Kehamilan adalah satu fasa penting yang perlu dijaga dengan baik. Kesihatan ibu mengandung bukan satu perkara main-main yang boleh dipandang ringan.

Kesihatan ibu mengandung ini penting demi untuk tumbesaran bayi di dalam kandungan dan ada banyak perkara dalam memberi penjagaan ibu mengandung ini. Antaranya adalah seperti pemeriksaan, saringan faktor risiko, rujukan kepada pakar jika berkaitan, memberi imunisasi serta pendidikan awal untuk melalui tempoh sepanjang kehamilan dengan baik dan tenang.

kesihatan ibu mengandung.png
image via : Working Mother

“Nutrien seperti protein, asid folik dan vitamin B12 sangat diperlukan bukan sahaja untuk ibu, tetapi bayi yang dikandung. Mengikut keperluan piramid makanan, pertambahan kalori ibu hamil pada trimester pertama hanya 80 sahaja iaitu bersamaan dengan sekeping roti.”

Berikut adalah penerangan yang Pakar Dietetik Hospital Pusrawi Kuala Lumpur, Norhaslinda Jefrezen semasa ditemuramah oleh salah satu akhbar keluaran tempatan.

kesihatan ibu mengandung
image via : Harian Metro

Ibu hamil harus memberikan tumpuan kepada fasa pertama atau trimester pertama kerana dalam waktu ini pembentukan sel dan perkembangan organ berlaku dengan sangat cepat.

Ibu Hamil Memerlukan Lebih 300 Kalori Sehari Berbanding Wanita Biasa

Berbanding wanita yang tidak hamil, setiap ibu mengandung memerlukan lebih 300 kalori sehari untuk memenuhi keperluan diri dan bayi. Dengan itu, diet mereka perlu diisi dengan makanan berkhasiat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, susu rendah lemak, telur, keju dan bijirin.

Kesihatan Ibu Mengandung
image via : Doktor Sehat

“Apa yang saya sering tekankan adalah makan apa sahaja secara sedikit, tetapi kerap. Elakkan pengambilan makanan pedas dan berminyak yang menyebabkan ibu mudah muntah. Minuman berkafein juga tidak baik untuk ibu hamil. Untuk kesegaran tambahkan halia, lemon atau asam di dalam minuman dan minum banyak air kosong,” katanya lagi.

Makanan Untuk Kesihatan Ibu Mengandung Berbeza Mengikut Trimester

>> Cadangan Makanan Untuk : Trimester 1

  • Pisang
  • Bayam
  • Kacang-Kacangan
  • Buah Kurma
  • Buah Delima

>> Cadangan Makanan Untuk : Trimester 2

  • Telur (elakkan telur mentah / separuh masak)
  • Buah Avocado
  • Buah Kurma
  • Buah Tin
  • Brokoli

>> Cadangan Makanan Untuk : Trimester 3

  • Buah Betik
  • Kacang
  • Lemak Ikan
  • Buah Kurma
  • Ikan Salmon

7 Tabiat Makan Yang Betul Semasa Hamil

kesihatan ibu mengandung
image via : Parenting Firstcry

Tabiat #1: Amalkan pemakanan seimbang.

Seperti yang ditunjukkan pada Piramid Panduan Pemakanan, diet anda harus terdiri daripada makanan yang mengandungi karbohidrat, lebih buah-buahan dan sayur-sayuran, jumlah protein, susu dan produk tenusu yang sederhana, dan akhir sekali, lemak, minyak, gula dan garam yang minimum.

Tabiat #2: Pelbagaikan makanan anda.

Makanan yang berbeza memberikan gabungan nutrien yang berlainan (tenaga, karbohidrat, protein, vitamin, mineral dan komponen makanan yang menyihatkan) dalam jumlah yang berbeza-beza. Makan makanan yang pelbagai bagi mendapatkan kebaikan daripada makanan yang berbeza.

Tabiat #3: Makan mengikut keperluan anda.

Perkembangan bayi dan juga perubahan pada tubuh menyebabkan penambahan keperluan tenaga harian anda. Jadi, adalah biasa sekiranya selera makan anda bertambah sedikit. Walaupun begitu, tubuh anda lebih cekap menggunakan apa yang telah dimakan dan ini menyebabkan ramai wanita mengalami peningkatan berat badan yang normal semasa hamil, tanpa perlu makan dengan banyak daripada biasa.

