Susahnya hati bila bayi tiba-tiba terkena sembelit. Tak tahu apa yang silap. Tiba-tiba banyak hari bayi tak membuang air besar. Tau-tau menangis teruk bila nak buang air besar. Kesian. Tak tau macam mana nak tolong. Lagi sedih bila nampak ada darah pada najis bayi, tanda berlaku luka pada dubur bayi anda. Jika bayi anda terkena sembelit, bertindak segera!

Sembelit boleh menjadi semakin teruk jika tak dirawat dengan kadar segera. Najis bayi anda akan menjadi semakin keras dan menyebabkan berlaku luka pada usus dan dubur bayi anda. Anda boleh pergi ke klinik untuk mendapatkan ubat yang dimasukkan ke dalam dubur bayi setiap kali bayi anda membuang air besar. Selain itu, anda juga boleh berikhtiar untuk melegakan sembelit bayi dengan menggunakan jus prune.

Sejak dulu lagi jus prune digunakan sebagai petua untuk menghilangkan sembelit tak kira pada orang dewasa, kanak-kanak, mahu pun bayi. Jangan risau, jus prune selamat untuk diberikan kepada bayi yang berumur 6 bulan ke atas.

Jika bayi anda berumur dibawah 6 bulan, kami cadangkan anda gunakan ubat yang diberikan oleh klinik dan elakkan daripada memberikan jus prune kepada bayi anda memandangkan ususnya masih belum matang untuk memproses makanan.

Bagaimana jus prune membantu mengatasi masalah sembelit pada bayi anda?

Yang sebenarnya jus prune membantu melembutkan najis bayi anda. Najis yang keras sukar untuk dikeluarkan manakala jika najis bayi anda lembut, mudah bagi bayi anda membuang air besar. Selain itu, jus prune juga berfungsi untuk meningkatkan pergerakan usus bayi anda memandangkan ia kaya dengan fiber.

Berikut adalah kandungan dalam satu gelas jus prune:

  • 44.7 g karbohidrat
  • 1.6 g protein
  • 0.1 g lemak
  • 0.6 mg vitamin B6
  • 707 mg potasium
  • 0.4 mg mangan
  • 3 mg zat besi
  • 10.5 mg vitamin C
  • 8.7 mcg vitamin K
  • 0.2 mg vitamin B2
  • 2 mg vitamin B3
  • 35.8 mg magnesium
  • 0.2 mg kuprum
  • 64 mg fosforus
  • 0.5 mg zink

Selain itu, jus prune juga kaya dengan nutrien seperti:

  • Serat larut. Serat larut berfungsi untuk menyerap air daripada usus lalu menjadikan najis bayi anda lebih lembut dan mudah untuk keluar semasa bayi anda membuang air besar.
  • Serat tidak larut. Berbeza dengan serat larut, serat tidak larut pula tidak menyerap sebarang air dan nutrisi daripada usus. Sebaliknya ia akan melalui usus bersama-sama dengan najis. Serat tidak larut menjadikan najis bayi anda lebih berisi dan membantu proses pencernaan melalui rangsangan peristalsis. Untuk makluman anda, peristalsis merupakan proses menggerakkan makanan di dalam usus dan organ pencernaan yang lain melalui mekanisme pengecutan dan relaksasi otot-otot pada bahagian yang berkenaan.
  • Sorbitol. Selain serat, jus prune juga mengandungi 15% sorbitol yang berfungsi untuk menyerap air dan seterusnya melembutkan najis yang keras.
  • Dihydrophenylisatin. Dihydrophenylisatin adalah mineral yang ditemui pada kulit buah prune. Bahan kimia ini dipercayai dapat mempercepatkan pergerakan usus bayi anda.
  • Mineral dan vitamin. Jus prune kaya dengan vitamin dan mineral seperti potasium dan vitamin A yang mengaktifkan enzim-enzim pencernaan bayi anda. Manakala potasium pula membantu menggerakkan makanan di dalam usus dengan melancarkan peristalsis usus.
jus prune untuk bayi sembelit
Sumber: Nutrienbowl

Bagaimanakah cara untuk memberikan jus prune kepada bayi yang sembelit?

Berikut adalah beberapa cara yang boleh anda gunakan untuk memberikan jus prune kepada bayi anda:

Jus prune buatan rumah

Anda boleh membuat sendiri jus prune di rumah. Jus buatan sendiri pastinya lebih baik daripada jus yang dibeli kerana anda pasti semua bahan yang dimasukkan adalah selamat dan tanpa bahan pengawet. Apa yang paling penting, tiada gula dimasukkan ke dalam jus ini. Cara membuat jus prune adalah seperti berikut:

Bahan-bahannya:

  • 1 cawan buah prune
  • 5 cawan air
  • 1 cawan jus pir

Cara-caranya :

  • Buang tangkai buah prune dan cuci bersih.
  • Masukkan buah prune tadi ke dalam bekas yang tahan air panas dan BPA free.
  • Didihkan 5 cawan air dan masukkan ke dalam bekas berisi prune tadi. Jangan terlalu banyak air, cukup sekadar memastikan buah separuh tenggelam. Rendam buah prune tadu selama 12 sehingga 24 jam. Simpan air yang lebih untuk digunakan kemudian.
  • Selepas 12 atau 24 jam, kisar buah prune yang direndam tadi sehingga halus.
  • Tapis buah yang telah dikisar dan masukkan ke dalam bekas berisi 1 liter air.
  • Anda juga boleh tambahkan madu jika mahu.
  • Simpan didalam peti sejuk.
  • Jus ini tahan sehingga 1 minggu jika disimpan di dalam peti sejuk.
  • Lebihan jus juga boleh anda bekukan untuk dijadikan aiskrim.

Jus prune komersial

Jika anda sibuk dan tiada masa untuk membuat sendiri jus prune, anda juga boleh membeli jus prune komersial yang banyak dijual di kedai dan pasaraya. Cuma nasihat kami elakkan daripada memberikan jus prune komersial kepada bayi dibawah umur satu tahun kerana dikhuatiri ia mempunyai kandungan gula yang tinggi yang tidak sesuai untuk usus bayi anda yang belum matang.

jus prune untuk bayi sembelit
Sumber: Mumjunction

Puri prune

Selain dijadikan sebagai jus, anda juga boleh memberikan prune dalam bentuk puri kepada bayi anda. Terdapat pelbagai resepi puri prune yang boleh anda dapati di internet. Pastinya bayi anda suka dan akan menghabiskan puri dengan cepat.

Itulah dia info tentang jus prune untuk bayi sembelit yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda menyukai artikel ini, anda juga mungkin berminat untuk membaca perkongsian kami tentang cara hilangkan kahak bayi, cara sendawakan bayi, dan tanda susu formula tidak sesuai dengan bayi.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.