Bayangkan, ketika dalam cuaca panas membahang, anda menikmati segelas teh sejuk yang direndam dengan beberapa helai daun pudina. Pasti tekak rasa segar dan nyaman. Pudina atau mint kerap digunakan dalam masakan, produk kecantikan, barangan harian dan kesihatan.

Baunya yang unik, rasanya yang memberikan sensasi sejuk dan berangin, membuatkan daun pudina digunakan dalam pelbagai produk komersial. Malahan, ubat gigi yang kita guna setiap hari juga kebanyakannya mempunyai ekstrak daun pudina.

Tahukah anda terdapat pelbagai jenis spesies pokok pudina? Antaranya ialah peppermint, horsemint, spearmint, water mint, pineapple mint, orange mint dan banyak lagi. Ia adalah sejenis herba yang berasal dari spesies laminacece dan tergolong dalam keluarga mentha.

Peppermint merupakan spesies daun pudina yang paling popular. Lihat saja ubat gigi, ubat kumur, sabun badan, krim dan minyak sapu, gula-gula getah dan ubat batuk. Kebanyakan produk komersil menggunakan daun pudina jenis ini sebagai ramuan utama.

Khasiat Daun Pudina

Anda nak tahu 1001 khasiat daun pudina? Dalam artikel ni akan dikongsikan khasiat-khasiat daun pudina yang ramai orang tak tahu. Malahan, petua-petua mudah yang boleh dicuba juga akan diberikan.

Sebelum tu, jom baca kebaikannya pada kesihatan manusia.

1.Kaya dengan vitamin dan mineral yang diperlukan oleh badan iaitu vitamin A, B2 dan C. Malah ia juga mengandungi mineral seperti besi, kalsium, kalium dan mangan.

2.Mampu mengurangkan tahap kolestrol yang tinggi.

3.Bagus untuk mengurangkan berat badan.

4.Mengurangkan masalah pedih ulu hati dan gastrik.

5.Jika ada masalah penghadaman, ia boleh membantu merangsang penghadaman.

6.Boleh digunakan jika ada luka kecil, digigit serangga dan gatal-gatal di badan kerana fungsinya sebagai antiseptik, antivirus dan antiparasit.

7.Jika anda memakan daun pudina, ia boleh merangsang tubuh untuk mengeluarkan peluh.

8.Jika selsema, kekejangan otot, sakit-sakit badan dan sakit kepala, jus daun pudina boleh disapukan pada kawasan tersebut untuk melegakan kesakitan.

9.Boleh menghilangkan rasa loya dengan menyapu minyak yang diperbuat daripada daun pudina.

10.Bagus untuk kesegaran pernafasan.

11.Jika kurang selera makan, makan beberapa helai daun pudina bersama-sama dengan ulaman. Boleh juga dijadikan jus dengan dicampur dengan buah-buahan yang lain.

12.Selepas bersenam, kadangkala kita mengalami masalah kekejangan otot, daun pudina mampu melegakan kesakitan akibat kekejangan.

13.Ia juga memudahkan penghadaman lemak dan perjalanan makanan ke dalam saluran usus.

14.Ekstrak daunnya bagus untuk kanak-kanak yang kurang tumpuan dalam pelajaran.

15.Jika kembung perut, teh herba pudina mampu mengurangkan kesakitan.

16.Kajian mendapati pudina mampu bertindak sebagai antikanser dan dapat menghalang ketumbuhan.

17.Masalah berkaitan pernafasan seperti selsema, hidung berair, sakit kerongkong, nafas berbau dan jangkitan paru-paru, daun pudina boleh dijadikan ubat mujarab.

18.Dijadikan bahan utama dalam minyak urut dan minyak untuk melegakan pernafasan yang disapukan pada dada dan belakang badan.

19.Melegakan masalah wanita seperti sakit senggugut, kekejangan di bahagian peranakan dan melancarkan kitaran haid.

20.Bagus untuk orang yang mempunyai masalah kaki berbau apabila memakai kasut tertutup.

21.Kahak degil yang susah nak keluar, boleh disembuhkan dengan meminum secawan air masak yang dicampur ekstrak pudina.

