Khasiat daun kari sebenarnya banyak dari sudut perubatan.

Daun kari sangat sebati dengan masyarakat di Malaysia. Selain dari bau yang wangi, daun kari merupakan antara elemen masakan yang penting dalam sajian masakan kita.Lebih-lebih lagi kalau masakan gulai ataupun kari. Wajib guna!

Saya percaya, selain dari menjadi sebahagian dari unsur bahan masakan, pasti ramai tidak mengetahui khasiat lain daun kari. Pasti anda akan terperanjat! Jom kami kongsikan.

Pengenalan

Imej via Bidadari

Pokok kari atau nama saintifiknya Murraya koenigii banyak dijumpai di India, Sri Lanka, Bangladesh dan kepulauan Andaman. Penduduk dari negara-negara tersebut yang merantau ke seluruh negara turut membawa tanaman ini untuk ditanam di serata dunia yang sememangnya sangat sinonim dengan masakan India Selatan.

Daun kari mempunyai rasa yang agak kuat, pahit dan sedikit berasid selain mengekalkan aroma dan perisanya walaupun setelah dikeringkan. Daun kari banyak digunakan dalam perubatan ayurveda India dan unani.

Komponenan utama dalam daun kari yang memberikannya aroma dan perasa kari sebagaimana yang dilaporkan oleh penyelidikan saintifik ialah pinene, sabinene, caryophyllene, cadinol dan cadinene.

Selain digunakan untuk masakan, daun kari juga digunakan dalam bentuk minyak pati untuk pembuatan sabun, losyen, minyak urut, potpourri, penyegar udara dan produk aromaterapi.

Berikut pula ialah khasiat kesihatan  daun kari ini:

1. Penawar cirit birit dan buasir

Daun kari boleh dijadikan tonik herba untuk menguatkan perut dan meningkatkan keupayaannya serta mengatasi masalah penghadaman. Ianya merupakan penawar yang cukup ampuh.Ia juga boleh digunakan sebagai laksatif (julap) lemah untuk mengatasi masalah sembelit.

Jus daun kari yang dicampur dengan madu juga dapat menjadi penawar cirit birit dan buasir.

Kajian pada tahun 2009 yang diterbitkan dalam Asian Journal Tropical Medical of Public Health melaporkan bahawa duan kari kaya dengan bahan laksatif anthraquinone.

Bahan ini melegakan sistem peredaran usus untuk memudahkan pencernaan dan penyingkiran nyahtinja dari tubuh.

2. Loya dan pening

Jika sering terasa loya dan pening, cuba tips ini. Ambil jus daunnya yang segar dan dicampurkan dengan jus limau nipis digunakan untuk mengatasi masalah loya dan pening .

Caranya dengan mencampurkan satu sudu teh jus daun kari dan satu sudu teh jus limau nipis. Daun kari juga berkesan dalam mengatasi masalah haid dan penyakit gonorea (gonorrhea), menghilangkan rasa loya dan pening-pening lalat bagi wanita mengandung.

Petua klasik ini diakui oleh kertas kajian SIngh dan rakan-rakan pada tahun 2014 yang mengaitkan daun kari dan menamakannya sebagai “a miracle plant.”

3. Diabetes

Kari juga berkhasiat dalam merawat diabetes. Rebus kulit batangnya yang kering dan minum airnya. Kaedah ini boleh mengawal diabetes.

Amalan memakan 10 helai daunnya setiap hari selama 3 bulan dikatakan dapat mencegah kencing manis yang disebabkan oleh keturunan dan kegemukan.

Dari segi penerangan saintifik terhadap petua tersebut, Singh dan rakan-rakan pada tahun 2014 mengulas mengenai khasiat daun kari yang membantu mengekalkan normoglycemia iaitu kandungan gula dalam darah.

Bahan mineral dalam daun kari mengaktifkan sel pankreatik beta yang berperanan menghasilkan insulin. Oleh itu, mereka menyimpulkan bahawa daun kari berpotensi sebagai antara bahan untuk membantu pengurusan pesakit diabetes.

4. Rambut panjang dan sihat

Imej via Bidadari

Untuk mendapat rambut panjang dan sihat, cubalah tips mudah ini. Campurkan satu sudu makan minyak kelapa dengan segenggam daun kari.

Masakkan ia sehingga hangus. Setelah sejuk gunakan ia sebagai tonik rambut untuk menghitamkan rambut dan mencegah uban.

Kajian dari Fakulti Farmasi di India pada tahun 2014 melaporkan bahawa minyak herba berasaskan daun kari mampu memberi kualiti rambut yang kuat, bebas daripada kelemumur dan menghitamkan.

5. Merawat gigitan serangga dan haiwan berbisa

Jangan berasa hairan, daun kari boleh digunakan untuk merawat gigitan serangga.

