Jom belajar tentang punca-punca dan tanda kanser darah. Secara umumnya, darah terbahagi kepada sel darah merah, sel darah putih plasma dan platlet.

Kesemua komponen darah ini dihasilkan di dalam sumsum tulang (kecuali plasma).Sel-sel darah ini berasal dari sejenis sel yang dipanggil sel stem.

Sel stem ini kemudiannya membahagi sehingga menjadi sel-sel darah matang yang boleh menjalankan fungsi-fungsinya yang spesifik.Sebenarnya, badan kita akan menghasilkan darah mengikut keperluan.

Jika kandungan oksigen di dalam tisu atau jumlah sel darah merah badan anda berkurangan, buah pinggang akan merembeskan erythropoietin (hormon yang merangsang sumsum tulang untuk menghasilkan lebih banyak sel darah merah).

Platlet akan dihasilkan apabila berlaku pendarahan atau kecederaan pada fizikal anda.

Sel darah putih pula akan dihasilkan dengan banyak jika berlaku jangkitan.

 

Bagaimana Pula Dengan Kanser Darah?

Kanser darah boleh memberi kesan terhadap fungsi sel darah.Dalam kebanyakan kanser darah, proses penghasilan darah terganggu disebabkan oleh penghasilan sel darah abnormal yang tidak terkawal.

Sel kanser ini akan terus menghalang fungsi sel darah yang normal jika tidak dirawat.

3 Jenis Kanser Darah Utama

kanser darah

Imej via news-medical

a) Leukemia

Kanser ini terjadi disebabkan oleh penghasilan sel darah putih abnormal yang tidak terkawal.

Jumlah sel darah putih abnormal yang terlampau banyak ini tidak mampu melawan jangkitan dan akan merosakkan fungsi sumsum tulang daripada menghasilkan sel darah merah dan platlet.

b) Limfoma

Kanser ini pula akan memberi kesan kepada sistem limfa manusia. Sistem limfa penting untuk membuang lebihan cairan dalam badan serta menghasilkan sel-sel imun.

Limfosit adalah sejenis sel darah putih yang berfungsi untuk melawan jangkitan. Limfosit yang abnormal akan membahagi di dalam nodal limfa dan akan merosakkan sistem imunisasi.

c) Myeloma

Myeloma adalah sejenis kanser sel plasma. Sel plasma juga merupakan sel darah putih yang menghasilkan antibodi di dalam badan.

Sel myeloma menghalang fungsi sel plasma dan melemahkan sistem imun, menjadikan pesakit lebih mudah terkena jangkitan.

Tanda-Tanda Kanser Darah

a) Leukimia

Terdapat banyak jenis Leukemia. Pesakit Leukemia akut akan berasa sakit secara tiba-tiba dan mudah terkena selesema.

Jenis leukemia yang lain hanya boleh menunjukkan simptom setelah beberapa tahun.Namun begitu, Doktor dapat mengesan kanser melalui keputusan ujian darah yang tidak normal.

b) Limfoma

Tanda-tanda utama kanser limfoma adalah bengkak pada nodal limfa.Pesakit akan merasakan kehadiran ketulan pada leher, bawah lengan atau pada pangkal peha.

Nod-nod limfa yang berada jauh di dalam badan boleh menekan organ dalaman sehingga menyebabkan batuk, nafas pendek, sakit pada perut dan tulang.

Limpa akan membengkak dan menyebabkan pesakit berasa kembung perut.

Lazimnya, nodal yang bengkak tidak menyebabkan kesakitan, kecuali jika pesakit mengambil alkohol.

Antara simptom-simptom yang lain adalah:

  • Demam
  • Berpeluh pada waktu malam
  • Kepenatan
  • Kehilangan berat badan yang tidak normal
  • Kegatalan kulit

c) Myeloma

Sesetengah pesakit hanya akan mengalami simptom setelah beberapa lama menghidap kanser ini.Simptom yang paling jelas adalah kesakitan tulang terutamanya pada bahagian belakang badan atau tulang rusuk.

Sel kanser akan mengeluarkan bahan kimia yang menghentikan tumbesaran dan penyembuhan tulang.Tulang akan menjadi semakin nipis dan lemah serta mudah patah.

Kerosakan tulang ini boleh membawa kepada kesakitan saraf dan menyebabkan sakit dan lemah pada kaki, kesemutan pada tangan dan kehilangan kawalan usus atau pundi kencing.

Myeloma boleh mempengaruhi kadar kalsium yang tinggi dalam darah dan menyebabkan:

  • mual dan sakit perut
  • kehausan dan kencing yang kerap
  • sembelit
  • hilang selera makan
  • lesu
  • kekeliruan

Kadar kalsium yang tinggi boleh membahayakan  buah pinggang.Sel kanser akan menghasilkan protin yang mampu merosakkan saraf.Kerosakan saraf boleh memberi kesan seperti:

  • Kelesuan
  • Kebas
  • Sakit pada tangan dan kaki

Peluang Untuk Sembuh?

Dengan teknologi yang kian membangun dalam bidang perubatan ketika ini, sudah tentu pesakit kanser darah mempunyai peluang untuk sembuh.

Rawatan bagi kanser darah bergantung kepada jenis kanser, umur, berapa pantas kanser merebak dan lokasi penyebaran sel kanser di dalam badan.

a) Pemindahan Sel Stem

Pemindahan sel stem membekalkan sel stem pembentuk darah yang sihat ke dalam badan.Sel stem boleh diambil daripada sumsum tulang, darah periferal dan darah tali pusat.

b) Kemoterapi

Ubat-ubatan anti kanser digunakan bagi mengganggu tumbesaran sel kanser di dalam badan.

c) Terapi Radiasi
Terapi radiasi boleh digunakan untuk memusnahkan sel kanser dan melegakan kesakitan atau ketidakselesaan.Ia juga boleh dilakukan sebelum pemindahan sel stem.

Mencegah Lebih Baik Daripada Merawat

Cara paling mudah untuk mengurangkan risiko menghidap kanser semestinya dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat.Diet yang seimbang juga membantu meningkatkan kualiti hidup dan mampu mengelakkan penyakit-penyakit yang berbahaya.

Elakkan pengambilan alkohol dan penggunaa tembakau yang sudah jelas mempunyai kesan negatif terhadap tubuh badan.Ingat, mencegah lebih baik daripada merawat!

 

Rujukan

Jemput juga baca artikel kanser lain tulisan kami. Contohnya seperti kanser rahim, kanser usus dan kanser perut.

Penulis: Meedanadira

Graduan Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang bioteknologi tumbuhan. Sedang berkhidmat dalam bidang farmasi dan mempunyai minat yang mendalam dalam bidang biosains dan biomedik. Saya juga percaya tiada pengakhiran dalam menuntut ilmu selagi kita bernyawa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.