“Ah, kena minum air gula?”

Bagi ibu hamil, dialog seperti ni dah cukup biasa. Dengar nama air gula je mereka seakan-akan fobia. Kenapa ibu hamil perlu minum air gula? Tak lain tak bukan untuk  diagnos kencing manis semasa hamil.

Semasa hamil, kadar glukos (gula) dalam darah bakal ibu akan sentiasa dipantau oleh doktor. Tujuannya jika terdapat tanda-tanda awal diabetes atau kadar gula yang tinggi dalam darah (pesakit sedia ada), langkah pencegahan boleh diambil.

Isu ni tak boleh dipandang ringan kerana wanita yang menghidapi diabetes semasa hamil berisiko mendapat komplikasi kesihatan jangka pendek dan jangka panjang. Ada si ibu yang memang pesakit diabetes sedia ada. Namun, ada pula yang menghidapi diabetes semasa hamil saja.

Dari aspek jangka pendek, ia boleh memberi kesan kepada bayi dalam kandungan dan selepas dilahirkan. Dari segi jangka panjang pula si ibu akan terus mendapat penyakit diabetes jika tak dikawal.

Apa Itu Diabetes?

Diabetes juga dikenali sebagai penyakit kencing manis. Ia terjadi apabila tubuh badan kita tak dapat kawal paras glukos dalam darah. Semua ibu hamil yang berisiko perlu menjalani ujian darah (MGTT) untuk mengesahkan tahap kesihatan mereka.

Terdapat 3 jenis diabetes iaitu Diabetes Jenis 1, Diabetes Jenis 2 dan Gestational Diabetes (diabetes semasa hamil).

Kesan Diabetes bagi Ibu dan Bayi

Wanita yang sedia ada mempunyai diabetes perlu mengawal paras gula dalam darah pada 3 bulan pertama kehamilan. Ini kerana mereka mudah mendapat komplikasi keguguran, masalah perkembangan bayi dan ada bayi meninggal selepas lahir.

Antara risiko-risiko bagi si ibu ialah:

  1. Air ketuban berlebihan (polihydramnios)
  2. Jangkitan bakteria di vagina yang kerap semasa hamil
  3. Paras glukos yang berlebihan atau kurang (hyper atau hypoglycaemia)
  4. Keguguran

Antara risiko-risiko bagi si bayi ialah:

  1. Pendarahan dalam otak
  2. Kelahiran pramatang
  3. Saiz melebihi 4 kilogram
  4. Demam kuning (jaundice)
  5. Mati dalam kandungan
  6. Lemas semasa lahir
  7. Bahu bayi tersekat semasa bersalin

Inilah penerangan umum tentang diabetes dan kesan-kesannya. Diharapkan para pembaca dah faham tentang bahaya diabetes semasa hamil.

Dalam artikel ni, penulis akan kongsikan cara-cara yang mujarab untuk kawal paras gula dalam darah bagi ibu hamil. Teruskan membaca ye!

Gantikan Nasi Dengan Beras Perang

Sememangnya nasi tak pernah bersalah. Yang bersalah hanyalah nafsu kita yang tak mampu dikawal. Tak dinafikan nasi ialah makanan ruji di Malaysia. Macam tak lengkap hidup ni kalau tak makan nasi.

Bagi ibu hamil yang nak elakkan paras gula menjadi tinggi, kurangkan makan nasi. Ambil nasi sehari saja, iaitu saiz segenggam tangan. Banyakkan makan sayur-sayuran dan makanan berserat tinggi seperti oats, roti mil penuh dan pasta mil.

Manakala, pesakit diabetes yang sedang hamil, boleh gantikan beras putih dengan beras perang. Berbanding beras putih, beras perang mempunyai tahap glisemik yang rendah. Oleh itu, kadar gula dalam darah dan pengeluaran insulin dapat dikawal.

Gantikan Stevia Sebagai Pemanis

Selain perlu minum air masak sebanyak 8 gelas setiap hari (bergantung pada berat badan), anda perlu kurangkan minum air manis. Sepanjang kehamilan dan selepas itu, elakkan minum air manis seperti teh tarik, air berkarbonat dan jus buah-buahan di dalam kotak.

Namun, ada sesetengah orang yang ada tabiat tak boleh tinggalkan kopi atau teh. Kadangkala, nak minum air tanpa gula macam tak lalu di tekak. Apa kata anda gantikan gula putih atau susu pekat kepada pemanis stevia.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), stevia ialah sejenis tumbuhan herba daripada keluarga Asteraceae. Daun stevia mengandungi pemanis tanpa kalori dan penggunaannya boleh beri kesan baik kepada kesihatan kita.

