Setiap pasangan suami isteri pasti mengimpikan seorang anak hadir dalam keluarga mereka dengan darah keturunannya. Anak juga merupakan satu rezeki di mana bukan semua orang boleh memilikinya. Ketika anak dilahirkan, ibu bapa akan menyayangi mereka dan menjaganya dengan baik.

Tetapi ia tidak mudah bagi sebahagian pasangan untuk mendapatkan zuriat. Ada sesetengah pasangan yang mendapat anak selepas beberapa tahun berkahwin dan ada pasangan yang mudah mendapat zuriat. Lebih sedih lagi, ada pasangan yang tidak boleh mendapatkan zuriat akan sebab-sebab tertentu.

Tekanan ini akan berlaku kepada si isteri kerana tidak dapat mengandung. Mengapakah isteri tidak dapat mengandung?

Hal ini kerana mungkin salah satu puncanya adalah kurang kesuburan kerana mempunyai ketumbuhan endometriosis. Ketumbuhan endometriosis ini boleh menghalang isteri daripada mengandung.

Apakah itu endometriosis?

Mari kami kongsikan info sebenar mengenai ketumbuhan endometriosis punca wanita tidak boleh hamil. Info ini dikongsikan oleh klinik Dr. Asmah. Klinik Dr. Asmah terletak di Sungai Petani, Kedah. Ia menawarkan pelbagai ‘service’ terutama sekali bagi wanita yang hamil. Ia juga menawarkan ‘service’ untuk pesakit biasa seperti kencing manis, darah tinggi, demam panas dan lain-lain lagi.

ketumbuhan endometriosis

Imej via Facebook

Endometriosis

Endometriosis adalah penyakit yang biasa dialami golongan wanita peringkat umur 30 dan 45 tahun. Endometriosis bukanlah kanser di mana sebahagian lapisan tisu dalam rahim dijumpai di bahagian lain dalam badan seperti bahagian pelvis iaitu pundi, usus dan organ reproduktif.

Namun, endometriosis kerap ditemui di bahagian ovari dan otot ligamen posterior yang menyokong uterus. Bagi wanita yang cuba hamil, endometriosis boleh menjejaskan kesuburan terutama jika ia terdapat pada ovari atau tiub follopian.

Gejala ini berlaku :

Haid banyak dan tidak teratur

Senggugut atau sakit semasa haid

Sakit semasa hubungan seks

Sakit di bahagian pelvis dan bawah abdomen pada pertengahan haid

Memberi kesan kepada keupayaan wanita untuk hamil

Bagaimana endometriosis menjejaskan kesuburan wanita?

Jika endometriosis muncul pada satu atau kedua-dua ovari, ia boleh menjejaskan kualiti telur sekaligus mencegah kehamilan. Ketika di lapisan tiub follopian, ia dapat menghentikan telur dari berenang ke rahim di mana ia akan disenyawakan.

Pakar perubatan juga menunjukkan endometriosis boleh merosakkan sperma lelaki setelah dibebaskan dalam tubuh wanita. Walaupun alasan ini tidak diketahui secara jelas, namun endometriosis menyebabkan keradangan dalam tubuh dan menjejaskan sperma dan juga telur.

Rawatan endometriosis

Malangnya, endometriosis ini tidak dapat disembuhkan tapi ia boleh dirawat dengan baik. Biasanya doktor akan mencuba beberapa prosedur sebelum pesakit menjalani pembedahan.

Ubat tahan sakit – Tanda endometriosis paling jelas adalah sakit sebelum dan selepas haid. Doktor boleh mengesyorkan ubat biasa seperti paracetamol atau ibuprofen.

Terapi hormon – Semasa haid, hormon ada naik dan ada turun. Ini menyebabkan tisu endometrium di luar rahim menebal dan berdarah. Oleh itu, ubat hormon dapat melambatkan proses penebalan ini sehingga mengurangkan rasa sakit.

Pembedahan endometriosis

Melibatkan penghapusan ketumbuhan endometrium dan melindungi ovari serta rahim anda. Ia biasanya dilakukan melalui laparoskopi. Ketika ketumbuhan dikeluarkan, kualiti telur bertambah baik dan ini membuka peluang wanita untuk hamil.

Sekiranya doktor mengizinkan, anda boleh cuba hamil selepas dua minggu pembedahan. Namun, jika selepas pembedahan masih tiada tanda-tanda hamil anda boleh melakukan prosedur lain seperti pembekuan telur, Intrauterine Insemination (IUI), IVF atau ubat kesuburan.

*Jika isteri mengalami tanda-tanda seperti sakit ketika berhubungan seks dengan suami, sakit di bahagian pelvis dan obdeman, keluar darah berlebihan ketika haid dan lain-lain seperti yang dinyatakan di atas, berjumpa dengan doktor dengan kadar segera. Semoga info ini memberi manfaat kepada anda dan orang-orang tersayang.

Artikel ini diberi kebenaran sepenuhnya oleh penulis. Baca artikel asal di sini.

Penulis: aqirah

aqirah

Seorang yang rajin dan gemar untuk kongsikan sesuatu yang bermanfaat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.