Pernah tak anda berasa jiwa kosong? Hidup seolah-olah tiada lagi makna. Anda juga keliru dengan hala tuju hidup. Anda rasa nak lari jauh-jauh. Tak nak jumpa sesiapa. Semua orang seakan-akan tak memahami anda. Anda dah bosan dan putus asa.

Ada ketikanya anda tak boleh menerima kritikan dan gurauan melampau. Anda menjadi panas baran dan suka marah tanpa sebab. Wajah dah tak ceria seperti sebelumnya. Anda juga bertukar menjadi pendiam dan kurang bersosial.

Sebagai manusia, kita tak pernah sunyi dari masalah emosi dan jiwa. Setiap orang ada masalah yang tersendiri. Ada yang mempunyai masalah keluarga yang berpecah-belah, penceraian, kewangan, pekerjaan dan sebagainya.

Justeru sebagai manusia yang dikurniakan akal, kita mestilah bijak mengawal emosi. Jika gagal, anda akan mengalami masalah jiwa kacau yang menyebabkan tekanan. Dari perasaan marah, anda akan mula mencampakkan barang. Akhirnya, tanpa berfikir panjang anda akan mudah naik tangan.

Masalah jiwa kacau perlu ditangani dengan segera. Jika dibiarkan ia bukan saja mengganggu hubungan dengan orang lain tetapi kerohanian kita juga akan terjejas. Dikhuatiri jika anda berterusan bersikap sebegitu, anda akan mengambil jalan singkat untuk mencederakan diri.

Yang paling menakutkan anda bukan saja tak berfikir panjang untuk mengambil nyawa sendiri tapi juga orang lain. Justeru, dalam artikel ni penulis akan berkongsi 9 punca berlakunya masalah jiwa yang menyebabkan tekanan.

#1 Masalah Depresi

Korea merupakan negara yang tertinggi di dunia dalam kes bunuh diri akibat daripada depresi. Kenapa mereka sanggup tamatkan nyawa sendiri? Masalah depresi tak boleh dianggap ringan dan penghidapnya perlu mendapatkan rawatan sebelum melarat.

Depresi merupakan sebahagian daripada masalah mental. Namun, bukan bermakna semua penghidapnya gila. Masalah kebimbangan melampau, kemurungan dan ketegangan jiwa bukan istilah gila.

Penderaan sewaktu kecil, dibuli di sekolah, kecacatan anggota badan dan lemah dalam pelajaran antara sebab wujudnya masalah depresi. Lazimnya, mereka kurang bersosial, menyimpan perasaan dan lebih suka menyendiri.

#2 Dengki dengan Orang Lain

Sebagai manusia biasa, adalah sesuatu yang normal apabila kita bersikap cemburu. Kata orang cemburu tandanya sayang. Kita tak mahu kehilangan insan yang disayangi membuatkan hati menjadi cemburu. Namun, sikap cemburu berbeza dengan dengki.

Jika ada rakan yang lebih cantik, kaya dan pandai, kita mula tak senang duduk. Dari cakap-cakap belakang, kita mulalah menabur fitnah. Siang malam hanya cari idea untuk menjatuhkan orang tersebut. Macam mana hati nak tenang bila hati penuh dengan hasad?

#3 Rezeki yang tak Diredhai Allah

Rezeki yang kita cari dan belanjakan perlulah dari sumber yang halal. Mengambil harta anak yatim, makan rasuah dan riba merupakan dosa besar. Wang yang tak berkat tak akan kekal lama di tangan.

Walaupun banyak duit, hati tak akan tenang. Kita akan berasa sentiasa tak cukup dan masalah mula menimpa bertalu-talu. Akhirnya, jiwa akan menjadi kacau dan keliru. Kekayaan dengan cara begini tak akan buat manusia puas dan bahagia.

#4 Kurang Keyakinan Diri

Apabila kita berasa rendah diri yang keterlaluan, keyakinan dalam diri juga akan tergugat. Apabila anda seorang pekerja, jika ditegur majikan kerana tak puas hati dengan mutu kerja, anda mula tertekan.

Jika kurang cemerlang dalam pelajaran walaupun dah berusaha sehabis baik, kita akan mula membandingkan takdir dengan orang lain. Ada juga wanita yang lambat kahwin menyalahkan diri sendiri kerana mungkin berbadan besar, kurang cantik dan tak gebu.

