Mencari info dan ingin belajar punca kanser paru-paru dan tanda-tanda kanser paru. Artikel ini adalah tentang punca kanser paru-paru serta tanda kanser paru-paru. 

Tahukah anda, menurut pangkalan data daripada World Health Organization (WHO) GLOBOCAN 2018, kanser paru-paru merupakan jenis kanser yang paling biasa dijangkiti oleh lelaki dan merupakan kanser ketiga paling biasa dihadapi oleh populasi Malaysia. Nah, untuk lebih mendalam, hanya untuk tahun 2018 sahaja, terdapat 4,686 kes baru yang didiagnosis dengan 70 peratus kes terdiri daripada golongan lelaki dan 30 peratus golongan wanita. Dengar agak mengerunkan.

Menurut Malaysian Study on Cancer Survival (MySCan) 2018, kanser paru-paru mencatatkan kadar kemandirian paling rendah di antara semua jenis kanser. Purata kadar kemandirian lima tahun untuk pesakit kanser prostat di Malaysia adalah sebanyak 73 peratus, seterusnya diikuti oleh kanser payu dara 67 peratus dan kanser usus 57 peratus, berbanding kanser paru-paru sekadar hanya sekadar 11 peratus.

Kanser paru-paru terjadi disebabkan pertumbuhan sel abnormal yang tidak terkawal pada satu atau kedua-dua organ paru-paru. Sel-sel abnormal ini membahagi secara berlebihan sehingga membentuk tumor.Perkara ini akan menyebabkan paru-paru gagal menjalankan fungsinya untuk membekalkan oksigen yang cukup ke dalam saluran darahTumor yang hanya berada disatu tempat sahaja dinamakan tumor benigna.

Manakala tumor malignan pula adalah sel kanser yang telah merebak ke bahagian badan yang lain melalui sistem limfa dan saluran darah (metastasis) dan menyebabkan ia lebih sukar untuk dirawat.

Terdapat dua jenis utama kanser paru-paru dengan cara rawatan adalah berbeza. Jenis pertama adalah Non- Small Cell Lung Cancer (NSCLC) dan yang kedua adalah Small Cell Lung Cancer (SCLC). Sebanyak 80% hingga 85% kanser paru-paru adalah tergolong dalam NSCLC. Di bawah NSCLC,
terdapat adenokarsinoma, karsinoma sel skuamosa dan karsinoma sel besar.

Sub-sub jenis ini, yang bermula dari pelbagai jenis sel paru-paru dikelompokkan sebagai NSCLC kerana rawatan dan prognosisnya serupa. Manakala, sebanyak 10% hingga 15% daripada keseluruhan kes kanser paruparu adalah SCLC. Kanser paru-paru jenis ini tumbuh dan menyebar lebih cepat daripada NSCLC.

Ketahui Simptom-simptom Kanser Paru-paru Sebelum Terlambat

  1. Batuk teruk yang berterusan
  2. Sakit di bahu, dada atau belakang badan disebabkan batuk
  3. Perubahan Warna kahak
  4. Kesukaran bernafas dan menelan
  5. Suara Serak
  6. Bunyi keras ketika bernafas
  7. Bronkitis kronik atau radang paru-paru
  8. Batuk berdarah
  9. Demam
  10. Kelelahan
  11. Penurunan berat badan tanpa sebab
  12. sakit sendi dan tulang
  13. Bengkak pada leher
  14. Pendarahan dan darah bergumpal

Simptom tambahan seperti di bawah juga boleh berlaku jika kanser sudah merebak ke bahagian badan yang lain:

  1. Vertigo, sakit kepala dan sawan jika merebak ke bahagian otak.
  2. Bengkak pada organ hati dan menyebabkan kekuningan
  3. Ketidakstabilan paras hormon berlaku jika kelenjar adrenal dijangkiti kanser

