Setiap manusia terbukti mempunyai keperluan diet yang berbeza berdasarkan banyak faktor. Rupa-rupanya, berdasarkan kajian saintifik, etnik seseorang turut memainkan peranan dalam pengambilan dan keperluan diet, khususnya pengambilan kalsium! Artikel ini mengupas isu etnik dan keperluan kalsium yang bersesuaian mengikut tiga etnik utama dunia (kulit hitam, kaukasian dan oriental).

Pengenalan kepada Kalsium

Kalsium (simbol kimia: Ca) ialah nutrien unik dalam tubuh di mana kekurangan nutrisi bagi unsur ini tidak akan menganggu fungsi metabolik dalam tubuh.

Ciri ini telah menyebabkan kekurangan kalsium dalam tubuh lambat dikesan. Memahami manfaat kesihatan daripada populasi atau etnik tertentu yang kerap mengamalkan permakanan berasaskan kalsium dapat menerangkan peranan dan kelebihan pengambilan kalsium dalam diet makanan.

Penduduk yang mengambil makanan kaya kalsium bergantung kepada pemahaman bagaimana

Kalsium di Peringkat Selular

Fungsi metabolik kalsium yang telah dikenal pasti adalah berdasarkan dua ciri: ion kalsium melekat pada molekul protein ATAU ikatan kalsium dengan atom oksigen pada sisa glutamate dan aspartat untuk membentuk protein berfungsi.

Di peringkat selular, protein tidak mengandungi kalsium.

Kehadiran kalsium ke dalam molekul protein ini akan mengubah bentuk dan mengaktifkan ciri dan fungsi protein tersebut. Keperluan protein terhadap kalsium adalah begitu kuat dengan memperuntukkan ruangan khas sebesar saiz sel untuk dimasuki kalsium.

Selepas diaktifkan, protein tersebut akan menjadi aktif untuk menggalakkan pelepasan kalsium yang tersimpan dalam sel lain, contohnya dalam sel otot.

Kalsium ialah unsur kelima paling banyak dijumpai dalam biosfera dan hadir dalam kepekatan yang tinggi dalam semua habitat di air dan di daratan.

Kalsium diambil dari tanah oleh akar pokok lalu menjadi tisu tumbuhan, yang kemudiannya dimakan oleh haiwan. Kelimpahan kandungannya ditunjukkan dalam rangka besar haiwan herbivor seperti gajah dan haiwan tenusu, dari kambing ke kerbau air.

Manusia dan primat lain dianggarkan memakan diet dengan kepadatan kalsium melebihi 80 mg/100 kcal.

Diet Berasaskan Kalsium

Kini, diet yang rendah kalsium adalah fenomena yang sering dilaporkan.

Pada zaman primitif, keadaan yang serupa terjadi apabila diet berasaskan makanan benih, misalnya, bijirin, kekacang dan buah-buahan diamalkan yang mempunyai kepadatan kalsium yang rendah.

Sebaliknya hari ini, lebih daripada 60% daripada jumlah pengambilan tenaga semua manusia hidup di planet ini berasal dari tanaman benih, melainkan jika terdapat usaha sendiri untuk mengambil diet yang mengandungi komponen tenusu besar, bagi mengelakkan kes kekurangan kalsium dalam sistem tubuh.

Walaupun revolusi pertanian (yang menanam tanaman makanan benih) berlaku kira-kira 10,000 tahun yang lalu, pelbagai faktor terutamanya amalan pengeluaran makanan telah menggalakkan pengambilan kalsium pada tahap yang tinggi sehingga zaman logam (1000 SM di Timur Tengah dan 1500 AD di hemisfera Barat).

Ringkasnya, di zaman moden ini, fisiologi permakanan kita adalah seperti di zaman paleolitik!

Pengambilan Kalsium Berdasarkan Etnik Utama Dunia

Rajah contoh tiga etnik utama dunia, dari kiri, berkulit hitam (Black), oriental dan kaukasian Sumber: news.brown.edu

 Adalah tidak menghairankan bahawa osteoporosis (masalah tulang) ialah perkara lazim yang berlaku dalam populasi manusia.

Ini adalah pemerhatian biasa bahawa wanita kaukasian (berkulit putih) berusia seawal 50 tahun di Eropah dan Amerika Utara mempunyai sekurang-kurangnya peluang 50% untuk mengalami patah tulang akibat osteoporosis. Masalah ini tidak semestinya terhad kepada golongan wanita kaukasian.

Lelaki kaukasian di Amerika Syarikat mempunyai risiko berdasarkan umur (38%) untuk mengalami patah tulang femoral atas (tulang peha atas) berbanding dengan wanita kaukasian.

