Cempedak oh cempedak. Selain sedap dimakan panas-panas cempedak goreng, cempedak sebenarnya mempunyai banyak khasiat dari segi perubatan.

Nak tahu khasiat cempedak? Jom baca artikel ini.

Pengenalan

Cempedak  atau nama botaninya Artocarpus champeden adalah  dari keluarga Moraceae. Tanaman ini berasal dari Asia Tenggara, dan tersebar luas sehingga sampai ke semenanjung Malaysia, Thailand dan Indonesia.

Cempedak kaya dengan nutrien seperti protein, lemak, karbohidrat, kalsium, fosfor, zat besi, vitamin A, vitamin B1, dan vitamin C, enzim dan bioflavanoid.

Isi buah cempedak yang sudah masak ranum biasanya dimakan mentah atau digoreng menjadi cucur bersama tepung. Ada juga yang memprosesnya menjadi jus, jem, perasa untuk kek dan aiskrim serta dikeringkan untuk menjadi keropok.

Buah cempedak yang muda juga dijadikan juadah sayur masak lemak santan bagi sesetengah penduduk di India. Bijinya juga direbus dan boleh dimakan seperti ubi. Menariknya juga, bijinya boleh dikeringkan dan dikisar menjadi serbuk tepung untuk kegunaan bakeri.

khasiat cempedak

Sumber: TribunnewsJom ketahui apakah khasiat buah cempedak.

1. Membantu menurunkan berat badan

Cempedak adalah buah yang boleh anda ambil jika dengan berusaha untuk menurunkan berat badan.

Kandungan protein, lemak, karbohidrat, kalsium, fosfor, zat besi, vitamin A, vitamin B1, dan vitamin C di dalamnya membekalkan anda semua zat yang anda perlukan setiap hari, walau pun sedang mencatu makanan.

Selain itu, cempedak juga memberikan rasa kenyang yang lama dengan kandungan karbohidrat (26 gram) dan serat (3.4 gram) yang tinggi bagi setiap 100 gram hidangan. Ia membantu anda mengurangkan pengambilan makanan.

2. Mengekalkan awet muda

Kandungan artoindonesianidin yang terdapat dalam cempedak merupakan bahan antioksidan.

Ia membantu melambatkan proses penuaan dan mengekalkan keremajaan kulit. Bioflavanoid pula berfungsi untuk menyingkirkan radikal bebas dari badan.

Nak awet muda? Jom makan cempedak.

3. Membantu penyerapan lemak

Berita baik untuk mereka yang menjaga berat badan, serat yang terdapat dalam cempedak membantu proses penyerapan lemak dari makanan yang masuk ke dalam badan.

4. Mengawal paras gula dalam darah

Serat yang terdapat dalam cempedak juga berfungsi untuk mengawal paras gula dalam darah.

Kajian kedoktoran dari Universiti Sriwijaya, Indonesia pada tahun 2020 turut melihat kesan kandungan flavonoid, steroid, saponin dan tannin dalam daun pokok cempedak yang boleh juga ditemui dalam buah cempedak dan keseluruhan pokok, mampu menurunkan paras gula diabetes dalam kajian tikus makmal mereka.

5. Mencegah kanser

Bukan hanya buahnya sahaja, kulit batang cempedak juga mengandungi komponen yang membantu mencegah tumor. Hasil kajian yang dilakukan oleh Prof. Sjamsul Arifin Achmad dari Departmen Kimia Institut Teknologi Bandung, kulit batang cempedak mengandungi bahan kimia artoindonesianidin.

Artoindonesianidin tergolong sebagai flavonoid yang bersifat antioksidan. Ujian biologi menunjukkan bahawa hanya dengan kepekatan kurang dari 4 mikrogram per mililiter, bahan artoindonesianidin dapat membunuh sel tumor leukemia sebanyak 50%.

6. Mencegah demam malaria

Kajian tersebut juga menunjukkan bahawa artoindonesianidin dalam cempedak juga boleh mencegah demam malaria.

