Perkataan selawat berasal dari bahasa Arab (الصلوات)‎, diambil dari perkataan solat (الصلاة‎) yang bererti doa atau pujian. da juga yang mengatakan ia bererti taufik dari Allah Ta’ala untuk mengeluarkan hamba-Nya dari kegelapan (kesesatan) menuju cahaya (petunjuk-Nya), sebagaimana dalam firman-Nya:

هُوَ الَّذِي يُصَلِّي عَلَيْكُمْ وَمَلائِكَتُهُ لِيُخْرِجَكُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ وَكَانَ بِالْمُؤْمِنِينَ رَحِيمًا

Maksudnya: Dialah yang berselawat kepadamu (wahai manusia) dan malaikat-Nya (dengan memohonkan keampunan untukmu), supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman. (Surah al-Ahzab:43).

Muhammad saw

Imej via tabloidhikmah

Hukum Berselawat

Para ulama’ telah sepakat menetapkan hukum berselawat kepada Nabi Muhammad SAW adalah wajib pada keseluruhannya, tetapi mereka tidak sepakat (ijma’) tentang bilakah masa wajib berselawat dan berapakah bilangannya. Antaranya hukum berselawat yang menjadi wajib adalah:

  1. Berselawat dalam bacaan solat.
  2. Membaca Tasyahud (tahiyyat).
  3. Membaca Tasyahud kedua/tahiyyat akhir.
  4. Setiap kali menyebut, mendengar atau menulis nama Nabi Muhammad SAW, ganti namanya atau pangkat kerasulan dan kenabian Baginda saw.

Dalam semua perintah mengerjakan ibadat, Allah swt menyuruh hambaNya berselawat. Sebagaimana dalam firman Allah di atas tadi, Allah sendiri memulakan selawat ke atas Nabi, diikuti malaikat kemudian dianjurkan kepada Muslimin mengamalkannya. Ini bermakna membaca selawat adalah perkara yang penting dalam Islam.

 

Kepentingan Berselawat

Walaupun ungkapan selawat itu adalah sebagai tanda puji-pujian buat junjungan besar Nabi Muhammad saw serta keluarga Baginda, namun berkat dari amalan ini, banyak kebaikan yang diperoleh oleh orang yang membaca selawat itu sendiri.

Antara kepentingan berselawat adalah:

1) Perintah Allah swt

اِنَّ اللّٰهَ وَمَلٰٓـئِكَتَه يُصَلُّوۡنَ عَلَى النَّبِىِّ يٰۤـاَيُّهَا الَّذِيۡنَ اٰمَنُوۡا صَلُّوۡا عَلَيۡهِ وَسَلِّمُوۡا تَسۡلِيۡمًا‏

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah S.W.T. dan para Malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Maka, wahai mereka yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya dengan sebaik selawat dan salam.” (Surah al-Ahzab:56)

Sedangkan Allah dan para malaikatNya juga sentiasa berselawat untuk melahirkan rasa hormat dan kasih sayang kepada Rasulullah saw, inikan pula kita sebagai hamba Allah yang serba daif ini. Selaku ummat Nabi Muhammad saw, kita seharusnya sentiasa berselawat ke atas Nabi sebagai lambang kecintaan kepada Baginda.

 

2) Diampunkan Dosa Dan Ditinggikan Darjat Di Syurga

Dari Anas bin Malik ra, beliau berkata bahawa Rasulullah saw bersabda,

مَن صلَّى عليَّ صلاةً واحدةً، صَلى اللهُ عليه عَشْرَ صَلَوَاتٍ، وحُطَّتْ عنه عَشْرُ خَطيئاتٍ ورُفِعَتْ له عَشْرُ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).” (HR An-Nasa’i)

Selaku hamba yang penuh kekurangan, kita semestinya tidak pernah lepas daripada melakukan dosa. Selain bertaubat atas dosa-dosa yang dilakukan, selawat juga dapat menggugurkan dosa kita. InsyaAllah

 

3) Terhindar Daripada Dukacita

Ubai bin Ka’ab, r.a. berkata,

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي أُكْثِرُ الصَّلَاةَ عَلَيْكَ فَكَمْ أَجْعَلُ لَكَ مِنْ صَلَاتِي قَالَ مَا شِئْتَ قُلْتُ الرُّبُعَ قَالَ مَا شِئْتَ وإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ قُلْتُ فالنِّصْفَ قَالَ مَا شِئْتَ وَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ قَالَ قُلْتُ فَالثُّلُثَيْنِ قَالَ مَا شِئْتَ وَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ قُلْتُ أَجْعَلُ لَكَ صَلَاتِي كُلَّهَا قَالَ إِذن تُكْفَى هَمَّكَ وَيُغْفَرُ لَكَ ذَنْبُكَ

Maksudnnya: “Ya Rasulullah! Aku banyak menggunakan masa berdoa, memohon rahmat untuk diriku, sekarang aku hendak untukkan masa berselawat bagi tuan maka sebanyak mana yang elok aku untukkan?” Baginda s.a.w., menjawab: “Sekadar mana yang engkau suka”; Aku berkata: “Aku hendak untukkan sesuku dari masaku”; Baginda s.a.w., bersabda: “Sekadar mana yang engkau suka, dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu”;

