Suatu ketika, TIAF didatangi oleh satu keluarga yang terdiri daripada sepasang suami isteri yang membawa serta ibubapa mereka, termasuk anak-anak kecil.

Seperti biasa, kehadiran mereka bertujuan untuk diagnos dan mendapatkan khidmat rundingcara berkaitan dengan masalah yang mereka hadapi.

Wanita belajar

Wanita adalah antara tonggak utama keluarga. [UKM]

Setelah selesai sesi Diagnos, sang faqir mula disoal oleh ibu kepada pasangan suami isteri ini, yang sang faqir panggil Makcik K. Gaya Makcik K ini tidak ubah seperti gaya seniwati Mariani, dengan gaya bercakap, berjalan dan memandang orang. Dan kelihatan dirinya lebih dominan berbanding suaminya yang pendiam. Makcik K mula menyoal sang faqir.

Makcik K : Ustaz umur berapa sekarang?

Sang faqir : (Memaklumkan umur)

Makcik K : Ooo muda lagi. Dah ada anak?

Sang faqir : AlhamduLILLAH, sudah, insyaALLAH Januari tahun depan (2015) nak masuk 4 orang.

Makcik K : Boleh tahan. Nie mesti kahwin muda nie. Orang rumah umur berapa?

Sang faqir : (Memaklumkan umur)

Makcik K : Muda lagi. Rugi je masa, masa muda nielah nak kerja besar, cari duit. Belajar sampai peringkat mana? Kerja apa dia (merujuk kepada isteri sang faqir)? (Makcik K dicuit oleh anak
perempuannya)

Sang faqir : (Dalam hati, sabo je la) AlhamduLILLAH makcik, isteri saya berjawatan besar sekarang, besar dari saya. Kalau ikutkan gaji, memang tak terjangkaulah dengan gaji saya.

Makcik K : (Terbuka luas mata) Bagus tu, kerja apa tu? Kalau ikut umur dia, sebaya dengan anak makcik yang tengah sambung belajar sekarang.

Sang faqir : Kerja dia memang saya pun tak mampu nak buat. Memang tak terdaya, sebab tu gaji dia tak terjangkau banding dengan gaji saya.

Makcik K : Company mana dia kerja? (Anak dan menantu Makcik K mula menunjukkan keadaan yang tidak senang dengan situasi ibu mereka).

Sang faqir : Company pun besar makcik, kena urus macam-macam.

Makcik K : Bagus tu, muda-muda dah gaji besar, kerja company besar. Kat mana tu? Kot-kot satu company dengan anak makcik.

Sang faqir : Company Baitiy Jannatiy.

Makcik K : Tak pernah dengar pun, kat mana tu? Melaka juga ke?

Sang faqir : Yer, di Melaka je.

Makcik K : Dekat ke tempat kerja dia dengan rumah?

Sang faqir : Dekat sangat, dalam rumah je pun. (Anak dan menantu Makcik K tergelak, suaminya yang dari tadi diam tanpa reaksi, turut tersenyum)

Makcik K : Laa, duk rumah saja. Kenapa dia tak keluar bekerja, kan sekarang bagus kalau orang perempuan bekerjaya. Tengok macam anak saya nie, (menunjukkan kepada anaknya) kerja pensyarah, yang no 3 kerja di petronas. Zaman dah berubah, orang perempuan kena keluar bekerja.

Sang faqir : (Sambil senyum ‘cool’, walaupun dalam hati ALLAH saja yang tahu) Beginilah makcik, memang saya tidak galakkan dia bekerja, walaupun tahap pengajian dia memang bagus dan tinggi. Nak tanya anak makcik yang sebaya isteri saya sekarang, masih belajar, dia ambil pinjaman atau bayar sendiri?

Makcik K : Ooo yang tu, dia ambil PTPTN. (waktu ini terbayang iklan, PTPTN kan adoo)

Sang faqir : Ok, buat pengetahuan makcik, isteri saya dapat pinjaman MARA dulu, habis pengajian dia, pinjaman tu dia tak perlu bayar, bertukar jadi biasiswa. Makcik faham tak maksudnya?

Makcik K : Hmm, tak berapa faham.

Sang faqir : Maksudnya, dia tak perlu bayar semula pinjaman yang dibuat semasa belajar dulu, pasal pencapaian CGPA dia. Mudahnya makcik, dia cemerlang.