Kajian oleh Aty Widyawaruyanti  dari Fakulti Farmasi Universitas Airlangga, Surabaya pula menunjukkan bahawa pada kulit batang cempedak terdapat bahan utama heteriflavon C yang dapat menghilangkan parasit penyebab malaria.

7. Menguatkan gigi dan tulang

Kandungan kalium dan fosfor dalam cempedak membantu menguatkan gigi dan tulang.

Malah, jika dibandingkan, kandungan kalsium dalam cempedak ialah 40 mg/100 gram berbanding kandungan kalsium dalam epal (6 mg/100 gram) atau pisang (5 mg/100 gram).

8. Menjaga kesihatan mata

Imej via Bidadari

Cempedak tinggi dengan vitamin A iaitu sebanyak 200 SI per 100 gram. Vitamin A sangat sinonim dengan kesihatan mata.

Ia membantu mencerahkan mata & menjaga kesihatan kornea.

9. Membantu badan menyerap air dengan lebih baik

Kandungan mineral dalam cempedak membantu tubuh badan anda menyerap air dengan lebih baik.

Ia sangat membantu untuk mengelakkan dehidrasi dan dalam masa yang sama membantu supaya kulit muka tidak kering & tidak menjejaskan proses penurunan berat badan.

Menariknya, menurut kajian makmal, kandungan air dalam isi buah cempedak ialah 66% daripada berat keseluruhannya, menunjukkan bahawa buah cempedak boleh menjadi sumber hidrasi yang baik.

10. Membantu proses pencernaan dan menjaga usus

Cempedak kaya dengan serat lalu membantu proses pencernaan dan menjaga kesihatan usus.

11. Mencegah demam

Kandungan antioksidan dalam cempedak membantu meningkat imuniti badan dan mencegah demam.

Penyelidik dari Surabaya pada tahun 2018 merumuskan bahawa kandungan flavonoid dan fenolik dalam buah cempedak sangat berpotensi untuk dijadikan sebagai sumber antioksidan semulajadi.

12. Mengatasi sakit kulit

Selain mencegah demam, antioksida dan mineral lain dalam cempedak seperti vitamin C membantu mengatasi masalah kulit seperti ekzema, kekeringan, kegatalan, dan kulit sensitif.

13. Menguatkan imuniti badan

Bioflavonoid dan antioksidan dalam cempedak membantu memusnahkan radikal bebas dalam badan lalu meningkatkan imuniti & kekuatan untuk melawan penyakit.

Apabila badan anda mempunyai imuniti yang kuat, akan susah untuk mendapat jangkitan kuman dan dilanda penyakit berjangkit seperti demam, batuk, selsema, dan HFMD.

14. Menyah parasit dari tubuh badan

Cempedak juga membantu menyah parasit seperti cacing dari tubuh badan.

Malah, ada kajian yang melihat keberkesanan ekstrak biji buah cempedak untuk melawan serangan mikrob.

Hal ini dibentangkan oleh sekumpulan penyelidik dari Indonesia dalam Jurnal Teknologi Laboratorium yang menunjukkan bahawa ekstrak biji cempedak mampu membunuh pertumbuhan S. aureus yang rintang terhadap methisilin.

15. Mengatasi cirit-birit

Antioksida dalam cempedak membantu mengatasi masalah cirit-birit.

Selain itu, kandungan air yang tinggi cempedak dapat mengembalikan tahap hidrasi badan yang berkurangan apabila dilanda cirit-birit.

16. Memberikan tenaga

Imej via Bidadari

Salah satu daripada mineral dan khasiat yang ada dalam cempedak ialah tenaga. Kandungan tenaga pada buah cempedak mencapai 117 kcal dalam setiap 100 gram hidangan.

Bila anda kepenatan dan rasa kurang bertenaga, bolehlah makan cempedak untuk mendapatkan sumber tenaga segera.