Wanita Afrika-Amerika turut mempunyai risiko yang lebih kurang sama (36%), manakala lelaki Afrika-Amerika mempunyai risiko yang paling rendah (20%).

Statistik kecederaan tulang pinggul mungkin lebih tepat berbanding dengan keretakan pada tulang lain, maka gejala tersebut biasanya digunakan sebagai tanda penyakit osteoporosis.

Walau bagaimanapun, gejala ini tidak boleh digunakan untuk membuat perbandingan pengambilan kalsium antara kaum, kerana risiko patah tulang pinggul sangat berkaitan bukan hanya pada jisim tulang di pinggul, tetapi pada ciri anatomi tulang itu sendiri seperti panjang paksi pinggul, sudut pinggul, padding tisu lembut di pinggul, dan indeks jisim badan (BMI), yang mana adalah berbeza antara tiga etnik utama dunia iaitu Hitam (Black), Oriental dan Kaukasian.

Pada masa dahulu, etnik oriental, yang boleh dicirikan dengan penempatan di Asia, mengalami kurang osteoporosis berbanding orang kulit putih, walaupun pengambilan kalsium yang lebih rendah.

Hujah ini mendorong kepada pernyataan kalsium tidak boleh menjadi punca penting untuk kesihatan tulang. Hujah ini telah disangkal dengan mengaitkan risiko kepatahan tulang yang lebih rendah dalam kalangan etnik oriental kerana mempunyai rangka tubuh dan geometri tulang yang lebih kecil.

Selanjutnya, pengambilan kalsium, apabila dilaraskan kepada jisim badan oriental yang sering lebih rendah, secara amnya mencatatkan kandungan kalsium tinggi atau lebih tinggi daripada etnik kaukasian Amerika Utara.

Kecekapan penyerapan kalsium dari pengambilan mereka juga adalah setanding dengan etnik lain menggunakan kaedah yang sama.

Lau dan rakan-rakannya, dalam beberapa kajian, telah mengenal pasti pengambilan kalsium rendah sebagai satu daripada dua faktor risiko utama untuk patah tulang pinggul masyarakat Cina di Hong Kong.

Mereka membuat kesimpulan bahawa pengambilan kalsium yang rendah merupakan ancaman kesihatan awam yang utama bagi penduduk di situ.

Satu kajian di Amerika Utara pula membandingkan jisim tulang lengan 192 wanita berkulit hitam dan 782 wanita berkulit putih dan kaitan dengan pengambilan kalsium oleh setiap individu.

Hasilnya, kebanyakan atau kedua-dua kumpulan tersebut mempunyai pengambilan kalsium di bawah keperluan minimum masing-masing dan perlu ditingkatkan.

Sebahagian besar kajian terhadap kesan pengambilan kalsium terhadap kualiti tulang dilakukan di Afrika Selatan dan Gambia, di mana kekurangan zat makanan pada peringkat global ini telah merumitkan tafsiran kajian pengambilan kalsium.

Kesimpulan

Berdasarkan kajian yang telah dijalankan juga, walaupun masih belum dapat menyimpulkan kaitan antara pengambilan kalsium dengan kes osteoporosis dalam kalangan etnik kaukasian dan oriental, etnik kulit hitam dilaporkan berhadapan dengan risiko kesihatan yang lebih teruk seperti masalah buang pinggang dan strok sekiranya pengambilan kalsium yang mencukupi diabaikan.

Rujukan

  1. Evenson, A. L., & Sanders, G. F. (2016). Educational intervention impact on osteoporosis knowledge, health beliefs, self-efficacy, dietary calcium, and vitamin D intakes in young adults. Orthopaedic Nursing, 35(1), 30-36.
  2. Heaney, R. P. (2002). Ethnicity, bone status, and the calcium requirement. Nutrition Research, 22(1-2), 153-178.
  3. https://www.medicalnewstoday.com/articles/300219.php#1
  4. https://news.brown.edu/articles/2009/01/race
  5. Qin, B., Xu, B., Ji, N., Yao, S., Pawlish, K., Llanos, A. A., & Bandera, E. V. (2019). Intake of vitamin D and calcium, sun exposure, and risk of breast cancer subtypes among black women. The American Journal of Clinical Nutrition.
  6. Rasch, L. A., de van der Schueren, M. A. E., van Tuyl, L. H. D., Bultink, I. E. M., de Vries, J. H. M., & Lems, W. F. (2017). Content validity of a short calcium intake list to estimate daily dietary calcium intake of patients with osteoporosis. Calcified tissue international, 100(3), 271-277.
  7. Rosen, H. N., Rosen, C. J., Schmader, K. E., & Mulder, J. E. (2017). Calcium and vitamin D supplementation in osteoporosis. Up To Date.

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.