Jom ketahui khasiat air kelapa untuk ibu hamil.

Bayangkan di depan anda sekarang ni segelas air kelapa muda dengan isi-isinya yang lembut, cair dalam mulut. Manis, lemak dan segar, secukup rasa. Dengan cuaca yang panas menyengat, air kelapa boleh menjadi penyegar tekak dan tubuh yang paling mujarab.

Air kelapa terkenal sebagai minuman yang lazat dan berkhasiat. Namun, khasiatnya sebagai penawar kesihatan juga tak boleh disangkal lagi. Selain mempunyai kalori dan lemak yang rendah, air kelapa juga kaya dengan mineral dan vitamin.

Artikel kali ni akan menyentuh aspek khasiat air kelapa untuk ibu hamil. Dikatakan bahawa, minum air kelapa setiap hari akan membuatkan tubuh ibu hamil mendapat air secukupnya. Malahan, jika diamalkan secara konsisten dan tak berlebihan, ia juga baik bagi janin dalam kandungan.

Namun, ditegaskan bahawa air kelapa yang perlu diminum oleh ibu hamil hanyalah daripada buah kelapa yang segar. Bukannya yang dijual di dalam tin atau sudah diproses. Dikhuatiri air kelapa yang diproses mengandungi gula dan bahan pengawet yang tinggi.

Jom kita baca 10 khasiat air kelapa untuk ibu hamil. Mesti anda tak sangka begini banyak khasiat buah ajaib ni kepada kita.

khasiat air kelapa

Imej via Bidadari

Kekal Bertenaga

Ibu yang hamil sering berasa letih dan tak bertenaga kerana perlu bekerja keras membekalkan keperluan bagi bayi yang dikandung. Lebih-lebih lagi jika perut semakin membesar, badan sering sakit-sakit dan hilang selera makan.

Itulah sebabnya bakal ibu perlu mendapatkan nutrien yang secukupnya sebagai sumber tenaga. Air kelapa ialah pilihan yang paling baik untuk membekalkan sumber tenaga lebih-lebih lagi bagi ibu yang tiada selera makan.

Air kelapa muda merupakan minuman isotonik yang kaya dengan khasiat tersembunyi. Tahukah anda bahawa air kelapa mengandungi elektrolit, potasium, magnesium, klorida dan protein? Malahan, kandungan gula di dalamya juga dah cukup untuk membekalkan tenaga untuk si ibu.

Mencegah Dehidrasi

Pada peringkat awal kehamilan, kebanyakan wanita mengalami simptom ‘morning sickness.’ Simptom ini menyebabkan mereka mengalami alahan dan muntah-muntah yang teruk.

Akibat muntah yang berterusan, ibu hamil berisiko menghadapi masalah dehidrasi iaitu kekurangan air dalam badan. Selain minum air putih, air kelapa juga banyak manfaat untuk atasi masalah ni.

Kandungan amino dan enzim yang baik dalam air kelapa membuatkan masalah dehidrasi dapat dielakkan. Yang lebih menarik lagi, air kelapa dapat mengurangkan rasa loya dan muntah.

Kawal Tekanan Darah

Disebabkan kandungan potasium dan magnesium yang terdapat di dalam air kelapa, ia dapat mengawal tekanan darah. Ibu yang hamil mudah mendapat penyakit tekanan darah tinggi jika tak mengawal pemakanan dan stres.

Oleh itu, pengambilan air kelapa secara teratur dan konsisten sebanyak 2 kali sehari amat baik untuk kesihatan tubuh badan. Selain minum air putih, air kelapa muda juga dapat bertindak secara dalaman.

Kandungan kalium di dalam air kelapa dapat mengikat garam dan membantu mengeluarkannya dari tubuh. Ini akan merendahkan tingkat natrium dalam darah yang menyebabkan tekanan darah turun dan jadi stabil.

Mengatasi Masalah Sembelit

Kebanyakan wanita yang hamil sering mengalami masalah sembelit. Faktor utama terjadinya masalah ni disebabkan oleh peningkatan hormon progesteron . Perubahan hormon ni menyebabkan pergerakan usus menjadi lambat hingga menjadikan najis menjadi keras dan sukar dibuang.

Kandungan serat yang tinggi dalam air kelapa sangat berkesan untuk mengatasi masalah sembelit. Dengan meminum air kelapa, ia akan melicinkan saluran pencernaan dan najis akan menjadi lembut. Oleh itu, usus akan menjadi bersih dan berfungsi dengan baik.

Mengurangkan Masalah Pedih Ulu Hati

Selain masalah sembelit, ni juga masalah biasa yang dialami oleh ibu hamil. Perubahan hormon dan tekanan pada perut akibat kandungan dalam rahim akan menyebabkan perut terasa sakit.

Kadangkala untuk mengurangkan kesakitan, para wanita sering mengambil paracetamol. Pengambilan ubatan moden sebaik-baiknya perlu dielakkan kerana dikhuatiri akan menjejaskan kandungan.

