AISYAH – seindah namanya, begitu jugalah indah perilakunya.Betapa beruntungnya Saidatina Aisyah kerana telah berjaya menambat hati jejaka terhebat seperti Nabi Muhammad SAW. Malah betapa bertuahnya juga Saidatina Aisyah ini kerana dapat menjadi salah seorang isteri kesayangan Baginda.

sumber : Bidadari.my

Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda yang bermaksud; “Kelebihan Aisyah ke atas wanita lain adalah seperti lebihnya ats-Tsarid (sejenis makanan yang lebih banyak manfaat dan disukai Baginda s.a.w) berbanding makanan yang lain.” – Hadis Riwayat Bukhari

Nama Aisyah Sentiasa Meniti Di Bibir Nabi Dan Para Sahabat

Rasulullah SAW sering kali memuji Aisyah. Malah Aisyah atau nama sebenarnya Saidatina Aisyah binti Abu Bakar ini turut mempunyai pelbagai kisah dengan Baginda. Dengan Aisyah juga dapat dilihat betapa mesra dan agungnya kisah cinta Nabi dan Aisyah yang amat mendalam.

sumber : Bidadari.my

Saidatina Aisyah r.a lahir di Mekah al-Mukarramah. Ya Saidatina Aisyah lahir di Mekkah yakni sebuah tempat yang penuh dengan keberkatan.
Tidak hanya itu, Saidatina Aisyah juga merupakan puteri kesayangan kepada Abu Bakar as-Siddiq yang tiada tolak bandingnya.

Aisyah adalah seorang wanita berparas cantik yang berkulit putih. Atas sebab inilah Aisyah sering dipanggil dengan panggilan “Humaira” yang bermaksud putih kemerah-merahan. Selain cantik, Aisyah juga sangat dikenali sebagai seorang wanita yang cerdas dan pintar.

Diri Saidatina Aisyah r.a sering dipuji dan diingati atas segala jasanya yang amat besar terhadap umat Islam. Saidatina Aisyah merupakan salah seorang Ummul Mukminin, isteri Nabi SAW dan Saidatina Aisyah ini juga sememangnya adalah salah seorang tokoh wanita Muslimah yang patut dikagumi dan dihormati dari dulu sehingga kini.

Inilah 10 Kelebihan Saidatina Aisyah Yang Yang Tiada Pada Wanita Lain

Anda pasti tertanya-tanya apakah sebenarnya kelebihan Saidatina Aisyah ini sehinggakan beliau sangat disayangi oleh Nabi dan para umat Islam yang lain? Mengapa nama beliau terus harum sehingga ke zaman ini? Berikut dikongsikan beberapa fakta menarik dan kelebihan istimewa berkaitan keperibadian Saidatina Aisyah sebagai seorang srikandi Islam yang ulung ini.

sumber : Pena Merah

#1 – Latarbelakang Keluarga Yang Kuat Agama

Kelahiran Saidatina Aisyah sebagai puteri kepada Abu Bakar as-Siddiq sudah cukup menaikkan martabatnya. Ibu Saidatina Aisyah r.a yang bernama Ummu Ruman binti ‘Amir pula merupakan seorang isteri yang mulia, ibu yang baik dan bijak. Saidatina Aisyah r.a mempunyai saudara lelaki bernama Abdul Rahman bin Abu Bakar dan saudara perempuan bernama Asma’ yang mendapat gelaran Zatu an-Nithaqain (wanita dengan dua tali).

Mereka sekeluarga amat berpegang kuat dengan ajaran Islam sehingga sanggup untuk memperjuangkan agama Islam bersama Nabi. Nama Saidatina Aisyah r.a yang datang dari keluarga yang hebat menjadi semakin gah apabila disunting sebagai isteri Nabi Muhammad SAW.

#2 – Mempunyai Tahap Keilmuan Yang Tinggi

Saidatina Aisyah r.a tidak hanya mempunyai akhlak yang baik malah beliau juga merupakan seorang wanita yang sangat bijak dengan tahap ilmu yang tinggi. Saidatina Aisyah r.a turut dikenali sebagai wanita yang mempunyai pengetahuan tinggi dengan ilmu fekah, faraid, tafsir dan juga hadis.

Bahkan, Urwah bin az-Zubir pernah mengatakan; “Tiada seorang yang lebih alim tentang halal dan haram, ilmu, syair dan perubatan melainkan Aisyah Ummul Mukminin.”

#3 – Perkahwinan Yang Diberkati Oleh Semua

Aisyah dilamar oleh Rasulullah SAW ketika usianya masih muda dan majlis perkahwinannya berlangsung pada bulan Syawal, tahun kedua Hijrah. Rasulullah SAW tidak berkahwin dengan gadis kecuali hanya dengan Saidatina Aisyah ra seorang.