Komponen pemanis dalam stevia lebih tinggi daripada gula tebu iaitu 180 hingga 400 kali ganda. Justeru, stevia merupakan alternatif kepada gula terutamanya kepada pesakit diabetes dan mereka yang berdiet.

Dikatakan bahawa stevia tiada karbohidrat, lemak dan protein. Ia juga memberi kesan yang baik untuk mengurangkan paras gula dalam darah. Jadi, anda dah boleh tinggalkan gula dan menggantikannya kepada stevia.

Paksa Diri untuk Bersenam

Selain jaga pemakanan, senaman merupakan cara terbaik untuk pesakit diabetes. Apa kaitan senaman dengan paras gula dalam darah? Sudah tentu ada kaitan.

Apabila kita bergerak aktif dengan membuat senaman seperti zumba, joging, berenang dan sebagainya, sel-sel otot jadi lebih sensitif terhadap insulin. Anda tak perlu mendaftar sebagai ahli gim, cukuplah buat senaman ikut kemampuan.

Sebelum lakukan apa-apa senaman, dapatkan nasihat doktor dulu. Jangan terlalu memaksa diri untuk melakukan senaman. Mulakan dengan masa yang pendek, kemudian ditambah selepas dah biasa.

Yang paling penting, konsisten dalan melakukan senaman. Jika anda berbadan gemuk, senaman akan membantu anda turunkan berat badan dengan pantas. Wanita hamil juga boleh bersenam, namun pilih senaman ringan saja ye.

Jangan membahayakan diri dan bayi yang dikandung. Anda boleh buat brisk walk, squat dan sebagainya. Selain mengawal paras gula, nak bersalin normal pun mudah.

Ikut Nasihat Doktor

gula dalam darah
Imej via Bidadari

Jika doktor mendapati anda ialah pesakit diabetes dan dinasihatkan untuk makan ubat Metformin misalnya, patuhi arahan tu. Selain di klinik atau hospital, anda juga boleh periksa paras gula dalam darah melalui mesin monitor glukos darah di rumah. Alat tersebut boleh dibeli di farmasi dan pasar raya.

Pantau paras gula anda melalui beberapa ujian. Misalnya selepas berbuka puasa, selepas makan dan 2 jam selepas makan. Jika bacaan paras gula anda tak memberangsangkan, jangan tangguh-tangguh untuk berjumpa doktor.

Pengambilan Makanan Tambahan

Mengikut pakar sakit puan yang terkenal di Malaysia, Dr. Hamid Arshat, pengambilan makanan tambahan juga bagus untuk kawal gula dalam darah. Salah satunya ialah asid Alpha Lipoic.

Asid Alpha Lipoic ni merupakan sejenis antioksida yang dapat membantu metabolisme glukos, tingkatkan sensitiviti insulin dan cegah kerosakan saraf. Sumber utamanya ialah daripada sayur-sayuran seperti brokoli, tomato dan bayam.

Selain itu, ibu hamil digalakkan mengambil minyak ikan sebanyak 1000mg pada tiap hari. Kebaikannya ialah dapat bantu tingkatkan sensitiviti insulin dan kurangkan inflamasi. Oleh sebab ia dapat kawal kolestrol dan meningkatkan kolestrol baik (HDL), jadi diabetes dapat dikawal.

Minum Teh Hijau

Mengikut pandangan Dr Hamid Arsyat lagi, dengan meminum 5 cawan teh hijau setiap hari, glukos dan kolestrol dalam darah dapat dikawal. Ini kerana teh hijau mengandungi banyak khasiat antaranya ialah antioksida. Pastikan minum tanpa gula ye, barulah khasiatnya dapat diserap.

Setakat ni saja perkongsian penulis untuk membantu ibu-ibu yang sedang hamil. Jangan lupa praktikkan tips yang telah diberikan ni. Jaga diri dan bayi dalam kandungan kerana ia merupakan amanah Allah kepada kita.

Perkara pertama yang perlu diberi perhatian ialah jaga kesihatan fizikal dan mental. Amalkan gaya hidup, pemakanan dan hubungan sosial yang sihat. Dapatkan nasihat dan rawatan di hospital jika masalah berterusan. Jangan mengambil sebarang pil dan minuman kesihatan tanpa merujuk doktor.

Semoga artikel ni memberi manfaat buat semua pembaca.

Rujukan

  1. Myhealth.gov.my
  2. Majalahpama.my
  3. Cochrane.org

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.