilan jus pekat buah delima (40 g/hari) oleh para pesakit diabetis menunjukkan penurunan kandungan kolestrol dan gula yang signifikan.

Guo et al. (2008): Mereka mengkaji kesan pengambilan jus pulpa buah delima (250 ml per hari) ke atas individu dewasa sihat dan mencatatkan perubahan positif dalam peningkatan aktiviti anti-oksidan dalam plasma darah mereka.

Sementara itu, Hajimahmodi et al. (2009) meneruskan perbincangan ini dengan melihat pula kesan pengambilan jus buah delima (100 gram) ke atas individu dewasa sihat. Pemerhatian yang sama turut dirakamkan apabila kapasiti anti-oksidan dalam plasma darah mereka meningkat dengan signifikan.

Jurenka pada tahun 2008 ada menyenaraikan beberapa kesan kesihatan pengambilan jus buah delima, antaranya:

  • Pencegahan kanser
  • Merawat penyakit 3 serangkai
  • Memulihkan keadaan gigi
  • Membantu mengurangkan masalah mati pucuk
  • Potensi dalam rawatan ketidaksuburan, penyakit Alzheimer, arthritis dan obesiti
  • Antimikrob

Kesimpulan

Permintaan dan pengambilan buah delima dalam diet makanan semakin meningkat disebabkan khasiatnya yang semakin diketahui umum. Derivatif buah delima seperti jus, kulit buah dan biji benihnya mengandungi sebatian yang bernilai tinggi untuk memberi kesan kesihatan yang positif.

Untuk mendapatkan nutrien maksimum dari buah delima, dicadangkan supaya anda membuat jus delima anda sendiri dan bukan membelinya di kedai yang mungkin dimasukkan bahan kimia pengawet atau gula tiruan.

Walaupun jus delima mempunyai banyak kebaikan, anda masih perlu mendapatkan nasihat dari doktor anda terlebih dahulu jika anda mempunyai masalah kesihatan atau sedang mengambil ubatan hospital bagi mengelak sebarang komplikasi.

Rujukan

Jurenka, J. (2008). Therapeutic applications of pomegranate (Punica granatum L.): a review. Alternative medicine review13(2). (link)

Viuda‐Martos, M., Fernández‐López, J., & Pérez‐Álvarez, J. A. (2010). Pomegranate and its many functional components as related to human health: a review. Comprehensive Reviews in Food Science and Food Safety9(6), 635-654. (link)

Zarfeshany, A., Asgary, S., & Javanmard, S. H. (2014). Potent health effects of pomegranate. Advanced biomedical research3.(link)

Artikel Menarik Lain

Selain khasiat buah delima, kami juga menulis khasiat sumber yang lain yang tidak diketahui ramai. Jom baca dan jangan lupa untuk share di Facebook jika artikel yang dikongsi menarik.

*Artikel ini telah dikemaskini oleh Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof.

Penulis: Tasneem Haneem

Tasneem Haneem merupakan penulis di Bidadari.My. Minat dengan tulisan kekeluargaan.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.