Perkahwinan ini juga adalah kerana wahyu daripada Allah SWT terhadap Rasulullah SAW. Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda kepada Aisyah;

“Aku bermimpi melihatmu selama tiga hari berturut-turut. Malaikat datang kepadaku dengan membawa gambaranmu di dalam balutan sehelai kain sutera. Malaikat berkata, ‘Inilah gambaran isterimu.’ Aku pun membuka kain sutera yang menutupi wajahmu itu, ternyata itu adalah engkau. Maka, aku katakan, ‘Jika memang ini daripada Allah, nescaya Allah melaksanakannya’.” Hadis Riwayat Muslim

#4 – Isteri Antara Isteri Yang Paling Utama Di sisi Rasulullah S.A.W

Selain Khadijah isteri pertama Nabi yang tercinta, Aisyah r.a adalah isteri yang paling utama di sisi Rasulullah s.a.w. Khadijah dan Aisyah merupakan antara dua orang isteri paling di sayangi Nabi dan kedua-duanya sama-sama mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri.

#5 – Turut Menjadi Pembantu Peribadi Kepada Rasulullah S.A.W

Selain menjadi seorang isteri kepada seorang Rasulullah SAW, Saidatina Aisyah ra juga turut memainkan peranan sebagai pembantu peribadi Baginda dalam urusan menyebarkan risalah Allah SWT.

#6 – Mendapat Tunjuk Ajar dan Didikan Secara Terus Daripada Rasulullah S.A.W

Kelebihan setelah menjadi isteri Nabi, Saidatina Aisyah ra telah berpeluang untuk mempelajari tentang adab, akhlak dan ilmu-ilmu lain secara terus daripada Rasulullah SAW sendiri.

#7 – Menjadi Periwayat Hadis Rasulullah S.A.W

Peranan Saidatina Aisyah ra sebagai isteri telah membuatkan beliau banyak bersama Rasullullah SAW sepanjang hayatnya. Maka peluang ini digunakan oleh Saidatina Aisyah r.a untuk meriwayatkan hadis daripada Rasulullah SAW untuk rujukan pada umat Islam yang lain.

#8 – Menjadi Tempat Rujukan Para Sahabat Nabi S.A.W

Abu Musa al-Asy’ari pernah berkata; “Tidaklah terjadi satu kemusykilan ke atas kami sahabat-sahabat Nabi s.a.w pada suatu hadis, maka kami bertanya tentangnya kepada Aisyah r.a, melainkan kami akan mendapat daripada Aisyah ilmu tentangnya.”

#9 – Wahyu Turun Ketika Bersama Aisyah

Tidak ada wahyu yang turun kepada Rasulullah s.a.w ketika Baginda berselimut dengan wanita, melainkan hanya dengan Aisyah r.a. Baginda bersabda kepada Ummu Salamah;

“Jangan sakiti aku dengan mengusiknya (kerana menyakitinya sama seperti menyakitiku). Sesungguhnya, wahyu tidak datang kepadaku sewaktu aku berada di bawah satu selimut dengan seorang wanita pun dalam kalangan isteriku, kecuali ketika bersama Aisyah.” Hadis Riwayat Bukhari

#10 – Rasulullah S.A.W Wafat Di Sisi Aisyah

Kata Saidatina Aisyah r.a; “Rasulullah s.a.w wafat di rumahku pada hari dan malam giliranku. Kepalanya diletakkan di atas paru-paru dan bahagian atas dadaku.”

Bahkan sebelum wafat, Rasulullah s.a.w turut berkongsi kayu sugi yang telah digunakan oleh Saidatina Aisyah r.a, sehinggakan Aisyah berkata; “Segala puji bagi Allah yang telah menyatukan air liurku dengan air liur Baginda pada detik-detik terakhir kehidupan dunia Baginda.”

Teladanilah Aisyah Dengan Ikut Mencontohi Keperibadiannya

Keikhlasan hati Saidatina Aisyah ra terhadap suami tersayang telah menambahkan rasa cinta dan kasih Rasulullah SAW terhadapnya. Aisyah yang sentiasa menjaga keperibadian dan kehormatan membuatkan dirinya sentiasa disayangi Nabi disepanjang hayat Baginda.

Para wanita zaman ini sangat patut mencontohi keperibadian milik Saidatina Aisyah ra kerana beliau adalah salah seorang muslimah contoh yang terbaik untuk dijadikan panduan.

Sumber :

  1. Wikipedia Aisyah Abu Bakar

Penulis: Siti Awadah

Siti Awadah

Penulis bebas yang berkerjaya dari rumah. Fokus menulis dgn skill SEO dalam gaya santai untuk pelbagai topik seperti kesihatan, keibubapaan, perhubungan, kecantikkan, makanan, travel, Islamik dan sebagainya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.