Tahap-tahap Kanser yang Wajib Anda Tahu

Tahap I

Tumor hanya terdapat dalam satu paru-paru dan tiada pada nod limfa

Tahap II

Kanser telah merebak ke nodus limfa sekitar paru-paru yang dijangkiti

Tahap IIIA

Kanser telah merebak ke nodus limfa di sekitar trakea, dada dan diafragma di kawasan sama dengan paru-paru yang dijangkiti

Tahap IIIB

Kanser telah merebak ke nodus limfa pada paru-paru yang lain atau pada leher

Tahap IV

Kanser telah tersebar ke seluruh tubuh dan bahagian lain paru-paru

Jauhi Punca-punca Kanser ini:

Merokok

Risiko kanser paru-paru meningkat dengan penggunaan tembakau. Hal ini kerana rokok mengandungi lebih daripada 400 bahan kimia yang kebanyakannya dilaporkan mempunyai sifat karsinogenik. Bahan karsinogen utama di dalam rokok adalah nitrosamine dan ‘polycyclic aromatic hydrocarbon’.

Individu yang tidak merokok juga mempunyai risiko menghidap kanser paru-paru (jika terdedah kepada asap rokok) sebanyak 24% berbanding individu yang tidak terdedah dengan asap rokok.

Pendedahan Kepada Serat Asbestos

Pekerja yang bekerja di tempat yang terdedah dengan bahan ini seperti pelombong dan tukang kapal boleh meningkatkan risiko kanser paru-paru.Serat asbestos adalah silica yang boleh bertahan lama di dalam tisu paru-paru. Kini, penggunaan asbestos dikawal di sesetengah negara.

Terdedah Kepada Gas Radon

Gas radon adalah gas radioaktif semulajadi yang merupakan hasil daripada pereputan uranium yang mengeluarkan sejenis radiasi pengion. 12% kematian kanser paru-paru dikaitkan dengan gas radon.

Pekerja bawah tanah seperti di kawasan lombong dan bangunan terdedah kepada gas radon daripada batuan dan tanah. Air yang tercemar dengan radon juga boleh menyebabkan kepekatan radon yang tinggi terutamanya di dalam terowong, stesen janakuasa, gua, tempat mandi awam dan spa.

Kehadiran gas ini hanya boleh diuji dengan menggunakan alatan ujian khas kerana ia tidak berbau dan tidak dapat dilihat.

Sejarah Keluarga

Individu yang mewarisi gen yang mengganggu pemulihan DNA berisiko tinggi untuk menghidap beberapa jenis kanser termasuk kanser paru-paru.

Penyakit Paru-paru                                 

‘Chronic Obstructive Pulmonary Disease’ (COPD) dan ‘Pulmonary fibrosis’ (parut pada paru-paru) akan meningkatkan risiko kanser paru-paru walaupun kepada individu yang tidak merokok.

Pencemaran Udara

Pendedahan yang berpanjangan terhadap udara yang tercemar disebabkan asap kenderaan, perindustrian dan  kilang mampu meningkatkan risiko kanser paru-paru kepada individu yang terlibat.

Eksos Diesel

Pekerjaan seperti pemandu trak, pekerja garaj dan mekanik, pelombong dan pekerja ladang yang terdedah kepada eksos enjin diesel juga mengalami peningkatan risiko pembentukan sel kanser pada paru-paru.

Kesimpulannya, punca kanser paru-paru serta kadar kemandirian pesakit kanser paru-paru biasanya ditentukan terutamanya oleh penggunaan tembakau, faktor etiologi utama dalam karsinogenesis paru-paru serta faktor genetik, diet yang kurang sihat, faktor pendedahan pekerjaan dan
pencemaran udara yang boleh berlaku secara bebas atau menghirup udara yang mengandungi asap rokok atau tembakau berlandaskan epidemiologi deskriptif kanser paru-paru (Malhotra et al. 2016).

Rawatan Kanser Paru-paru

Pembedahan

Pembedahan untuk membuang tumor sering dijalankan untuk kanser tahap rendah sperti tahap 1 dan 2. Walaubagaimanapun, pesakit masih berisiko mendapat kanser semula walaupun setelah menjalani pembedahan ini.