Aku berkata: “Kalau begitu aku untukkan setengah dari masaku” Baginda s.a.w bersabda: “Suka hatimulah dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu”; Aku berkata: “Kalau demikian, aku untukkan dua pertiga dari masaku” Baginda s.a.w., bersabda: “Suka hatimulah, dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu”;

Aku berkata: “(Kalau begitu) aku jadikan masa berdoaku semuanya untuk berselawat kepada tuan”; Baginda s.a.w., bersabda: “Jika demikian, terpeliharalah dan terselamatlah engkau dari apa yang mendukacitakan dan membimbangkanmu, sama ada perkara dunia mahu pun perkara akhirat dan diampunkan dosamu…” (HR Imam Ahmad & at-Tirmizi)

Selawat adalah salah satu jaminan agar kita terpelihara dan terselamat daripada segala kebimbangan dan dukacita tentang dunia dan akhirat.

 

4) Allah Membalas Selawat HambaNya

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda,

منْ صَلَّى عَلَيَّ وَاحِدَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بها عَشْرًا

Maksudnya: “Sesiapa berselawat kepadaku sekali selawat, maka Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali.” (HR Muslim)

Sebagai manusia biasa, kita selalu mengharapkan agar alim ulama dan ahli ibadah agar mendoakan kesejahteraan kita. Kita selalu inginkan doa orang yang soleh buat kita. Tetapi, apabila kita berselawat ke atas Nabi Muhammad saw, Allan akan berselawat kepada kita sepuluh kali. Pastilah selaku manusia yang daif, puji-pujian dari Allah swt itu sesuatu yang didamba.

 

5) Rasulullah Membalas Ucapan Salam

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda;

ما من أحد يسلم علي الا رد الله عز و جل إلي روحي حتى أرد عليه السلام

Maksudnya: “Tiada seseorang pun yang memberikan salam kepadaku (setelah kewafatanku), melainkan Allah mengembalikan rohku sehinggalah aku dapat menjawab salam orang itu.” (HR Abu Daud dan Ahmad)

Selawat merupakan cara istimewa buat umat Nabi Muhammad untuk menyampaikan salam dan doa kepada Baginda. Setiap selawat akan dikirimkan kepada Rasulullah melalui malaikat. Rasulullah pula membalas ucapan salam tersebut.

 

6) Mendapat Syafaat Nabi Saw Di Akhirat

Dari Ibn Mas’ud ra, bahawa Nabi saw bersabda,

أَوْلَى النَّاسِ بِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَكْثَرُهُمْ عَلَيَّ صَلَاةً

Maksudnya: “Orang yang lebih berhak mendapat syafaatku pada hari qiamat ialah orang yang lebih banyak selawatnya kepadaku.” (HR at-Tirmizi)

Kehidupan kita di dunia ini hanya sementara, Akhirat adalah pengakhiran dan tujuan hidup kita. Di Akhirat nanti, hanya redha Allah serta amalan soleh di dunia yang boleh kita harapkan untuk meraih syurga Allah. Namun, dengan amalan berselawat, Nabi Muhammad saw turut memberi syafaatnya kepada umatnya yang banyak selawat kepadanya.

 

7) Mendapat Tempat Yang Dekat Dengan Nabi saw

Dari Anas ra, bahawa Nabi saw bersabda,

إِنَّ أَقْرَبَكُمْ مِنِّي يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِي كُلِّ مَوْطِنٍ أَكْثَرُكُمْ عَلَيَّ صَلَاةً فِي الدُّنْيَا

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang lebih hampir kepadaku dari kalangan kamu pada ban qiamat pada setiap tempat yang aku berada padanya ialah orang yang lebih banyak selawatnya kepadaku di dunia” (HR al-Baihaqi)

Mudah-mudahan dengan amalan selawat yang kita amalkan di dunia ini dapat menjadi asbab agar Baginda sentiasa dekat dengan kita di akhirat nanti. Harapan agar Nabi Muhammad saw dapat selamatkan kita dari azab neraka asbab amalan selawat ini. Amiiin

 

Kesimpulan

cinta rasul

Imej via pintuislami

Amalan selawat sangat mudah untuk diamalkan, malah setiap masa dan ketika kitab oleh berselawat kepada Nabi Muhammad saw. Lafaz bacaan selawat yang paling ringkas menurut dalil-dalil yang sahih adalah:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Maksudnya: Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.

Mudah-mudahan amalan selawat ini dapat membuahkan rasa cinta dan kasih kita kepada junjungan besar Nabi Muhammad saw. Secara tidak langsung, menjadi motivasi kepada kita untuk menjadi hamba Allah yang soleh serta mengamalkan serta menghidupkan sunnah Nabi dalam rutin harian kita.

 

Rujukan:

  1. Islam
  2. Abu Anas
  3.  Sirap Limau

 

Penulis: Aniuna

Avatar

Seorang yang ingin memanfaatkan teknologi digital untuk berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat.

    Tinggalkan Komen!


    Langgan Info Kami

    Berkaitan


    .