Makcik K : Haa, habis tu mesti boleh dapat kerja besar kan? Kenapa tak pergi kerja je (Makcik K tidak puas hati)

Sang faqir : Pasal dia belajar tinggi-tingi semata-mata untuk jaga makan minum suami dan jaga pendidikan anak-anak.

Makcik K : Saya tak setuju tu, buat apa buang masa lama-lama kat U kalau setakat duduk rumah jaga suami dengan anak? Kan ke buang masa tu.

Sang faqir : Makcik, saya pinjam ayat makcik semula, zaman dah berubah. Itulah hakikatnya. Zaman sekarang, sudah tiba masanya kembali kepada asalnya, iaitu tempat orang perempuan di rumah. Maksudnya kepentingan utama orang perempuan di rumah. Belajar tinggi-tinggi tu, tak lain dan bukan semata-mata untuk jadi cikgu, pensyarah, ustazah, professor, doctor, chef dan jurutera kepada anak-anak di rumah.

Sebab itu saya bagitahu, gaji saya tidak terjangkau dengan gaji dia, memang saya tak mampu bayar semua tu, pasal tinggi. Tapi lebih tinggi makcik, ialah dia tak pernah minta balasan untuk semua tu, itulah gaji yang saya tak mampu langsung untuk bayar.

Makcik K : ( Makcik K terdiam dan hanya menjawab pendek) Dah macam tu, nak buat macam mana, itu dah pilihan dia.

Sang faqir : Dan disebabkan pilihan itulah makcik, saya tidak pernah rasa malu isteri saya tidak bekerja, malahan lebih bangga, kerana anak-anak saya bersama-sama JAMINAN masa depan mereka. Jadi, kalau orang tanya saya, kenapa belajar tinggi-tinggi kalau semata-mata hendak duduk di rumah sahaja? Jawab saya mudah makcik, zaman sudah berubah.

Dari dulu kaum ibu jadi tonggak dalam keluarga, tulang belakang untuk suami, maka samalah juga sekarang nie. Tapi tak bermaksud yang bekerja tu, tak layan keluarga dengan baik, boleh jadi mereka ada tanggungan besar, itu sudah ketentuan hidup.

Sebab itu, saya tidak pernah bimbang anak-anak saya tidak ke sekolah, pasal saya yakin dan tahu, anak-anak saya ada cikgu, prof, doctor dan pensyarah yang terbaik bersama mereka.

******************************************************************************

Makcik K terdiam, ahli keluarga lain khusyuk mendengar bebelan demi bebelan sang faqir. Berbetulan azan Asar sudah berkumandang, maka mereka meminta diri untuk pulang. Makcik K kelihatan seperti tidak puas hati. Anak dan menantu Makcik K memohon maaf pada sang faqir kerana kelakuan ibu mereka.

Bagi sang faqir, ianya tiada masalah dan sudah menjadi lali, itu belum makcik-makcik yang ‘kepoh’ di kampung, jadi pertanyaan dan pandangan Makcik K sudah menjadi nasi dan lauk sang faqir hadapi.

Sekadar perkongsian kepada yang masih beranggapan bahawa tugas seorang Ibu di rumah hanya sekadar memasak, membasuh baju dan melipat baju. Walaupun pada hakikatnya, sang faqir tidak pernah membenarkan isteri tersayang membasuh dan menjemur pakaian sejak dari awal perkahwinan, kerana itu sudah menjadi tugas sang faqir.

Jadi, wahai sekalian suri rumah, berbanggalah kalian dengan ‘pekerjaan’ kalian, kerana tidak semua yang mampu menanggung pekerjaan seperti kalian. Wahai suami kepada suri rumah, berbanggalah dengan isteri kalian, kerana mereka bekerja tanpa gaji, malahan tanpa meminta gaji.

Hakikatnya kalian tidak akan mampu membayar gaji mereka, walaupun dengan sekalung rantai berlian Habib Jewels atau sepasang gelang wah chan setiap bulan.

Penulis: Wan Asrul Al-Kalantani

Wan Asrul Al-Kalantani

Wan Asrul Al-Kalatani merupakan salah seorang hamba Allah yang banyak memberi tips kekeluargaan dari sudut Islamik. Beliau boleh dihubungi di Facebooknya.

    Tinggalkan Komen!


    Langgan Info Kami

    Berkaitan


    .