Kanser boleh berlaku di mana-mana sahaja anggota tubuh badan termasuk kulit. Kanser kulit merupakan ketumbuhan poada bahagian kulit yang disebabkan oleh sel yang tidak normal.

Kanser kulit boleh dibahagikan kepada pelbagai jenis kanser yang berasal daripada sel-sel lapisan kulit yang berlainan. 3 jenis kanser kulit yang utama ialah basal cell carcinoma, squamous cell carcinoma dan melanoma.

Melanoma ialah sejenis kanser kulit yang paling berbahaya kerana ia membesar dan merebak dengan pantas ke organ badan yang lain. Dikatakan bahawa kanser kulit lebih kerap berlaku pada individu yang berkulit cerah berbanding berkulit gelap.

Namun begitu, ia juga tetap boleh berlaku pada individu yang berkulit gelap. Menurut Laporan Daftar Kanser di Malaysia (3rd Annual Report of national Cancer Registry 2003-2005), kanser kulit ialah kanser yang ke-10 paling kerap berlaku di Malaysia.

Punca Berlakunya Kanser Kulit

Terdapat beberapa faktor yang menyumbang risiko mendapat kanser kulit. Antaranya ialah:

#1 Individu yang berkulit cerah

Orang yang berkulit cerah mempunyai jumlah melanin iaitu pigmen kulit yang kurang berbanding orang yang berkulit gelap. Ini menyebabkan mereka mendapat perlindungan yang kurang daripada sinaran Ultraviolet (UV) yang berbahaya dan menyebabkan kanser kulit.

#2 Banyak tahi lalat

Individu yang mempunyai banyak tahi lalat atau tahi lalat yang luar biasa (dysplastic naevi) juga mempunyai risiko mendapat kanser kulit.

#3 Terdedah kepada cahaya matahari

Golongan yang bekerja di luar bangunan seperti petani, nelayan, pekerja tapak pembinaan dan sebagainya berisiko mendapat kanser kulit. Malahan sesiapa yang pernah mengalami sunburn (kulit terbakar) semasa kanak-kanak atau remaja juga berisiko mendapat kanser kulit apabila dewasa.

Kulit yang terdedah kepada cahaya matahari secara berlebihan tanpa memakai pelindung krim suria (sunblock) menyebabkan sinar UV merosakkan sel-sel kulit.

#4 Sistem imun yang lemah

Pesakit HIV atau AIDS atau mereka mereka yang mengambil ubat immunosuppressant selepas pemindahan organ mempunyai sistem ketahanan tubuh yang lemah. Ini menyebabkan mereka mudah mendapat kanser kulit.

#5 Mempunyai penyakit kulit prakanser

Actinic keratosis kerap berlaku di bahagian wajah, tangan dan kepala individu yang berkulit cerah dan sering terdedah kepada cahaya matahari. Penyakit ini menyebabkan tompok-tompok keperangan, kasar dan bersisik pada kulit.

#6 Pernah ada sejarah menghidap kanser kulit

Jika seseorang itu pernah menghidap kanser kulit, dia mempunyai risiko tinggi untuk mendapatnya sekali lagi.

#7 Terdedah kepada radiasi

Jika pernah mendapat rawatan radiasi atau terdedah kepada radiasi secara berlebihan, individu itu juga berisiko mendapat kanser kulit. 

#8 Ada penyakit xeroderma pigmentosum

Pesakit yang mempunyai penyakit genetik seperti xeroderma pigmentosum tidak mampu untuk membaiki sel-sel kulit yang rosak akibat sinaran matahari. Sel-sel ini berisiko menkadi kanser kulit.

#9 Jangkitan Human Papilloma Virus

Jangkitan virus ini berupaya membentuk kanser di bahagian kemaluan.

