kanak-kanak solat

Dahulu ketika bersolat di masjid atau surau, saya sering rasa terganggu dengan anak-anak kecil yang berlari-lari dan menangis sewaktu solat – terutamanya di bulan Ramadhan. Kononnya, saya berhak untuk beribadat dengan tenang sambil hati kecil memarahi ibu bapa yang mementingkan diri sendiri hingga mengganggu jemaah lain. Diwaktu itu, tidak sedikit pun saya sedari, yang mementingkan diri itu adalah diri saya, bukan mereka. Semakin menginjak tempoh kematangan, saya menyedari, masjid bukan sepatutnya untuk orang tua sahaja. Masjid dan surau sepatutnya menjadi tempat untuk semua golongan berkumpul, menyerahkan diri pada Allah.

Malangnya, masjid dan surau zaman kini tidaklah mesra golongan muda dan anak-anak. Tempat beribadat ini lebih dikenali untuk orang yang pencen – untuk orang yang merasakan masa mereka di muka bumi ini semakin pendek. Sedangkan hakikatnya, malaikat maut tidak mengenal usia. Berlakunya masalah ini, adalah disebabkan stigma masyarakat sendiri yang sama seperti pemikiran saya dahulu. Oleh itu, kita seharusnya bersama-sama mendidik orang lain untuk membuang pemikiran negatif tersebut, dan menggalakkan golongan ibu bapa membawa anak-anak mereka ke masjid. Walaupun setiap kali kunjungan ke masjid mereka akan kerap bermain, tetapi saya percaya apabila anak-anak dibiasakan dengan suasana masjid, perlahan-lahan mereka akan lebih dekat dengan rumah ibadat Allah ini. InshaAllah.

Artikel seterusnya saya petik dari hasil perkongsian Dr Mohd Asri Zainul Abidin di facebook beliau berkenaan kanak-kanak di masjid. Semoga perkongsian yang bermanfaat ini mampu mendidik masyarakat kita supaya terbuka dengan kehadiran kanak-kanak di masjid dan surau.

Kanak-kanak dihalau ke belakang?

Kita mendengar kanak-kanak yang sudah pun boleh bersolat dihalau oleh orang tua ‘berlagak pandai’ ke belakang. Kemudian menengking anak-anak kerana tidak serius dalam solat. Apa tidaknya, mereka bersama saf dengan kanak-kanak yang lain. Tentu kenakalan itu kadang-kala muncul. Jika mereka duduk di samping bapa mereka tentu mereka dapat dididik adab solat berjemaah. Untuk menghalalkan perbuatan tidak mesra kanak-kanak itu dipilihlah fatwa yang menyatakan kanak-kanak belum berkhatan itu najis. Satu saf akan batal sebab bawah kulit kanak-kanak itu ada najis.

Saya selalu bertanya: “apakah bawah kulit orang tua dan dalam perut orang tua tiada najis?!! Jangan memilih pendapat-pendapat fekah yang menyusahkan dan menghilangkan semangat dakwah Islam sedangkan kita mempunyai banyak pilihan pendapat yang lebih munasabah.

Ketika Ibn ‘Abbas masih kanak-kanak, beliau bercerita:“..Rasulullah bangun bersolat malam aku turut serta bersamanya. Aku berdiri di sebelah kiri baginda. Baginda memegang kepalaku lalu menjadikan aku berada di sebelah kanan baginda (Riwayat al-Bukhari).

Kata Anas bin Malik :“…Rasulullah berdiri untuk solat. Aku bersaf dengan seorang budak yatim di belakang baginda. Sementara wanita tua berada di belakang kami”. (Riwayat al-Bukhari).

Adapun hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud yang menyatakan Rasulullah menjadikan saf lelaki dewasa di hadapan kanak-kanak, hadis itu daif dari segi sanadnya.

Kredit sebahagian artikel: Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Kredit gambar: Bismika Allahuma

Penulis: Ummu Hatim

Ummu Hatim

Ummu Hatim adalah salah seorang penulis tetap di Bidadari.My. Penulisannya banyak mengenai keibubapaan dan tips kesihatan. Menulis untuk mendidik diri sendiri disamping berkongsi ilmu pembacaan yang ada.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.