Anak adalah anugerah terindah. Anak juga adalah ujian buat ibu dan ayah. Tugasan mendidik anak-anak adalah tanggungjawab kita. Ianya menuntut kesabaran yang tinggi dalam hal mendidik anak-anak semenjak mereka bayi sehingga dewasa.

Berikut merupakan perkongsian daripada Admin Facebook KIDS Neuron melalui laman sosial Telegram Nota Parenting KIDS Neuron, berkenaan 5 perkara yang memerlukan kesabaran ibu ayah dalam mendidik anak-anak.

1. SABAR DALAM MENGAJAR KEBAIKAN

Salah satu bahagian kesabaran yang sangat penting dan perlu ada dalam diri ibu ayah adalah sabar dalam mengajar anak tentang kebaikan dan ketaatan kepada Allah S.W.T.

Jadikan diri sebagai contoh terbaik buat anak. Ajarkan mereka tentang solat, Al-Quran, rukun iman dan juga rukun Islam dengan penuh kesabaran. Selain itu, ajarkan anak doa-doa harian, adab dan juga akhlak yang terpuji.

Foto Kredit : furkannesli.com

2. SABAR MENJAWAB PERTANYAAN ANAK

Dalam proses anak-anak membesar, anak-anak akan mengalami fasa di mana mereka sering kali bertanya tentang pelbagai perkara di sekelilingnya. Bermula daripada hal kecil sehinggalah tentang hal-hal besar.

Usah mengeluh, wahai ibu dan ayah! Bersabarlah menjawab setiap pertanyaan mereka itu. Dengan pertanyaan tersebut, ia menunjukkan bahawa mereka menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada kita sebagai orang tuanya.

Jika kita mengeluh atau marah dengan pertanyaan yang dilontarkan, mungkin anak akan berasa serik untuk bertanya lagi. Kemungkinan besar, mereka tidak akan menaruh kepercayaan lagi kepada kita sehingga membuatkan mereka bertanya kepada orang lain berkenaan kemusykilan di fikiran mereka.

Bayangkan, apakah yang akan terjadi sekiranya mereka bertanya kepada orang yang salah sehingga mendapat jawapan yang tidak tepat?

Foto Kredit : twitter.com

3. SABAR MENJADI PENDENGAR DAN TEMAN SETIA

Sebagai ibu dan ayah, sentiasa bersabar dalam mendengar segala perkongsian anak-anak. Jadilah pendengar yang baik dan teman setia buat anak-anak.

Jangan pernah mengganggap remeh perkongsian anak kita. Mungkin perkara itu kecil sahaja bagi kita tetapi sangat besar di pandangan mata mereka.

Leraikan keresahan di hati mereka dengan mendengar, memberi respon terbaik, disertai dengan nasihat berguna buat mereka.

Foto Kredit : hayatouki.com

4. SABAR KETIKA EMOSI ANAK MEMUNCAK

Menghadapi kelakuan anak yang kadang-kala meragam atau tantrum sememangnya mencabar emosi ibu dan ayah. Pada saat ini, kesabaran kita sangat diperlukan.

Jika amarah datang pada waktu itu, cuba jauhi anak sebentar sehingga emosi kita stabil. Setelah reda, barulah kita dekati semula anak tadi dan menasihatinya dengan baik. Ini kerana, menasihati anak ketika emosi kita stabil adalah lebih berkesan buat anak berbanding ketika kita sedang marah.

Foto Kredit : babyverden.no

5. SABAR JIKA USAHA MENDIDIK ANAK MASIH BELUM BERHASIL

Buat ibu ayah, bersabarlah jika belum ada hasil yang dikehendaki dalam mendidik anak-anak.

Selalu ingat bahawa Allah Maha Mengetahui dan memandang setiap usaha kita. Setiap ikhtiar kita dalam mendidik anak-anak akan menerima ganjaran setimpal daripada Allah S.W.T, meski pun ia hanya melibatkan hal yang kecil.

Sentiasa berdoa dan luahkan segala isi hati kita kepada Allah S.W.T kerana Allah Maha Mengetahui atas segala sesuatu yang berlaku.

Foto Kredit : islamidia.com

SEMATKAN KESABARAN DALAM DIRI

Sebagai ibu dan ayah, sentiasa sematkan kesabaran yang tinggi dalam diri kita. Yakinlah dengan izin Allah S.W.T, berkat kesabaran kita mendidik anak-anak, ia bukan sahaja akan membuahkan hasil kelak, malah mereka akan lebih menyayangi, menghargai dan menghormati kita.

Semoga anak-anak kita menjadi anak soleh dan solehah yang akan sentiasa mendoakan kita walaupun kita telah tiada di dunia ini.

 

*Sumber asal artikel ini dikongsikan oleh Admin Facebook KIDS Neuron melalui laman sosial Telegram KIDS Neuron dan diterbitkan semula dengan kebenaran. Sertai ‘channel’ Telegram Nota Parenting KIDS Neuron untuk mendapatkan koleksi 1001 tips keibubapaan.

Penulis: Eyza Faizah

Graduan dalam bidang psikologi di salah sebuah universiti tempatan. Berpengalaman dalam bidang pengurusan dan professional serta pengacaraan majlis. Kini bergelar 'work at home mom' (WAHM) - berkhidmat untuk keluarga dan menulis artikel online. Beliau boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.