Oleh itu, air kelapa merupakan pilihan yang baik untuk mengatasi masalah ni kerana dapat mengurangkan asid di dalam perut. Gangguan pencernaan juga dapat dikawal.

Pelawas Semula Jadi

Jangkitan saluran kencing (UTI) sering dihadapi oleh ibu hamil. Masalah ni amat menyeksakan kerana air kencing tak lawas dan bahagian kemaluan menjadi pedih.

Jika lambat dirawat, kehadiran protein dan nanah dalam air kencing akan menjadikan masalah menjadi lebih besar. Yang paling ditakuti, ia boleh memberi infeksi pada saluran kencing dan buah pinggang.

Justeru, air kelapa mengandungi diuretik semulajadi sebagai pelawas air kencing. Ia mampu mengawal asid urik dalam badan dan boleh membantu membersihkan saluran kencing.

Sebagai Antibakteria, Antifungus dan Antivirus

Kandungan asid laurik yang tinggi dalam air kelapa menghasilkan asid lemak iaitu monolaurin yang berfungsi melawan penyakit. Ibu hamil mudah dijangkiti selsema, demam, batuk dan sebagainya.

Air kelapa boleh dijadikan sebagai penawar semula jadi. Jika rasa mula tak sedap badan, minum segelas air kelapa. Ia dapat menyejukkan badan dan melawan penyakit. Namun, jika simptom masih berterusan, dapatkan rawatan di klinik ye.

Meningkatkan Kolestrol Baik

Air kelapa muda mempunyai khasiat untuk meningkatkan kolestrol baik (HDL) dalam tubuh. Justeru, ia dapat mencegah penyakit berbahaya seperti sakit jantung dan strok yang disebabkan oleh kolestrol jahat (LDL).

Justeru, ibu yang hamil boleh mengelakkan masalah kolestrol dengan lebih awal jika minum air kelapa setiap hari. Disebabkan kandungan kalori yang rendah, ia sangat baik untuk diminum.

Mencantikkan Kulit Wajah dan Tubuh

Mesti rahsia yang dah terbongkar ni buat para wanita tersenyum lebar kan? Akibat masalah dehidrasi, perubahan hormon dan sebagainya, menyebabkan sesetengah ibu hamil mendapat masalah kulit.

Antaranya ialah kulit kering dan berjerawat. Kadangkala, disebabkan faktor kesibukan bekerja dan kemampuan fizikal yang terhad, menjadikan mereka malas nak jaga muka. Nak pakai krim kecantikan pun tak larat.

Jangan risau! Minum saja air kelapa yang memang kaya dengan vitamin c dan antioksidan. Ini dapat mengelakkan masalah kulit menjadi lebih teruk.

Malah, yang paling best, air kelapa merupakan agen anti penuaan kerana berupaya menggantikan sel-sel tubuh. Jadi, masalah stretch mark dan selulit boleh dikurangkan.

Menurunkan Berat Badan

Kalau dah bersalin nanti, perkara pertama yang akan dilakukan oleh wanita ialah berpantang. Selain bertujuan untuk proses pemulihan, mereka ingin kembali ke bentuk badan yang asal.

Tak hairanlah ada yang sanggup berpantang sehingga 100 hari, ada pula yang makan macam-macam jamu. Janji badan dah tak montel.

Disebabkan kandungan gula dan kalori yang rendah, pengambilan air kelapa tak memudaratkan. Malahan, lebih baik minum air kelapa berbanding air kopi dan teh yang mempunyai kandungan gula dan kafein yang tinggi.

Air kelapa dapat meningkatkan metabolisme badan dan dapat membakar kalori dengan pantas. Jadi, soal gemuk tak perlu dirisaukan lagi.

Inilah 10 manfaat air kelapa untuk ibu hamil yang telah dikongsikan khas buat para pembaca yang disayangi. Namun begitu, jangan terlalu taksub dan teruja sehingga minum air kelapa bergelas-gelas ye.

Amalkan secara bersederhana dan jangan berlebihan. Dapatkan dulu nasihat doktor jika ada masalah kesihatan yang serius seperti penyakit diabetes, ginjal, hipertensi, jantung dan sebagainya.

Maklumat yang dikongsikan ni bersifat persediaan tradisional tanpa sebarang ubatan  moden. Oleh itu, kemungkinan pengambilan air kelapa tak sesuai dengan semua ibu hamil. Jika simptom-simptom masih berterusan, hentikan pengambilan air kelapa dan dapatkan rawatan terlebih dulu.

Semoga bermanfaat.

*Jemput juga baca artikel khasiat minyak kelapa dara  suplemen untuk ibu hamil dan khasiat kacang untuk ibu hamil

Rujukan

  1. https://my.theasianparent.com/air-kelapa-wanita-hamil
  2. https://doktersehat.com/pengaruh-air-kelapa-terhadap-kehamilan/
  3. https://www.honestdocs.id/manfaat-air-kelapa-muda-bagi-ibu-hamil-muda-hamil-tua
  4. https://www.hmetro.com.my/hati/2018/12/407449/usah-meneran

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.