Semua faktor seperti ni boleh mendorong seseorang untuk hilang keyakinan diri. Mereka takut nak menonjolkan diri, takut diejek dan dipinggirkan. Lama-kelamaan, jiwa mereka akan terus kosong dan menyimpan beban yang berat.

 #5 Terlalu Mengharapkan Kesempurnaan

Apabila melakukan sesuatu pekerjaan, kita mestilah buat yang terbaik. Namun, ada segelintir orang yang ada masalah personaliti Obsesif Kompulsif atau Obsessive Compulsive Personality Disorder (OCPD).

Mereka amat mementingkan ketelitian, kesempurnaan dan akan mengawal persekitaran serta orang lain mengikut kemahuan mereka. Apabila gagal mencapai piawaian yang diingini, mereka akan menjadi pemberontak, murung dan jiwa kacau.

#6 Terlalu Banyak Berfikir

jiwa-kacau

Imej via Bidadari

Apabila kita banyak berfikir sesuatu yang belum berlaku dan tak pasti pada masa akan datang, hati akan menjadi gusar. Ada orang yang terlalu risau memikirkan nasibnya pada masa akan datang misalnya tentang pekerjaan, jodoh, kewangan dan sebagainya.

Apabila keimanan mula goyah, kita akan berasa takut sepanjang masa. Takut akan dosa-dosa silam, takut menempuh kematian dan takut kehilangan harta. Apabila ada perkara buruk yang terjadi, mereka akan menyalahkan tuhan.

Disebabkan kerisauan melampau, mereka mula berburuk sangka dengan Allah. Mereka takut menghadapi hari-hari esok. Bila hidup dalam keadaan seperti ni, kita akan berasa lemas dalam kegelapan. Seolah-olah tak ada sinar di hujung jalan.

#7 Kurang Sabar

Seperti mana yang Islam tekankan dalam kehidupan seharian, sifat sabar adalah sebahagian daripada iman. Orang yang sabar membuat keputusan menggunakan akal dan bukannya hati. Mereka masih mampu tersenyum walau menghadapi pelbagai ujian.

Berbeza dengan orang yang terburu-buru, mereka lebih suka melakukan sesuatu tanpa berfikir panjang. Jika ada perselisihan faham misalnya, mereka tak akan duduk berbincang dengan baik-baik. Yang penting sakit hati dapat diluahkan.

#8 Tak Patuh Suruhan Agama

Apabila kita tak ikut suruhan agama seperti solat 5 waktu misalnya, jiwa akan terasa kosong. Dengan solat hati akan menjadi tenang, bahagia dan memberi impak positif dalam kehidupan.

Orang yang melanggar perintah Allah ni ialah orang yang tak takut pada Allah. Mereka berbangga dengan maksiat yang dilakukan. Solat dianggap beban yang mengganggu urusan harian.

Sebenarnya orang yang tak solat akan menghadapi banyak masalah, jiwa tak tenteram, cepat marah dan mudah terjerumus pada lembah hina. Jiwa yang kacau membuat mereka berasa ada ruang kosong dalam diri.

#9 Pendendam

Apabila ada masalah, kita disarankan untuk mengalah dan meminta maaf walau bukan kesalahan kita. Namun, ada orang yang sangat ego mengakui kesalahan mereka dan sanggup berdendam. Kesumat yang tersimpan dalam diri tak akan membuat diri tenang.

Walaupun kita marah dengan orang yang melukai hati kita, jadilah orang yang pemaaf. Tiada gunanya menyimpan dendam lama-lama kerana yang akan berterusan sakit ialah diri kita. Jika nak tenang, maafkan semua orang yang pernah buat salah pada kita.

Kesimpulannya, terdapat beberapa punca yang menyebabkan jiwa kacau. Jika anda mempunyai salah satu ciri dalam senarai yang diberikan, cubalah berusaha untuk berubah. Jika masalah jiwa kacau ni berlaku di luar kawalan, dapatkan rawatan daripada pakar.

Hidup yang singkat ni perlu dinikmati dengan sebaik-baiknya. Janganlah berterusan hidup tertekan sehingga mengganggu kualiti kehidupan. Minta sokongan moral daripada ahli keluarga dan sahabat handai untuk mengatasi masalah anda.

Jemput juga baca artikel tentang punca stress dan tips kenali diri sendiri

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.