Kanser adalah di antara penyakit yang paling ditakuti oleh rakyat Malaysia. Ia adalah penyakit serius yang boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan rawatan rapi.

Malah rawatan yang diberikan juga adalah agak menyakitkan dan akan menyebabkan pesakit tidak selesa dengan kesan sampingan dari rawatan. Namun tahukah anda bahawa kanser mata adalah di antara kanser yang jarang berlaku di Malaysia.

Jika anda disahkan mengidap kanser mata, ketahuilah bahawa Allah sedang menguji anda. Allah menguji kerana Dia sayang. Usaha anda untuk mendapatkan info tentang penyakit ini adalah satu tindakan yang wajar dan sangat bijak. Istimewa untuk anda, jom kami kongsikan info lengkap tentang kanser mata termasuk jenis, tanda, punca dan rawatan yang paling berkesan.

Apa itu kanser mata?

kanser mata
Sumber: Healthinfi

Kanser mata ialah kanser yang berlaku pada tisu mata. Seperti kanser yang lain, kanser mata juga boleh merebak kepada bahagian tubuh badan yang lain seperti paru-paru, otak, payudara dan organ badan yang lain. Terdapat 4 jenis kanser yang sering berlaku di Malaysia iaitu:

  • Melanoma. Ini adalah jenis kanser mata yang paling kerap berlaku kepada pesakit kanser mata di Malaysia
  • Karsinoma sel skuamus
  • Limpoma
  • Retinoblastoma, kanser yang kebiasaannya berlaku sewaktu kanak-kanak

Apakah punca kanser mata berlaku?

Untuk pengetahuan anda, sehingga hari ini para saintis dalam bidang perubatan belum masih belum dapat mengenal-pasti apakah punca seseorang mendapat kanser mata. Tiada punca yang dapat dikesan. Wala bagaimana pun, kajian yang dijalankan mendapati bahawa individu yang mempunyai ciri-ciri yang berikut mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat kanser mata:

  • Memiliki warna mata yang lebih cerah. Kajian mendapati bahawa individu yang mempunyai warna mata yang cerah seperti biru, kelabu dan hijau mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat melanoma mata berbanding orang yang memiliki mata berwarna coklat atau hitam. Itulah sebabnya kenapa kanser mata agak kurang berlaku di Malaysia kerana rata-rata orang kita mempunyai mata berwarna gelap.
  • Memiliki kulit yang cerah atau pucat. Kajian mendapati bahawa kanser mata lebih kerap berlaku kepada mereka yang memiliki kulit yang cerah seperti di negara eropah dan barat. Kanser mata sangat jarang berlaku kepada mereka yang memiliki kulit yang gelap.
  • Memiliki tahi lalat yang luar biasa. Tahukah anda bahawa individu yang mempunyai tahi lalat yang agak pelik bentuknya, atau terlalu banyak mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser mata.
  • Individu yang kerap menggunakan ‘sunbeds’ . Sunbeds digunakan untuk menggelapkan kulit. Ia biasa digunakan di negara barat kerana mereka sukakan kulit yang gelap. Kajian mendapati bahawa pendedahan kepada radiasi ultraviolet (UV) dari sunbeds akan meningkatkan risiko untuk mendapat kanser mata.
  • Individu yang terdedah kepada cahaya matahari secara berlebihan. Jika kita terlalu banyak terdedah kepada cahaya matahari yang terik dan panas membahang, ia akan mengingkatkan risiko untuk mendapat kanser mata.

Apakah tanda kanser mata?

Terdapat beberapa tanda yang biasa ditunjukkan oleh pesakit kanser mata. Walau bagaimana pun ingin kami ingatkan bahawa jika anda mendapat tanda-tanda berikut, tidak semestinya anda mempunyai kanser mata kerana tanda berikut juga boleh berlaku disebabkan oleh penyakit mata yang lain. Jangan terus panik ya. Di antara tanda kanser mata yang perlu anda perhatikan ialah:

  • Ternampak bayang-bayang, kelip-kelip cahaya, atau garis-garis selari dalam penglihatan anda. Seolah-olah ada sesuatu di dalam mata anda.
  • Penglihatan menjadi kabur dan semakin kabur hari demi hari.
  • Tompok gelap di sekeliling mata semakin besar daripada biasa.
  • Kehilangan sebahagian atau seluruh penglihatan.
  • Salah satu daripada mata terbojol daripada biasa.
  • Timbul satu benjolan di kelopak mata atau di dalam mata yang semakin membesar dari hari ke hari.
  • Rasa sakit di dalam atau di sekeliling mata.

Apakah cara rawatan yang terbaik untuk mengatasi kanser mata?

Jika anda disahkan mengidap kanser mata, jangan terus putus asa. Ada rawatan berkesan yang boleh anda lakukan sebagai usaha untuk sihat seperti sedia kala dan bebas daripada kanser.

Untuk pengetahuan anda, rawatan untuk kanser mata adalah bergantung kepada jenis,saiz dan lokasi kanser di dalam mata. Tujuan rawatan ialah untuk memelihara dan memulihkan mata yang terjejas disebabkan oleh kanser dan dalam masa yang sama untuk mengelakkan daripada berlakunya jangkitan kanser kepada bahagian lain tubuh badan.

Di antara rawatan untuk kanser mata ialah:

  • Brachytherapy. Ia adalah rawatan di mana plat kecil yang dibarisi dengan bahan radioaktif yang dipanggil plak akan dimasukkan berhampiran dengan tumor. Ia akan dibiarkan di situ selama satu minggu untuk membunuh sel-sel kanser. Selepas atu minggu plak akan dikeluarkan.
  • Radioterapi luaran. Untuk rawatan jenis ini, sebuah mesin akan digunakan untuk menghalakan sinaran radiasi kepada tumor untuk membunuh sel-sel kanser.
  • Pembedahan. pembedahan boleh dilakukan untuk membuang tumor atau sebahagian daripada mata yang sudah terjejas dan tak dapat diselamatkan lagi.
  • Enucleation iaitu proses pembuangan mata. Ia biasanya akan dilakukan jika tumor adalah bersaiz besar dan menyebabkan anda kehilangan penglihatan. Setelah mata dibuang, ia akan diganti dengan mata buatan yang sepadan dengan mata yang satu lagi.
  • Kemoterapi juga boleh dilakukan untuk merawat kanser mata.
kanser mata
Sumber: Ft

Itulah dia info tentang kanser mata yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Ketahuilah bahawa kanser bukanlah satu hukuman mati bagi anda. Disahkan mengidap kanser tidak bermakna anda tidak mempunyai peluang untuk sembuh dan hidup seperti manusia sihat yang lain. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang insulin bukan penyebab kanser, makanan anti kanser, dan punca kanser.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.