Petua Kesihatan Menggunakan Daun Pudina

Begitu banyak khasiat daun pudina kepada kita lebih-lebih dari aspek kesihatan. Sejak dahulu lagi, daun pudina dikaji oleh pakar kerana kebaikannya kepada manusia. Oleh itu, tak hairanlah kerajaan menggalakkan penanaman pokok pudina.

Di bawah ni dikongsikan beberapa petua yang boleh dicuba menggunakan daun pudina. Jika simptom masih berterusan, anda perlulah mendapatkan rawatan di klinik atau hospital.

Mengatasi masalah kulit

Jika digigit serangga, mengalami gatal-gatal akibat panau dan kurap, terbakar ringan dan sebagainya, bolehlah hancurkan sedikit daun pudina dan ditampalkan pada tempat tersebut.

Kuruskan badan

Ambil beberapa helai daun pudina dan sedikit daun ketumbar. Kisarkan kedua-duanya dengan secawan air suam. Campurkan air tersebut dengan setengah cawan jus lemon. Amalkan minum campuran air ni segelas setiap hari.

Menyegarkan pernafasan

Daun pudina boleh dijadikan ulam atau dimakan begitu saja. Selain menyegarkan pernafasan, ia dapat membunuh bakteria yang menyebabkan bau mulut dan melegakan kerongkong.

Tips lain yang boleh dicuba ialah campurkan 4 sudu besar daun pudina yang dikisar dengan secawan air yang telah dimasak (dibiarkan suam). Kemudian, sejukkan air tersebut. Bila hendak basuh mulut, gunakan air tersebut. Lebih baik berbanding pembersih mulut di pasaran.

Menghilangkan masalah gatal-gatal di badan

Kisar 2 cawan daun pudina dan dicampurkan dengan air di dalam baldi. Setelah memakai sabun, bilas menggunakan campuran air pudina tadi. Badan bukan saja terasa segar, malahan wangi. Fungsi antibakteria di dalamnya mampu menghilangkan masalah kulit seperti gatal-gatal.

Hilangkan sakit tekak dan kurangkan kahak

Campurkan beberapa helai daun pudina dalam secawan teh panas. Tak perlu tambah gula. Minum selepas teh menjadi suam.

Melegakan demam, selsema dan gastrik

Ambil beberapa helai daun pudina dan dikisarkan dengan secawan air suam. Tambahkan sedikit madu asli. Amalkan setiap hari sehingga sakit berkurangan.

Merawat kulit wajah

Jika anda menghadapi masalah jerawat, ruam dan panau, boleh cuba petua ni. Ambil secawan daun pudina dan dikisar dengan sedikit air saja untuk mendapatkan pes yang pekat. Sapukan sebagai masker di bahagian wajah yang bermasalah.

Hilangkan loya dan mabuk kenderaan

Jika berasa loya, anda pasti tak senang duduk kerana kepala terasa berpusing-pusing dan rasa nak muntah. Selain menggunakan minyak angin untuk mengurangkan rasa loya, anda boleh meramas beberapa helai daun pudina. Sedut baunya perlahan-lahan. Ia akan memberi kelegaan.

Mengatasi kaki berbau

Jika anda seorang yang kuat berpeluh dan memakai kasut bertutup sehari suntuk, pasti akan ada bau yang kurang menyenangkan. Daun pudina boleh digunakan untuk mengatasi masalah ni.

Caranya, ramas beberapa helai daun pudina dan letakkan ia di dalam kasut. Kebaikannya sebagai antibakteria dan antifungal akan mengurangkan masalah kaki berbau disebabkan oleh masalah peluh. Cuba petua ni dengan kerap.

Setakat ni saja perkongsian tentang khasiat daun pudina. Anda boleh mencuba petua-petua yang diberikan ini. Jangan lupa kongsikan dengan kami hasilnya.

Tak susah nak cuba kerana daun pudina mudah didapati di pasar atau di pasar raya. Malah, anda juga boleh menanamnya sendiri untuk menjimatkan kos.

Selamat membaca dan semoga bermanfaat.

Jemput juga baca artikel tentang khasiat bunga cengkih dan khasiat daun parsley

Rujukan

  • 18 Khasiat Dan Kebaikan Daun Pudina. https://spmodels.net/nature/18-khasiat-dan-kebaikan-daun-pudina-mint. (link)

Penulis: Zuraidah Muhidden

Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.