Nafkah adalah merupakan asas dalam menjaga nyawa kerana dengan adanya nafkah, tidak kira sama ada seorang kanak-kanak mahupun seorang dewasa boleh meneruskan kelangsungan hidup dengan makan, minum, berpakaian dan duduk di tempat tinggal yang selesa mengikut kemampuan.

Nafkah bagi seorang kanak-kanak adalah semua perkara asas diperlukan yang wajib disediakan oleh bapa mereka iaitu orang yang dipertanggungjawabkan mengikut syarak agama Islam walaupun telah bercerai.

jumlah nafkah anak selepas bercerai
Imej via [Baituljannah]

Seorang bapa wajib menyara serta menanggung nafkah anak-anaknya kerana mereka masih belum berupaya mencari nafkah sendiri ataupun tidak mampu untuk mencari nafkahnya kerana masih kecil. Ia adalah perintah Allah SWT.

Nafkah Yang Sepatutnya

Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun genap, iaitu bagi yang hendak menyempurnakan penyusuan itu dan kewajiban bapa ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara sepatutnya.

Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah seorang ibu itu menderita kerana anaknya dan (jangan juga menjadikan) seorang bapa menderita kerana anaknya dan waris juga menanggung kewajipan itu (jika bapa tiada).

Kemudian jika kedua-duanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang dicapai oleh) mereka sesudah berunding, atas mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu serahkan (upah) yang kamu berikan itu dengan cara yang patut.”

(Surah al-Baqarah ayat 233)

jumlah nafkah anak selepas bercerai
Imej via [Kashoorga]

Nafkah Dan Jumlah Nafkah Anak Selepas Bercerai

Di dalam Seksyen 73, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor memperuntukkan kewajiban seorang bapa menanggung nafkah anak-anaknya sehingga mereka mampu untuk mencari nafkah sendiri.

Seksyen itu menyatakan menjadi kewajipan seorang lelaki untuk menanggung keperluan anaknya selepas bercerai dengan bekas isterinya kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah mahkamah memperuntukkan syarat yang lain, maka menjadi kewajipan seseorang lelaki itu menanggung nafkah anaknya tersebut.

Nafkah Anak Selepas Bercerai

Sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan orang lain, sama ada menyediakan kepada mereka tempat tinggal, kelengkapan pakaian, makanan yang cukup, kos perubatan dan kos pelajaran sebagaimana yang munasabah kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya dengan jumlah-jumlah yang ditentukan oleh pihak mahkamah syariah.

Berdasarkan firman Allah S.W.T serta peruntukan yang termaktub di dalam undang-undang itu, menjadi kewajipan seorang bapa menanggung nafkah anak-anaknya dan perkara itu tidak boleh dipertikaikan atau dipindahkan kepada pihak lain melainkan terdapat sebab dan alasan diterima oleh hukum syarak.

jumlah nafkah anak selepas bercerai
Imej via [freemalaysiatoday]

Jika kita sering melihat kes-kes penceraian yang sering berlaku di negara kita khususnya, perkara utama sering dipersoalkan oleh para isteri setiap kali membuat tuntutan nafkah anak mereka di mahkamah adalah berapakah jumlah nafkah anak selepas bercerai. Secara asasnya, kita harus merujuk kepada hadis nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud:

“Ambillah apa-apa yang mencukupi (kifayah) buatmu dan anak-anakmu dengan cara yang baik (makruf).”

Berdasarkan hadis ini, para ulama berpendapat, jika suami gagal atau enggan (tidak mahu) untuk memberi nafkah, isteri berhak mengambil apa yang cukup untuk dirinya dan juga anak-anaknya secara kifayah (cukup) dan makruf (baik) walaupun tanpa pengetahuan bekas suami mereka.

Bagaimanapun, apa yang cukup dan makruf tidak dibincangkan serta diputuskan oleh fuqaha dengan jelas dan terang serta tidak dinyatakan berapakah kadar atau ukuran kifayah dan jumlah nafkah anak selepas bercerai. Kecukupan dan kemakrufan kadar nafkah isteri dan anak bergantung kepada amalan masyarakat setempat.

Nafkah Isteri Dari Suami – Mazhab Syafie

Dalam menghuraikan pengertian makruf itu, Mazhab Imam Syafie berpendapat bahawa nafkah isteri perlu ditetapkan dengan kadar yang tertentu. Justeru, fuqaha Mazhab Shafie menetapkan kadar nafkah yang perlu diberikan suami yang kaya kepada isterinya ialah 2 mud (1 cupak) setiap hari.