#10 Terdedah kepada arsenik

Apabila terlalu terdedah kepada bahan kimia seperti arsenik juga boleh meningkatkan risiko mendapat kanser kulit. Sumber air yang tercemar seperti perigi, tasik dan sebagainya boleh terdedah kepada kadar arsenik yang tinggi. Keracunan arsenik juga boleh berlaku akibat pengambilan ubat-ubatan tradisional.

#11 Amalan merokok

Amalan merokok juga boleh menyebabkan kanser kulit.

Gejala Kanser Kulit

Kanser kulit biasanya melibatkan anggota tubuh di bahagian wajah, kepala, leher dan lengan. Ini disebabkan bahagian-bahagian ini mudah terdedah secara langsung kepada pancaran cahaya matahari.

Kanser kulit mempunyai bentuk dan keadaan yang berlainan mengikut jenisnya. Antara gejala umum ialah:

  • Perubahan kepada kulit yang tidak boleh sembuh
  • Ulser
  • Perubahan warna dan rupa tahi lalat yang sedia ada

Cara Rawatan Kanser Kulit

Rawatan bagi kanser kulit akan dilakukan bergantung kepada jenis kanser kulit, tempat kanser, saiz kanser, umur pesakit dan sejarah penyakit kanser kulit (sama ada pertama kali berlaku atau kes berulang).

  • Basal cell carcinoma,

Rawatan akan dilakukan secara pembedahan. Jika kanser ini tidak dapat dilakukan misalnya disebabkan ia tumbuh berhampiran mata, maka kaedah radioterapi akan digunakan.

Kaedah lain untuk merawat kanser ini termasuk cryotherapy, kemoterapi setempat dan topical photodynamic therapy.

  • Squamous cell carcinoma

Bagi kanser jenis ini, pembedahan boleh dijalankan jika ketumbuhan boleh dibedah sepenuhnya. Jika kanser tidak dapat dibedah, rawatan radioterapi akan diberikan.

  • Melanoma

Disebabkan kanser kulit jenis melanoma tumbuh dan merebak dengan cepat ke bahagian organ berdekatan seperti kelenjar limpa dan organ dalaman, maka pesakit perlu melalui proses CT scan dan biopsi kelenjar limpa.

Jika kanser tidak merebak, ketumbuhan ini boleh dibedah dengan sepenuhnya bersama-sama bahagian kulit yang normal. Jika sudah pada tahap kronik, rawatan kemoterapi akan diberikan walaupun biasanya kurang berkesan.

Oleh itu, jangan memandang remeh soal penjagaan kulit lebih-lebih lagi apabila berada di luar rumah. Jika ada kelainan pada permukaan kulit sama ada perubahan warna kulit, saiz tahi lalat yang semakin membesar dan sebagainya, segeralah berjumpa dengan doktor.

Berikut ialah beberapa langkah pencegahan yang boleh diamalkan untuk mengelakkan berlakunya kanser kulit, iaitu:

  • Kurangkan berada di luar rumah, lebih-lebih lagi di bawah terik pancaran matahari. Bagi orang yang berkulit cerah, anda lebih berisiko tinggi.
  • Apabila hendak keluar dari rumah, jangan lupa gunakan krim pelindung matahari 1 jam sebelum itu. Krim ini dapat menghalang pancaran UVA dan UVB yang akan merosakkan sel-sel kulit.
  • Memakai pakaian berlengan panjang serta memakai topi apabila melakukan aktiviti di bawah matahari.
  • Elakkan berada di luar rumah pada waktu yang mempunyai kadar UV yang tinggi iaitu dari pukul 9.00 pagi hingga 3.00 petang.

Setakat ini sahaja perkongsian tentang penyakit kanser kulit dari aspek punca, gejala dan cara rawatan. Semoga para pembaca bidadari.my mendapat manfaat daripada penulisan ini. Sentiasalah menjaga kesihatan diri kita. Jemput juga baca artikel makanan antikanser kanser testis dan kanser ovari

Rujukan

http://www.myhealth.gov.my/brah-kulit/

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.