Seringkali kanak-kanak bertanya kepada kita macam-macam perkara: kenapa ini? kenapa itu? macam mana ini? macam mana itu? Sebab sudah menjadi lumrah kanak-kanak atau bayi dilahirkan dengan perasaan ingin tahu yang sangat kuat.

Bahkan, tahu-tahulah perangai mereka yang sangat suka pegang mana-mana objek yang mereka nampak dilantai. Pantang kan! Hujung-hujung, dimasukkannya objek tersebut ke dalam hidung mereka.

Di atas kebimbangan Dr Ezairy M.Sallih mengenai isu ini, yang juga seorang ayah, beliau menceritakan pengalaman beliau di laman Facebook peribadinya, supaya para ibu bapa lebih berhati-hati dengan tingkah laku si kecil.

Bagaimanakah Objek Masuk Dalam Hidung Anak?

Seorang ibu muda bersama anak kecil tiba di wad. Wajah mereka ketakutan. Si anak kecil berlindung di balik pelukan si ibu. Jam sudah menunjukkan jam sebelas malam.

“Dah berapa lama ini ada kat situ?” Soal saya, merujuk kepada objek yang ada di dalam rongga hidung anak kecil itu.

Ibu itu teragak-agak. Si anak kecil mulai menangis.

Menurut si ibu, anak kecil ini sudah tiga kali memasukkan kertas ke dalam hidungnya. Dia main-main kertas, koyak-koyakkan ia dan masukkan ke dalam hidung. Allah!

Dan ini bukannya sekali dua, tetapi sudah kali keempat. Katanya nak beri anak main-main kertas…

Tuan-tuan, puan-puan… boleh nak beri anak bermain. Namun ia perlukan pemerhatian. Malang itu tidak berbau, tapi kita boleh cuba elak. Kalau kita lihat anak kita suka buat perkara-perkara seperti ini, maka kita tegah awal-awal.

Objek Seperti Apakah Yang Mengundang Bahaya?

kertas
Imej via OFWs

Objek seperti kertas, tisu, alat permainan dan apa-apa sahaja apabila masuk ke dalam hidung adalah amat berbahaya. Ia perlu dikeluarkan seberapa segera mungkin.

Bagaimanakah Objek Tersebut Membahayakan Badan Anak?

Jika tersedut, ia boleh masuk ke salur pernafasan dan peparu!

Jika dibiar lama, ia boleh menyebabkan jangkitan teruk pada hidung, sekitar mata, sinus dan ke tempat-tempat lain.

Ibu-ibu, kita perhati ya anak-anak. Ayah-ayah, kita pun perlu menjadi seorang yang memahami. Bantu isteri-isteri kita.

Hidung ini ada beberapa bahagian. Ada beberapa sambungan ke rongga-rongga lain. Ada ruang untuk ke rongga sinus. Ada ruang untuk ke bahagian belakang dan seterusnya ke salur makanan dan pernafasan. Bahkan ada laluan untuk jangkitan merebak ke mata dan bahagian otak! Oleh itu, hati-hati.

*Bahaya kan biarpun secebis kertas je? Apa lagi, silalah kongsi info penting ini!

*Artikel ini telah diterbitkan dengan kebenaran penulis. Untuk post asal penulis, boleh rujuk di sini.

Penulis: Dr Ezairy M. Salih

Dr Ezairy M. Salih

Merupakan Doktor Telinga, Hidung dan Tekak di Pusat Perubatan Universiti Malaya. Rajin berkongsi tips kesihatan di status Facebooknya. Ikuti beliau untuk dapatkan tips-tips kesihatan yang menarik.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.