Jom kenali kanser usus yang tidak dikenali ramai ini.

Kanser kolorektal atau kanser usus merupakan kanser kedua paling popular di Malaysia diikuti oleh kanser paru-paru, kanser limfoma dan kanser nasofarink.

Sumber dari Registri Kanser Kebangsaan Malaysia 2007-2011 melaporkan bahawa kanser usus ialah kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki (16.4%) dan kanser kedua paling kerap berlaku dalam kalangan wanita (10.7%).

Apa yang lebih membimbangkan adalah sekitar 60 peratus kes kanser usus di negara ini hanya dikesan pada tahap III dan IV.

Segelintir pesakit kurang jelas akan simptom-simptom kanser usus, tidak kurang juga ada yang lebih selesa mengamalkan rawatan alternatif untuk mengurangkan tanda-tanda awal yang dihadapi tanpa merujuk kepada pakar.

Sikap sesetengah pihak yang kurang prihatin ini akhirnya memakan diri dan mengurangkan peluang untuk sembuh dari penyakit ini.

Dalam kebanyakan kes, kanser usus bermula dengan gumpalan sel bukan kanser yang tidak berbahaya yang dinamakan polip adenomatous. Polip boleh berubah menjadi kanser usus dari semasa ke semasa dan adakalanya menyebabkan beberapa gejala kanser usus.

Tanda-Tanda Kanser Perut

kanser usus

Imej via Mayoclinic

  1.  Perubahan pada tabiat usus, termasuklah cirit- birit, sembelit, atau perubahan pada konsistensi najis selama
    lebih dari empat minggu
  2.  Pendarahan rektum atau terdapat darah pada najis
  3.  Ketidakselesaan abdomen yang berterusan seperti kekejangan, angin dan sakit pada kawasan abdomen.
  4.  Keletihan.
  5.  Kehilangan berat badan yang mendadak.

Gejala-gejala ini berbeza pada setiap pesakit berdasarkan saiz sel kanser dan lokasinya di dalam usus besar.

Segolongan besar pesakit langsung tidak mengalami sebarang gejala pada peringkat awal kanser.

Penyebab Kanser Usus

Sehingga kini, penyebab kanser usus masih belum diketahui dengan jelas. Walaubagaimanapun, faktor genetik memainkan peranan penting dalam pembentukan kanser ini.

Sel- sel yang rosak menyebabkan sel terus membahagi secara berlebihan sehingga membentuk tumor. Sel kanser akan menyerang dan merosakkan tisu normal yang berdekatan.

Sel kanser juga mampu merebak ke bahagian tubuh yang lain dan seterusnya membentuk mendapan (metastasis). Mutasi gen yang diwarisi daripada keluarga akan meningkatkan risiko kanser usus.

Antara sindrom kanser usus yang diwarisi adalah Hereditary nonpolyposis colorectal cancer(HNPCC) dan Familialadenomatous polyposis (FAP).

HNPCC atau sindrom Lynch meningkatkan risiko kanser usus dan kanser lain manakala FAP pula menyebabkan pembentukan ribuan polip pada usus dan rektum.

Sindrom-sindrom seperti ini boleh dikenalpasti melalui ujian genetik oleh pakar.

Oleh itu, jika anda mempunyai sejarah keluarga yang menghidap kanser, anda digalakkan untuk menjalani ujian ini dengan segera!

Tahap Kanser Usus

Tahap 0: Sel abnormal didapati pada dinding usus. Dikenali sebagai kanser primari.

Tahap I: Kanser terbentuk di lapisan dalam usus, menyerang submukosa.

Tahap II: Kanser merebak ke dalam dinding otot usus.

Tahap III: Kanser merebak ke dalam nod limfa di sekitar usus.

Tahap IV: Kanser merebak pada organ seperti jantung, hati, dinding abdomen dan ovari.

Kanser usus boleh menyerang semula meskipun selepas rawatan dijalankan terutamanya pada kawasan usus dan organ.

Faktor Risiko Kanser Usus

Jaga-jaga, mungkin ada di antara faktor berikut yang anda belum ketahui,

  1. Usia
    • Kebanyakan pesakit kanser usus berusia lebih daripada 50 tahun dan jarang berlaku pada orang yang lebih
    muda.
  2. Pernah menghidap kanser usus atau polip.
  3. Radang usus.
    • Pesakit kolitis ulseratif dan penyakit Crohn lebih berisiko menghidap kanser usus.
  4. Diet tinggi lemak dan rendah serat
    • Risiko kanser usus lebih tinggi kepada golongan yang mengamalkan pemakanan daging merah dan daging
    terproses yang tinggi.
  5. Gaya hidup kurang aktif
    • Mengamalkan senaman atau aktiviti fizikal boleh mengurangkan risiko penyakit kanser usus.
  6. Diabetes
    • Pesakit diabetes juga mudah menghidap penyakit kanser usus.
  7. Obesiti
    • Orang yang obes mudah mendapat kanser usus. Risiko kematian disebabkan penyakit ini juga lebih tinggi
    berbanding orang yang normal.
  8. Merokok
  9. Pengambilan alkohol yang tidak terkawal.
  10. Terapi radiasi untuk penyakit kanser

Rawatan Kanser Usus

Jangan risau, setiap penyakit pasti ada ubatnya. Antara rawatan yang boleh digunakan adalah;

  1. Pembedahan
    Rawatan gabungan preseksi seperti kemoterapi dan radioterapi perlu untuk meningkatkan kadar reseksi dan kadar kelangsungan hidup. Kadar pengulangan penyakit kanser juga lebih rendah.
  2. Kemoterapi
    Hampir separuh daripada pesakit mengalami metastasis dan kekambuhan selepas pembedahan.
  3. Kemoterapi ini perlu dijalani oleh Pesakit di peringkat terminal dan selepas reseksi.
  4. Terapi Intervensi
    Terapi ini dilakukan menggunakan peralatan pengimejan perubatan.

Alatan yang canggih digunakan untuk mencegah perebakan sel kanser dan meningkatkan keberkesanan kemoterapi tanpa sebarang kesan toksik kemoterapi.

Kaedah ini lebih berkesan kerana lebih tepat menyasarkan dan membunuh tumor dan memelihara sel yang normal dalam masa yang sama.

Kadar kelangsungan hidup dan kualiti hidup pesakit lebih terjamin selepas rawatan. Rawatan ini juga boleh dilakukan berulang kali tanpa sebarang masalah metabolisma sel kanser.

Apa Peranan Anda?

Meskipun penyakit kanser usus belum mempunyai punca-punca yang jelas, risiko menghidap penyakit ini boleh dikurangkan dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat dan aktif.

Diet yang sihat juga mampu membantu mengurangkan risiko penyakit ini. Kawal pemakanan yang kurang sihat dan pastikan berat badan anda yang ideal.

Pesakit juga perlu segera mendapatkan nasihat daripada doktor pakar bagi mengelakkan sebarang kemudaratan di kemudian hari.

Rujukan

Penulis: Meedanadira

Avatar

Graduan Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang bioteknologi tumbuhan. Sedang berkhidmat dalam bidang farmasi dan mempunyai minat yang mendalam dalam bidang biosains dan biomedik. Saya juga percaya tiada pengakhiran dalam menuntut ilmu selagi kita bernyawa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.