Jiran, pastinya kita semua mempunyai jiran kecuali kalau kita hidup sendirian di dalam hutan. Hidup berjiran adalah sesuatu yang tak dapat kita elakkan Cuma ada yang manis dan ada juga yang pahit. Bertuah kalau dapat jiran yang baik namun kita akan sentiasa makan hati kalau dapat jiran yang tiada sifat tolak-ansur dan bertimbang-rasa.

Apabila membeli rumah atau mencari rumah sewa, biasanya kita melihat pelbagai aspek seperti harga rumah, lokasi rumah, keadaan rumah, kemudahan yang berdekatan dan sebagainya. Namun kebanyakan dari kita terlupa untuk menyelidik tentang jiran-jiran yang tinggal berhampiran. Padahal jiran memainkan peranan penting dalam menentukan kesejahteraan kita semasa tinggal di sana nanti.

Jom kita mengupas topik jiran dengan fokus kepada apakah yang dimaksudkan dengan jiran dan apakah kepentingan berjiran dalam hidup kita? Semoga bermanfaat.

jiran

Sumber: Al-Ustaz

Apakah yang dimaksudkan dengan jiran?

Dari sudut bahasa, menurut laman sesawang Wikipedia, jiran bermaksud orang yang tinggal berdekatan dengan rumah atau tinggal setempat (kawasan kejiranan) samada di kiri, dan kanan, hadapan atau belakang, atas dan bawah bagi rumah flat atau kondominium. Bagi penduduk setempat negeri Melaka, jiran boleh juga bermaksud sekumpulan masyarakat yang duduk berjauhan tetapi masih berhubung di dalam situasi tertentu.

Sementara menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, jiran bermaksud orang yang tinggal berhampiran dengan rumah sendiri; atau tetangga. Berjiran bermaksud tinggal berhampiran dengan; atau bertetangga: Contoh ayat:

Saya berjiran dengan Cik Kamariah.

"

Negara-negara yg berjiran haruslah berbaik-baik.

Dari sudut pandangan islam, konsep jiran adalah sedikit berbeza. Menurut ajaran islam, jiran bermaksud ahli-ahli keluarga dari 40 buah rumah setiap penjuru yang mengelilingi rumah individu. Ini adalah berdasarkan hadith berikut di mana Rasulullah telah bersabda bahawa:

“Empat puluh buah rumah tetap sebagai jiran tetangga”. ( Riwayat Abu Daud )

Berdasarkan hadith di atas, ia menunjukkan bahawa walaupun jarak daripada rumah seseorang diselangi 40 buah rumah, ia tetap dianggap sebagai jiran.

Manakala menurut Ali Ibn Talhah, jiran membawa maksud hubungan kekeluargaan atau pertalian darah. Jiran juga boleh dikatakan sebagai apabila penempatan itu dihuni oleh manusia yang lain yang juga tinggal berhampiran dengan rumah yang dihuni oleh kita.

Dalam islam, jiran pula terbahagi kepada tiga iaitu:

  • Jiran beragama Islam yang mempunyai pertalian darah
  • Jiran beragama Islam yang tidak mempunyai pertalian darah
  • Jiran bukan Islam.

Oleh itu, perkataan jiran membawa pelbagai maksud yang berbeza namun akhirnya menunjukkan kepada perkara yang sama iaiatu mereka yang tinggal berhampiran dengan rumah kita.

jiran

Sumber: Al-Ustaz

Apakah kepentingan jiran kepada kita?

Pastinya anda tertanya-tanya apakah kepentingan jiran kepada hidup kita sehingga kita disarankan untuk menghormati jiran dan menjaga hubungan dengan jiran terutamanya yang tinggal di sebelah rumah kita. Di antara kepentingan jiran ialah:

Bantuan paling cepat apabila kita dalam kecemasan

Siapakah orang yang paling dekat dengan kita? Pastinya jiran. Bukannya ibu bapa atau adik-beradik kita. Oleh itu apabila kita dilanda kecemasan, jiran adalah orang paling dekat yang boleh kita hubungi dan orang yang paling cepat sampai ke rumah kita. Itulah sebabnya kenapa kita perlu berbuat baik dengan jiran supaya jika kita berada dalam situasi kecemasan, boleh mengharapkan bantuan dari jiran. Jika kita bergaduh dan bermasam muka dengan jiran, anda rasa dia sudi membantu jika kita dalam kesusahan?

Membantu memerhatikan rumah semasa kita tiada

Kepentingan jiran yang seterusnya ialah mereka boleh tolong tengokkan rumah semasa kita tiada di rumah seperti pergi bekerja, balik kampung, atau bercuti. Jika kita menjaga hubungan baik sesama jiran, apabila ada yang meninggalkan rumah kosong, pastinya semua akan saling menjaga dan memerhatikan keadaan rumah. Bukankah ia sesuatu yang sangat baik?

Katalah kalau kita dilanda malang di mana rumah dipecah masuk, jiran-jiran yang prihatin pasti akan terus menghubungi polis dan memaklumkan kita sebaik sahaja menyedari kejadian tersebut. Kalau kita jenis menyombong dan suka menyakiti hati jiran, mungkin mereka akan buat tak endah walau pun terdapat tanda rumah kita dipecah masuk.

Saling menjaga anak-anak di kawasan kejiranan

Dewasa ini, jenayah terhadap kanak-kanak sangat menakutkan. Terlalu banyak kes culik, cabul, rogol, bunuh, dan sebagainya yang berlaku ke atas kanak-kanak. Salah satu kepentingan jiran ialah kita boleh saling menjaga dan memerhati keadaan anak-anak yang berada dalam kawasan kejiranan. Jika ada anak-anak yang berjalan terlalu jauh, ada yang akan menegur dan bawa pulang.

Jika ada kenderaan atau individu yang mencurigakan di kawasan kejiranan, pasti ada yang akan perasan memandangkan kita saling menjaga kawasan kejiranan kita.Percayalah bahawa ia boleh mencegah berlakunya perkara yang tidak diingini. Ini selari dengan pepatah “ Jiran sepakat membawa berkat “.

Malah jika ada anak remaja yang berkelakukan sumbang dan tidak senonoh diluar pengetahuan kedua ibu bapanya, di sinilah letaknya fungsi jiran. Jiran yang baik dan prihatin akan menegur perbuatan yang tidak baik itu dan akan memaklumkan kepada ibu bapanya. Ini bukannya perbuatan menjaga tepi kain orang tapi kita mempunyai rasa tanggung jawab untuk sama-sama menjaga anak-anak jiran seperti menjaga anak sendiri. Kita sendiri sebagai ibu bapa, kita tidak tahu semua aktiviti anak-anak semasa berada di luar pengawasan kita. Alangkah beruntungnya bila dapat jiran yang mengambil berat seperti ini.

Kesimpulan

Itulah dia perkongsian tentang maksud jiran dan kepentingan hidup berjiran yang perlu kita faham yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Semoga  kita semua dirahmati Allah dan dilimpahkan dengan keberkatan dan kasih sayang. Jika anda sukakan artikel ini,anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang panduan didik anak dan cara berkenalan mengikut islam.

Sumber:

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.