Buahnya dimasak dengan minyak kelapa hingga hitam. Hancurkan dan tampal ke tempat gigitan haiwan berbisa.

6. Lebam dan bengkak

Daun kari juga antara salah satu bahan semula jadi yang boleh digunakan untuk merawat luka atau lebam. Untuk mengurangkan lebam dan bengkak, hancurkan daun kari dan jadikan seperti pes untuk ditampal pada bahagian yang tersebut.

Kandungan alkaloid yang tinggi dalam daun kari menerangkan kesan pemulihan dan rawatan ke atas gigitan serangga dan bengkak. Pada tahun 2015, Saini & Reddy mengulas bahawa daun kari mengandungi coumarins,
acridine alkaloid dan carbazole alkaloid yang sangat bagus dalam melawan keradangan dan memberi kelegaan kesakitan.

7. Kecantikan dan kesihatan diri

Daun kari juga adalah sumber kecantikan. Kedengaran pelik bukan?

Daun kari dapat digunakan untuk kecantikan diri. Anda boleh amalkan minum air rebusan daun, akar, kulit kayu, batang dan bunga kari.

Itulah sebahagian khasiat daun kari yang dapat kami kongsikan. Jangan main-main dengan manfaat dan khasiat daun kari yang ada di belakang rumah kita ya.

Kajian perubatan yang dilaporkan dalam jurnal Plant Foods for Human Nutrition oleh pengkaji dari India menyatakan bahawa daun kari mempunyai kandungan antioksidan yang banyak dengan kandungan vitamin A yang sangat tinggi.

Kajian mereka membandingkan tikus makmal yang diberi makan diet berasaskan daun kari yang menunjukkan kesan antikarsinogen atau kesan melawan radikal bebas yang bertoksik. Diet ini mampu melindungi sistem tubuh tikus tersebut dengan 50% peningkatan kualiti kesihatan.

8.Khasiat Daun Kari Untuk Darah Tinggi

Nah, akhir sekali, daun kari juga dikatakan berkesan untuk merawat darah tinggi. Caranya adalah dengan mengawal tekanan darah tinggi dan memastikan peredaran darah berjalan lancar. Ianya juga dikatakn dapat mengurangkan pening kepala.

Seperti yang diketahui, darah tinggi biasanya sering dikaitkan dengan serangan jantung. Oleh itu, secara logiknya boleh dikatakan jika perkara di atas dapat dikurangkan, ianya juga secara tidak langsung mengurangkan kemungkinan serangan jantung. Bacaan lanjut di DrHealthBenefits.

Imej via Bidadari

Rujukan

  1. Grace, X. F., Raj, S. R., Shanmughanathan, S., & Chamundeeshwari, D. (2014). Preparation and evaluation of polyherbal hair oil. International Journal of Pharmaceutical Chemistry and Analysis1(1), 1-5.
  2. Khanum, F., Anilakumar, K. R., Krishna, K. S., Viswanathan, K. R., & Santhanam, K. (2000). Anticarcinogenic effects of curry leaves in dimethylhydrazine-treated rats. Plant Foods for Human Nutrition55(4), 347-355.
  3. Parul, S., Javed, A., Neha, B., Honey, J., & Anuj, B. (2012). Curry leaves–A medicinal herb. Asian Journal of Pharmaceutical Research2(2), 51-53.
  4. Sakulpanich, A., & Gritsanapan, W. (2009). Laxative anthraquinone contents in fresh and cooked Senna siamea leaves. Southeast Asian J. Trop. Med. Public Health40(4), 109-118.
  5. Saini, S. C., & Reddy, G. B. S. (2015). A review on curry leaves (Murraya koenigii): versatile multi-potential medicinal plant. Am. J. Phytomed. Clin. Ther3, 363-368.
  6. Singh, S., More, P. K., & Mohan, S. M. (2014). Curry leaves (Murraya koenigii Linn. Sprengal)-a mircale plant. Indian Journal of Scientific Research4(1), 46-52.

Khasiat Makanan Lain

Kami juga ada menulis beberapa artikel tentang khasiat sumber makanan yang lain untuk anda baca. Semoga ianya turut bermanfaat. Oh ya, jangan lupa untuk share dan kongsi dengan menekan butang share Facebook jika artikel yang dikongsi bermanfaat.

Semoga bermanfaat.

Artikel ini telah dikemaskini oleh Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof.

Penulis: Ummu Hatim

Ummu Hatim adalah salah seorang penulis tetap di Bidadari.My. Penulisannya banyak mengenai keibubapaan dan tips kesihatan. Menulis untuk mendidik diri sendiri disamping berkongsi ilmu pembacaan yang ada.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.