Bagi suami yang miskin 1 mud dan bagi suami yang sederhana ialah 1½mud. Fuqaha Malikiyyah dan Ibn Qudamah berpendapat sebaliknya dengan mentakrifkan makruf pada nafkah isteri adalah dengan tidak menetapkan kadar tetapi berpandukan kifayah (kecukupan) isteri.

Menurut mereka, mewajibkan sesuatu yang mengurangi kifayah adalah meninggalkan perbuatan makruf dan sekiranya memenuhi tuntutan kifayah walaupun kurang daripada 1 mud, maka ia tetap termasuk dalam perbuatan makruf yang dituntut di dalam al-Quran dan al-sunah.

Cara Menetapkan Jumlah Nafkah Anak Selepas Bercerai

 jumlah nafkah anak selepas bercerai
Imej via [videoblocks]

Di dalam kalangan fuqaha Shafi’iyah yang lain seperti Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Sharbaji menjelaskan, jumlah nafkah anak selepas bercerai mestilah berdasarkan amalan masyarakat setempat dan semasa kadar itu ditentukan. Namun begitu, ulasan dan hujah fuqaha di atas diterima pakai dan dijadikan panduan mahkamah syariah dalam menentukan kadar nafkah anak-anak yang masih belum dapat mencari nafkah sendiri.

Selepas ditentukan keperluan anak-anak, mahkamah juga akan melihat kedudukan bapa dari segi kemampuannya menyediakan keperluan dharuriyyah berkenaan dari segi pendapatan bulanan gaji si bapa. Ketika membuat tuntutan kadar nafkah anak-anak, bekas isteri hendaklah menyediakan perincian lengkap berserta semua bukti perbelanjaan dan keperluan dharuriyyah itu.

jumlah nafkah anak selepas bercerai
Imej via [Arrisalah]

Di dalam seksyen 80 Enakmen pula memperuntukkan bahawa hak anak-anak terhadap nafkah akan terhenti apabila anak itu mencapai cukup umur 18 tahun tetapi seksyen ini juga membenarkan mahkamah, atas permohonan anak, atau orang lain untuk melanjutkan tempoh perintah nafkah tersebut bagi membolehkan anak tersebut menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi atau untuk mengikuti latihan lanjut.

Merujuk kepada kadar nafkah yang telah diperintahkan oleh mahkamah, dapat dinyatakan di sini bahawa sesuatu kadar nafkah yang telah diperintahkan oleh Mahkamah tidaklah kekal dan boleh diubah berdasarkan kepada kemampuan bapa, keperluan anak-anak tersebut dan taraf ekononomi semasa.

Peruntukan seksyen 67 Enakmen

Contoh kes yang berkaitan dengan perubahan nafkah ini, kes Fatimah v Shaikh Mohamed (1977) 1 JH(1) 39,  Mahkamah telah mempertimbangan taraf hidup di Kuala Lumpur dan berpendapat bahawa kadar lama sebanyak RM90 tidak mencukupi untuk menampung kehidupan anak itu dan telah menaikkan kadar nafkah kepada RM110 sebulan dan permohonan untuk mengubah perintah ini boleh dibuat oleh orang yang memberi nafkah, orang yang menerima nafkah dan bagi anak yang belum baligh, penjaganya.

jumlah nafkah anak selepas bercerai
Imej via [CompareHero]

Sekarang kita sudah mengetahui tentang panduan dan jumlah nafkah anak selepas bercerai, jadi hukum mengabaikan nafkah anak adalah berdosa besar kepada Allah S.W.T. Kepada para isteri, jika bekas suami anda tidak memberikan nafkah kepada anak- anak anda, anda boleh menfailkan rayuan di mahkamah syariah di tempat anda.

Ketahuilah mengabaikan nafkah anak ni akan sengsara di dunia dan menderita di akhirat kelak, wallahualam. Jemput baca 3 Golongan di Masyar, 12 Ayat Pengasih untuk suami dan 10 Foundation terbaik wanita.

Rujukan:

  1. sistersinislam
  2. esyariah
  3. jksnpp

Penulis: zulrina

Avatar

Penulis yang bekerjaya di rumah. Meminati dunia perniagaan, travel dan makanan.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.