Pada awal-awal kehamilan, pasti anda akan membuat ultrasound untuk melihat janin di dalam rahim, bukan. Kemudian, gambar janin tersebut akan disimpan untuk dibuat kenangan. Ultrasound banyak memberi manfaat kepada anda dan bayi kerana doktor boleh mengesahkan kesihatan janin.

Ultrasound ini juga penting bagi setiap ibu hamil untuk melihat keadaan janin diawal kehamilan. Apakah kepentingan ultrasound di awal kehamilan?

Mari kami kongsikan info sebenar kepentingan ultrasound di awal kehamilan trimester pertama. Info ini dikongsikan oleh klinik Dr Asmah. Klinik Dr. Asmah terletak di Sungai Petani, Kedah. Ia menawarkan pelbagai ‘service’ terutama sekali bagi wanita yang hamil. Ia juga menawarkan ‘service’ untuk pesakit biasa seperti kencing manis, darah tinggi, demam panas dan lain-lain lagi.

5 Kepentingan ultrasound di awal trimester pertama

kepentingan ultrasound

Imej via Facebook

1 – Menentukan bilangan janin

Pertama sekali, doktor perlu tahu adakah janin itu hanya satu, atau kembar. Jika hamil kembar, doktor ingin tahu kembar jenis apa. Adakah kembar seiras, atau kembar tidak seiras? Kembar seiras biasanya ada satu uri. Kembar yang berkongsi uri boleh mendapat kerumitan lain di tengah dan hujung kehamilan.

2 – Menentukan hidup mati janin

Tempoh awal kehamilan ialah tempoh kritikal untuk hayat janin. Ada janin yang lemah atau bermasalah akan mati awal-awal lagi tanpa disedari oleh ibu yang mengandung. Kebanyakan janin yang mati akan mengakibatkan ‘turun darah’ tetapi ada yang mati tanpa ada tanda (baru mati). Janin yang hidup akan mempunyai degupan jantung dan boleh dilihat bergerak-gerak walaupun si ibu belum merasa apa-apa tendangan.

3- Menentukan usia atau tarikh jangka lahir

Usia janin boleh ditentukan dengan mengukur panjang kepala-ke-punggung (crown-rump length/CRL) dan dari usia janin, doktor boleh menghitung bila janin akan matang dan boleh lahir. Penentuan usia janin pada tempoh ini dikira paling tepat kerana janin masih bergantung kepada nutrien dalam ‘yolk sac’ dan belum terdedah kepada faktor-faktor lain yang boleh ‘memperbesar’ atau ‘mengecilkan’ janin (cth: pemakanan ibu, keadaan kesihatan ibu, komplikasi uri dsb).

Penentuan usia janin juga boleh menentukan bila tarikh haid akhir yang sebenar. Ada wanita yang haidnya tidak teratur dan memberikan tarikh yang tidak tepat. Tarikh yang tidak tepat menyebabkan kiraan tarikh bersalin menjadi salah. Dengan membuat kiraan usia janin menerusi ukuran CRL, tarikh lahir yang tepat boleh didapati dan dibandingkan dengan tarikh haid akhir yang diberi.

4 – Mengesan penyakit rahim atau ovari

Mencari apa-apa penyakit lain pada rahim dan anggota kelamin seperti fibroid, sista ovari, hamil ‘molar’ (molar pregnancy) dan sebagainya. Ada wanita yang tidak tahu kewujudan fibroid dalam rahimnya, dan jika fibroid itu besar, ia boleh mengganggu proses kelahiran kelak. Ada juga wanita yang mengandungkan ‘mole’. Jika wanita itu hamil ‘molar’, gejala kehamilan adalah sama (rasa loya) tetapi hakikatnya tiada janin pun di dalam rahim. ‘Mole’ ialah hasil persenyawaan yang tidak menjadi dan berisiko menjadi kanser (choriocarcinoma).

5- Mengesan kedudukan ovari

Walaupun masih awal, ada doktor yang menggunakan kesempatan ini untuk mengetahui kedudukan uri. Uri boleh melekap pada dinding belakang, dinding depan atau dinding atas/bumbung rahim. Yang paling ditakuti ialah kedudukan uri rendah. Tetapi diagnosis uri rendah biasanya diberi lewat dalam tempoh hamil (trimester 2 atau 3).

*Berikut adalah kepentingan-kepentingan ultrasound dibuat pada awal trimester pertama. Ultrasound ini boleh dibuat di hospital atau klinik pakar puan. Jangan bimbang ia tidak memberi apa-apa kesan negatif kepada si bayi atau ibu. Semoga info ini memberi manfaat kepada anda dan orang-orang tersayang.

Artikel ini diberi kebenaran sepenuhnya oleh penulis. Baca artikel asal di sini.

Penulis: aqirah

Seorang yang rajin dan gemar untuk kongsikan sesuatu yang bermanfaat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.