Komplikasi jantung dan penyakit lain pada paru-paru akan menyukarkan lagi pembedahan.Prosedur pembedahan ditentukan berdasarkan saiz dan lokasi tumor. Pesakit kemungkinan besar mengalami kesukaran bernafas dan lemah badan selepas pembedahan.

Radiasi

Jika tumor merebak ke nod limfa atau trakea, atau kesihatan pesakit tidak sesuai untuk menjalani pembedahan,terapi radiasi menjadi alternatif pilihan.

Terapi ini tidak membawa kepada risiko seperti pembedahan, akan tetapi ia akan menyebabkan kesan seperti kepenatan, pendarahan berlebihan, mabuk, muntah dan cirit birit.Bahagian kulit yang dirawat juga akan berasa sakit dan beransur pulih setelah rawatan selesai.

Kemoterapi

Ubat-ubatan tertentu perlu diambil dalam masa yang ditentukan. Malangnya, ubatan kemoterapi mampu membunuh sel yang sihat dan akan memberi kesan sampingan kepada pesakit. Kerosakan pada sel darah boleh membawa kepada kesukaran penggumpalan darah dan mudah dijangkiti penyakit.

Kesan yang lain pula termasuklah kepenatan, penurunan berat badan, keguguran rambut, muntah-muntah dan cirit birit. Kesan sampingan ini juga akan pulih selepas rawatan ini selesai.

Terapi yang Disasarkan

Terapi sasaran molekul melibatkan pengambilan ubat-ubatan yang telah dikenalpasti akan mensasarkan gen atau protin yang spesifik bagi menghentikan perebakan kanser.

Immunoterapi

Pesakit kanser paru-paru di tahap kritikal boleh menjalani terapi ini.Terapi ini akan meningkatkan sistem imun untuk menentang sel-sel tumor dengan menggunakan ubatan tertentu seperti nivolumab (Opvido) dan pembolizumab (Keytruda)

Cegah Sebelum Terlambat

Jauhi perkara-perkara yang boleh meningkatkan risiko kanser paru-paru terutamanya asap rokok. Jika anda seorang perokok, hentikan amalan tersebut dengan kadar segera. Merokok bukan hanya membahayakan diri anda, malah memberi kesan berbahaya terhadap orang lain dan alam sekitar.

Dengan kemajuan bidang perubatan masa kini, pelbagai alternatif boleh digunakan untuk menghentikan gejala ini termasuklah mengambil nicotine dalam bentuk gum, semburan, mahupun pelekat.

Gunakan alat pengesan gas radon khas untuk memastikan kehadiran gas radon di kediaman anda. Lakukan pemeriksaan kesihatan dengan serta merta jika anda mempunyai risiko yang tinggi terutamanya bagi yang pernah mempunyai ahli keluarga yang menghidap penyakit berkaitan paru-paru. Ingat! Bertindaklah segera demi kesihatan anda.

Semoga anda pelajari sesuatu daripda artikel punca kanser paru-paru ini. Jemput juga baca artikel penulisan lain seperti kanser usus dan kanser limforma.

Rujukan

  • Malaysian Study on Cancer Survical (link).
  • Malhotra J, Malvezzi M, Negri E, La Vecchia C, Boffetta P. Risk factors for lung cancer worldwide. Eur Respir J. 2016 Sep;48(3):889-902. 27174888. (link).
  • Medicine.net
  • Lungcancer.org
  • Mayo Clinic

*Dikemaskini pada 10 Jan 2021

Penulis: Meedanadira

Graduan Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang bioteknologi tumbuhan. Sedang berkhidmat dalam bidang farmasi dan mempunyai minat yang mendalam dalam bidang biosains dan biomedik. Saya juga percaya tiada pengakhiran dalam menuntut ilmu selagi kita bernyawa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.