Daun lemuni adalah sejenis herba yang mempunyai 1001 khasiat khususnya kepada kaum wanita. Mungkin ada yang tidak pernah mendengar tentang daun lemuni dan tidak mengenali daun berkhasiat ini kerana ia cuma terkenal di negeri utara sahaja. Orang utara pasti kenal dengan daun lemuni. Bagi anda yang tidak mengenali apa itu daun lemuni, istimewa untuk anda hari ini kami akan berkongsi info tentang pokok lemuni dan khasiat daun lemuni serta kegunaannya.

Pokok lemuni adalah sejenis tumbuhan herba yang renek dan banyak ditanam di utara tanah air. Daun pokok lemuni adalah tirus dan berkilat. Terdapat dua jenis pokok lemuni iaitu pokok lemuni putih dan pokok lemuni hitam. Kedua-dua pokok ini mempunyai khasiat yang berbeza dan biasanya digunakan untuk tujuan dan kegunaan yang berbeza.

khasiat daun lemuni

Sumber: Sihatitunikmat

Daun lemuni sangat kaya dengan khasiat dan mempunyai pelbagai kegunaan. Tak hairanlah kenapa daun lemuni digunakan secara meluas oleh penduduk utara tanah air sejak berates tahun yang lalu. Di antara khasiat dan kegunaan daun lemuni ialah seperti berikut:

Ulam-ulaman dan masakan

Daun lemuni enak dimakan begitu sahaja malah sangat sedap jika dimasak bersama nasi lemak. Nasi lemak daun lemuni adalah menu yang sangat popular di belah utara semenanjung Malaysia. Jangan berani mengaku anda orang utara kalau tak pernah makan nasi lemak daun lemuni.

Daun lemuni dijadikan ulam kerana rasanya yang enak dan khasiatnya untuk kesihatan tubuh badan. Selain itu ia dijadikan sebagai bahan utama dalam penyediaan nasi lemak daun lemuni memandangkan ia membuatkan nasi menjadi harum dan enak rasanya selain berkhasiat.

Mengurangkan berat badan

Anda pasti tersenyum apabila mengetahui bahawa daun lemuni membantu untuk mengurangkan berat badan. Malahan nasi lemak daun lemuni boleh dimakan selalu dengan kerap kerana daun lemuni yang dimasukkan ke dalam nasi lemak tersebut membantu untuk mengurangkan berat badan. Jika anda jadikan daun lemuni sebagai ulam setiap hari, pastinya berat badan anda akan menurun.

"

Memulihkan luka terbakar

Salah satu khasiat dan kegunaan daun lemuni ialah untuk memulihkan luka terbakar. Itulah sebabnya kenapa pokok lemuni banyak ditanam di kawasan rumah sebagai persediaan jika berlaku perkara yang tidak diingini. Untuk merawat luka terbakar dengan daun lemuni, apa yang perlu anda lakukan ialah:

  • Ambil beberapa helai daun lemuni.
  • Panaskan periuk kosong.
  • Tekapkan daun lemuni ke dalam periuk panas.
  • Biarkan sehingga daun lemuni panas dan layu.
  • Tekapkan daun lemuni yang dipanaskan tadi pada luka terbakar.
  • Biarkan sehingga sejuk.
  • Ulang sehingga luka terbakar sembuh.

Dengan menekap daun lemuni pada luka terbakar, ia akan membantu mengurangkan kesakitan, mengelakkan berlakunya gelembung air, mempercepatkan kesembuhan, dan membantu mengurangkan parut pada kulit.

Air rebusan untuk wanita berpantang

Ibu yang baru melahirkan dan sedang berpantang memerlukan penjagaan yang rapi agar sihat dan segar semula dengan segera. Salah satu amalan yang kita warisi dari nenek moyang ialah amalan meminum air rebusan akar kayu semasa berpantang. Tahukah anda bahawa air rebusan daun lemuni juga sangat bermanfaat buat ibu yang berpantang. Anda boleh memasukkan akar kayu bersama daun lemuni untuk mendapatkan khasiat yang terbaik.

Ibu berpantang yang mengamalkan air rebusan lemuni semasa berpantang akan berasa segar dan bertenaga. Malah daun lemuni juga membantu ibu berpantang untuk menurunkan berat badan dengan cepat. Sebagai bonus, air rebusan daun lemuni juga membantu menyihatkan tubuh badan dan mencepatkan proses penyembuhan luka bersalin.

Mengubati cirit-birit

Jika anda mengalami cirit-birit, boleh minum air rebusan daun lemuni untuk meredakan perut dan mengelakkan daripada anda mengalami kehilangan air yang banyak dan dehidrasi. Ambil beberapa helai daun lemuni dan rebus sehingga mendidih. Minum air rebusan daun lemuni tadi sehingga anda sihat seperti sedia kala.

Menghilangkan sakit kepala

Jika anda mengalami sakit kepala, daun lemuni juga boleh membantu. Apa yang anda perlukan ialah daun lemuni, lada hitam, kunyit hidup dan nasi. Caranya, tumbuk kesemua bahan tadi dan sapukan ke kepala. Biarkan sehingga sakit kepala anda hilang. Selain itu ada juga boleh letakkan daun lemuni di dalam sarung bantal yang digunakan semasa tidur untuk menghilangkan sakit kepala. Cubalah! Ianya memang berkesan.

Menghalau nyamuk

Selain itu daun lemuni juga dikatakan mampu dijadikan sebagai ubat menghalau nyamuk semulajadi. Caranya ramas daun lemuni dan sapukan pada anggita badan seperti kaki dan tangan untuk mengelakkan gigitan nyamuk. Ini kerana nyamuk tidak menyukai bau yang keluar dari daun yang diramas tadi. Atau anda juga boleh ramas daun lemuni, masukkan ke dalam bekas dan letak bekas tadi berdekatan anda. Ia juga berhasil.

Mencuci luka

Biasanya kita akan mencuci luka atau dressing dengan menggunakan bahan yang dibekalkan oleh pihak klinik. Tahukah anda bahawa daun lemuni mempunyai bahan anti septik dan boleh digunakan untuk mencuci luka. Caranya rebus daun lemuni sehingga mendidih dan gunakan air rebusan tadi untuk mencuci luka. Gunakan air rebusan yang suam untuk kesan terbaik. Ia akan membantu membunh kuman dan membersihkan luka anda.

Menghilangkan ulser

Jika anda mengalami ulser di dalam mulut, anda boleh berkumur dengan air rebusan daun lemuni untuk mengurangkan kesakitan dan menghilangkan ulser dengan cepat. Ambil beberapa helai daun lemuni dan rebus sehingga mendidih. Kumur dengan air rebusan tadi sekerap yang mungkin.

Itulah dia info tentang khasiat dan kegunan daun lemuni yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang khasiat pokok dukung anak, khasiat minyak zaitun untuk ibu hamil, dan air kelapa untuk ibu mengandung.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.