17. Mencegah strok

Kandungan mineral buah cempedak berfungsi untuk menggantikan cairan tubuh yang hilang dan melancarkan pembuluh darah sekali gus mencegah penyakit strok.

18. Mencegah stress

Selain isinya, biji cempedak juga mempunyai khasiat yang tinggi.

Salah satu daripada khasiat biji cempedak ialah untuk mencegah stress. Kandungan proteinnya yang tinggi membantu membebaskan diri daripada bahan kimia punca stress.

19. Meningkatkan kesihatan sel & menggalakkan pertumbuhan sel yang baru

Biji cempedak yang kaya dengan protein juga membantu menyihatkan sel dan menggalakkan pentumbuhan sel yang baru.

Sel yang baru akan menggantikan sel lama yang rosak. Sebagai contoh, sel kulit yang baru akan menggantikan sel kulit lama yang kusam dan tidak berseri.

20. Meningkatkan metabolisma badan

Mereka yang mempunyai tahap metabolisma yang tinggi akan cepat mencerna makanan dan mengurangkan masalah lebihan berat badan.

Lain kali anda makan cempedak, isinya jangan dibuang. Rebus dan makan untuk meningkatkan tahap metabolisma.

21. Mengurangkan kejang otot atau cramp

Biji cempedak juga membantu menyihatkan otot lalu mengurangkan risiko berlakunya kekejangan atau cramp, terutamanya pada waktu pagi atau semasa cuaca sejuk.

Kandungan mineral yang tinggi membantu keseimbangan garam dalam badan untuk mengurangkan risiko kekejangan yang biasanya disebabkan gangguan ion mineral.

22. Meningkatkan stamina

Kandungan zat dan mineral dalam cempedak yang tinggi membantu meningkatkan stamina dan tahap kecergasan badan.

23. Menggalakkan pertumbuhan sel darah yang baru

Selain melancarkan aliran darah, zat besi dalam cempedak juga membantu menggalakkan pertumbuhan sel darah merah yang baru.

Terdapat 1.1 mg zat besi dalam setiap 100 gram hidangan cempedak, hampir menyamai kandungan zat besi dalam protein yang lebih mahal seperti daging merah (1.1 mg) dan isi ayam (1.3 mg).

Itulah dia 23 khasiat cempedak yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat!

Imej via Bidadari

Jika anda sukakan artikel kami yang ini, anda juga mungkin menyukai tulisan kami berkenaan khasiat ulam, khasiat rebung, dan khasiat peria katak.

Rujukan

  1. Lim, L. B. L., Chieng, H. I., & Wimmer, F. L. (2011). Nutrient composition of Artocarpus champeden and its hybrid (Nanchem) in Negara Brunei Darussalam. ASEAN Journal on Science and Technology for Development28(2), 122-138. (link)
  2. Lulan, T. Y., Fatmawati, S., Santoso, M., & Ersam, T. (2018, December). Free radical scavenging activity of artocarpus champeden extracts. In AIP Conference Proceedings (Vol. 2049, No. 1, p. 020055). AIP Publishing LLC. (link)
  3. NABILAH ST, A. N., Fitrya, F., & Amriani, A. (2020). UJI EFEK PENURUNAN KADAR GLUKOSA DARAH EKSTRAK ETANOL DAUN CEMPEDAK (Artocarpus champeden) TERHADAP TIKUS DIABETES MELLITUS TIPE 2 (Doctoral dissertation, Sriwijaya University). (link)
  4. Widyawaruyanti, A., Kalauni, S. K., Awale, S., Nindatu, M., Zaini, N. C., Syafruddin, D., … & Kadota, S. (2007). New prenylated flavones from Artocarpus champeden, and their antimalarial activity in vitro. Journal of Natural Medicines61(4), 410-413. (link)

 

Artikel ini telah dikemaskini oleh Dr. Muhammad Jefri bin Mohd Yusof.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.