Tabiat #4: Makan dengan teratur.

Amalkan makan tiga sajian utama (sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam) tiap-tiap hari. Sekiranya sajian utama anda kecil atau anda terasa lapar antara waktu makan, jangan raguragu untuk makan snek seperti susu atau dadih, biskut atau roti, mi atau buah-buahan di waktu pagi atau tengahari.

Tabiat #5: Pilih makanan yang kaya dengan vitamin & mineral.

Semasa hamil, anda memerlukan hampir kesemua vitamin dan mineral dengan jumlah yang lebih banyak. Kebanyakan peningkatan keperluan ini dapat dipenuhi dengan merancang dan mengamalkan diet yang berkhasiat. Anda seharusnya memilih makanan yang kaya dengan kalsium, zat besi, vitamin C, vitamin A, vitamin B12, dan folat (asid folik). Mikronutrien tersebut boleh didapati dalam makanan yang tersenarai dalam jadual di bawah dan juga makanan yang telah diproses, sekiranya tercatat pada label zat pemakanannya.

Tabiat #6: Jangan makan terlalu banyak atau terlalu sedikit.

Makan dengan terlalu banyak semasa hamil menyebabkan peningkatan berat badan yang keterlaluan. Anda juga tidak harus mengamalkan diet pengurangan berat badan kerana kedua-dua situasi ini boleh mendatangkan bahaya kepada kandungan anda.

Tabiat #7: Imbangkan pengambilan tenaga dengan aktiviti fizikal.

Kehamilan merupakan peluang yang baik untuk anda mengamalkan kehidupan yang aktif. Sama ada berjalan, berenang, meregang badan ringan atau pun sebarang aktiviti fizikal ringan yang anda gemari, lakukannya untuk sekurang-kurang 30 minit sehari (dalam satu sesi atau 10 minit untuk setiap 3 sesi). Aktiviti ini membantu menggunakan tenaga daripada makanan dan memperbaiki penghadaman. Di samping itu, ia turut menyediakan tubuh anda untuk kelahiran dan kehamilan seterusnya.

Antara Makanan Yang Perlu Dielakkan Semasa Sedang Hamil

  • Elakkan makan makanan mentah atau daging, ikan dan telur separa masak serta keju lembut untuk mengurangkan risiko jangkitan bakteria pada bayi dan anda.
  • Penggunaan pemanis tiruan tidak digalakkan semasa kehamilan.
  • Hadkan pengambilan minuman yang mengandungi kefein (cth kopi, teh atau cola)
  • Sekiranya anda mengalami pening-pening dan muntah-muntah, cuba makan 5 hingga 6 sajian kecil sepanjang hari. Makan perlahan-lahan dan berehat selepas makan.

Dapatkan Nasihat Pemakanan Daripada Doktor / Pakar Pemakanan Apabila Perlu

Dapatkan nasihat pemakanan daripada doktor atau pakar pemakanan sekiranya anda mempunyai sebarang risiko pemakanan yang berikut:

  • Sekiranya anda mempunyai berat badan yang terlalu rendah atau tinggi semasa hamil
  • Biasanya tidak mengamalkan pemakanan yang sihat dan pelbagai
  • Mengambil vitamin atau mineral tambahan tanpa disyorkan oleh doktor
  • Mempunyai sejarah ‘diet’ yang kronik, tidak makan pada waktu yang tetap atau berpuasa
  • Merokok, mengambil alkohol dan dadah; bahan-bahan ini bukan sahaja beracun malah boleh memberikan kesan kepada selera makan dan pengambilan makanan anda
  • Kandungan lebih daripada seorang bayi

Itulah sebahagian daripada info mengenai kesihatan ibu mengandung dan semoga info ini dapat memberi panduan pada sesiapa saja yang memerlukannya.

Sumber :

My Positive Parenting

Harian Metro

Penulis: Siti Awadah

Siti Awadah

Penulis bebas yang berkerjaya dari rumah. Fokus menulis dgn skill SEO dalam gaya santai untuk pelbagai topik seperti kesihatan, keibubapaan, perhubungan, kecantikkan, makanan, travel, Islamik dan sebagainya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.