Kasih ibu membawa ke syurga, kasih bapa membawa bahagia. Biasa dengar pepatah ini? Ia menggambarkan betapa hebat dan agungnya kasih seorang ibu terhadap anaknya. Namun perasan tak, dewasa ini ramai anak yang mempertikaikan tentang kasih ibu. Ada yang mengatakan ibunya pilih kasih, malah ada yang merajuk dan tidak bertegur sapa dengan ibu sendiri.

Duhai anak-anak, ketahuilah bahawa sesungguhnya kasih seorang ibu tiada tandingannya. Seorang ibu akan melakukan segala-galanya buat anak malah sanggup mengorbankan diri sendiri asalkan anaknya bahagia. Apakah bukti kasih seorang ibu? Seawal kita berada dalam kandungan ibu lagi kita sudah mendapat curahan kasih sayang tak tidak berbelah bahagi.

kasih seorang ibu
Sumber: Scarymommy

Kasih ibu bermula seawal kita berada dalam kandungan, sebelum ditiupkan roh oleh Allah

Ketahuilah bahawa kasih ibu bermula seawal kita berada dalam kandungannya, malah sebelum kita ditiupkan roh oleh Allah. Sebaik sahaja ibu mengahui yang dia mengandungkan kita, pastinya ibu akan berasa sangat bahagia. Sejak saat dia mengetahui kita wujud, kasih sayang ibu kepada kita tak dapat digambarkan. Ibu akan mula menjaga dirinya dan berusaha untuk memberikan yang terbaik untuk kita.

Ibu akan mula menjaga makan minum, untuk memastikan kita mendapat semua nutrien dan khasiat terbaik untuk pembesaran dan perkembangan. Ibu akan makan buah-buahan, makan makanan yang terbaik, minum susu, malah ibu akan mengelakkan makanan tajam yang boleh menjejaskan kandungan walau pun ianya adalah makanan kegemarannya seumur hidup. Malah ibu akan berhenti daripada melakukan aktiviti lasak dengan niat untuk memastikan kita sentiasa selamat dalam kandungannya.

Bukankah itu tanda kasih seorang ibu? Malah apabila kandungan semakin besar ibu akan mula menyediakan persiapan buat kita. Memilih nama yang indah dengan maksud yang baik, membelikan kita semua kelengkapan yang kita perlukan seperti pakaian, alatan mandi, malah mainan. Semasa kita masih dalam kandungan juga ibu sudah mula mencari taska atau pengasuh terbaik buat kita. Itulah bukti betapa besarnya kasih seorang ibu.

Kerana kasih, seorang ibu sanggup menahan kesakitan semasa bersalin

Kata orang, sakit bersalin adalah kesakitan paling teruk di dunia. Tahukah anda seorang ibu terlalu kasihkan anaknya sehingga sanggup menanggub azab untuk melahirkan dan kesakitannya akan terus hilang sebaik sahaja menatap wajah kita, anak yang dikandungkan selama 9 bulan 10 hari? Malah sebelum bersalin ibu telah melalui pelbagai kesukaran semasa tempoh kehamilan.

Morning sickness, sakit pinggang, lenguh badan, simpul mengkarung, kepenatan yang melampau, malah ada ibu yang mengalami komplikasi kehamilan yang teruk seperti pendarahan, pre-eklampsia, muntah teruk sehingga kurus kering, dan sebagainya. Semua kesukaran yang dilakui oleh ibu kita adalah petanda betapa besarnya kasih seorang ibu.

Semasa melahirkan, ibu akan mengalami kesakitan yang teramat. Kontraksi dari bukaan 1 cm sehingga 10 cm. Malah ada yang terpaksa melahirkan dengan cara induce di mana kesakitannya berkali ganda daripada bersalin normal kerana rahim dipaksa untuk berkontraksi. Ibu akan diseluk beberapa kali untuk memeriksa tahap bukaan. Malah ibu akan dijahit sejurus selepas kita dilahirkan.

Jika ibu melahirkan melalui kaedah pembedahan, semua lapisan perut ibu akan dilapah hidup-hidup kemudian dijahit semula. Ibu akan mengalami kesakitan bukan sahaja semasa berpantang, malah selama bertahun-tahun. Selepas melahirkan melalui pembedahan, luka pembedahan akan kekal sakit untuk tempoh yang lama. Malah apabila batuk atau bersin, ibu akan berasa sakit di situ. Ibu juga tidak dapat kembali aktif untuk tenpoh yang lama.

Membesarkan anak dengan penuh kasih sayang

Sebaik sahaja dilahirkan, ibu akan membelai dan menjaga kita dengan penuh kasih sayang. Semasa berpantang, dikala tubuh badan masih lemah dan mengalami kesakitan akibat bersalin, ibu berusah-payah tidak cukup rehat dan tidak cukup tidur untuk menjaga kita. Pendek kata,seekor nyamuk pun takkan dibiarkan untuk hinggap di badan kita. Kita ditatang bagai minyak yang penuh. Namun masih ada anak yang mempertikaikan kasih seorang ibu.

Semakin kita membesar, ibu bukan sahaja akan menjaga kita malah mendidik kita agar menjadi manusia yang berguna dan berjaya di dunia juga akhirat. Ibu akan menerapkan nilai murni dan ajaran islam agar menyerap dihati kita dan menjadi amalan hidup sehingga ke akhir hayat. Ibulah orang pertama yang mengajar kita abc, 123, alif ba ta, mengaji, dan sebagainya.

Ibu sentiasa ada untuk anaknya tak kira apa yang berlaku

Cuba kenang kembali kenangan bersama ibu semasa kita kecil dahulu. Ibu memujuk dan mendukung kita yang sedang menangis kerana jatuh. Ibu mencuci luka dilutut kita dan menyapukan ubat sambil memujuk kita dengan penuh kasih sayang. Ibu tidak tidur kerana menemani kita yang sedang demam. Ibu mengahantar kita pada hari pertama persekolahan. Ibu setia menemani kita belajar disaat kita menduduki peperiksaan.

Malah semakin kita dewasa, ibu adalah orang pertama yang mengajar kita cara memakai tuala wanita dan cara mandi wajib. Pastinya kita takkan melupakan wajah ibu disaat menghadiri majlis konvokesyen tanda kejayaan kita dalam pendidikan.

Ingat lagi wajah ibu semasa kita menyampaikan berita yang kita akan berumah tangga? Wajah ibu semasa kita menyampaikan berita yang kita akan menjadi seorang ibu sepertinya? Wajah ibu semasa pertama kali melihat cucu yang lahir dari rahim kita?

Itulah dia info tentang kasih seorang ibu yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Sesungguhnya kasih ibu telalu agung. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan artikel ini anda juga mungkin berminat untuk membaca perkongsian kami tentang hadiah untuk ibu , masalah adab anak moden zaman, dan tanggung jawab anak terhadap ibu bapa.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.