Pokok pandan merupakan pokok serbaguna yang mempunyai 1001 kegunaan bukan sahaja dalam masakan malah boleh digunakan untuk pelbagai kegunaan lain seperti mewangikan bilik, menyegarkan udara, malah sebagai satu petua untuk menghalau lipas dari rumah. Mungkin selama ini anda selalu membeli daun pandan di kedai kerana menyangka pokoknya susah untuk ditanam dan dijaga.

Yang sebenarnya menanam pokok pandan adalah sangat mudah. Malah menjaganya pun senang. Ianya boleh ditanam di dalam pasu kalau anda tinggal di rumah apartment yang tidak mempunyai tanah. Menarik kan? Istimewa untuk anda, hari ini kami akan kongsikan info tentang jenis pokok pandan dan petua tanam pokok pandan.

jenis pokok pandan
Sumber: Impiana

Jenis pokok pandan

Pokok pandan atau nama saintifiknya Pandanus amaryllifolius adalah sejenis pokok tropika. Pokok pandan berwarna hijau dan tumbuh menegak dengan daun panjang halus seperti bilah berjambak dan akar berkayu. Pokok pandan membiak melalui cara keratan, akar, anak benih sulur, dan anak pokok. Pokok pandan hanya berdaun dan tidak mempunyai bunga.

Terdapat dua jenis pokok pandan yang boleh dijumpai di Malaysia iaitu:

  • Pokok pandan biasa di mana pokoknya tinggi dan daunnya panjang serta berbau harum. Pokok pandan biasa ini adalah jenis yang biasa kita tanam di sekeliling rumah dan gunakan dalam masakan.
  • Pokok pandan wangi di mana pokoknya lebih rendah dan kecil berbanding pokok pandan biasa. Daunnya juga lebih pendek. Namun baunya berkali ganda lebih wangi berbanding daun dari pokok pandan biasa. Pokok pandan wangi biasanya ditanam secara komersial untuk kegunaan membuat kosmetik dan produk penjagaan muka. Ia tidak digunakan untuk masakan.

Cara tanam pokok pandan di dalam pasu

Pokok pandan akan hidup subur jika tumbuh atau ditanam di kawasan tanah yang lembab. Tak hairanlah kalau anda perasan di kampung biasanya pokok pandan kebanyakannya hidup segar di tepi longkang, paya. sungai, kolam, dan sebagainya. Ini kerana tanah yang lembab dan tinggi dengan bahan organik adalah jenis tanah yang paling sesuai dengan tumbuhan ini.

Jika anda ingin menanam pokok pandan di dalam pasu, berikut adalah langkah-langkah yang boleh anda lakukan:

  • Beli tanah dari nurseri. Terdapat pelbagai jenis tanah yang dijual di sana untuk anda pilih. Untuk menanam pokok pandan, sila pilih tanah yang kaya dengan bahan organik. Kemudian campurkan perlite ke dalam tanah tadi. Fungsi perlite ialah untuk memastikan tanah sentiasa berada dalam keadaan gembur, meningkatkan sistem pengudaraan di dalam tanah, dan dalam masa yang sama membantu tanah kekal lembab dalam tempoh yang lebih lama. Seperti yang kami nyatakan tadi, pokok pandan sukakan tanah yang lembab.
  • Dah dapat tanah? Sekarang tiba masa untuk memilih pasunya pula. Untuk projek menanam pokok pandan dalam pasu, kami cadangkan anda pilih pasu yang dibuat dari tanah liat memandangkan pasu dari tanah liat mempunyai sistem pengudaraan yang baik berbanding pasu dari bahan mentah yang lain. Selain itu, pilih pasu tanah liat yang berlubang di bawanhnya. Lubang dibawah pasu adalah sangat penting untuk menanam pokok pandan. Ini kerana pokok pandan sukakan tanah yang lembab, bukannya tanah yang bertakung dengan air. Jika anda memilih pasu yang tidak mempunyai lubang di bahagian bawahnya, air akan bertakung di dalam pasu lalu mengakibatkan akar pokok pandan mati akibat kereputan.
  • Pilih anak pokok yang telah matang untuk ditanam ke dalam pasu. Anak pokok yang matang bermaksud anak pokok yang mempunyai sekurang-kurangnya 3 urat akar di bahagian bawahnya. Pastikan anda menggunakan pisau yang bersih semasa memisahkan anak pokok dari induk. Pisau yang kotor akan meningkatkan risiko jangkitan kulat lalu menyebabkan pokok pandan anda mereput dan mati.
jenis pokok pandan
Sumber: Impiana
  • Untuk menanam pokok pandan, tanam anak pokok sehingga semua akarnya tenggelam di dalam tanah. Sokong dengan kayu kecil supaya pokok pandan berdiri tegak. Siram pokok sebaik sahaja ditanam dan letakkan di kawasan yang redup. Elakkan daripada meletakkan anak pokok pandan yangbaru ditanam di bawah matahari terik terutamanya matahari petang.
  • Anak pokok pandan perlu disiram sekali sehari. Apabila pokok sudah membesar anda cuma perlu menyiram dua kali seminggu. Mudah saja penjagaan pokok pandan. Namun pada musim panas sila periksa tanah di dalam pasu supaya tidak kering.
  • Kerja membaja dan menggembur tanah cuma perlu dilakukan sekali dalam dua minggu.

Petua agar pokok pandan hidup subur

Pastinya anda tertunggu-tunggu petua agar pokok pandan hidup subur dan sihat tanpa sebarang penyakit. Untuk menjaga pokok pandan kesayangan anda, berikut adalah petua yang boleh anda amalkan

  • Pruning atau memangkas. Rajinkan dirin anda untuk selalu melakukan pruning atau memangkas pokok pandan anda.  Tinggalkan hanya 3 tangkai sahaja.
  • Buang daun-daun kuning dan berpenyakit. Jangan dibiarkan melekat pada pokok kerana ia akan menjangkiti daun yang lain.
  • Apabila pokok pandan anda sudah mencapai ketinggian tiga kaki potong di pangkal dan biarkan tunas baru tumbuh.  Apabila tangkai pertama sudah mula berdaun, anda boleh potong pula tangkai kedua. Ulang untuk tangkai ketiga. Dengan cara ini anda akan mempunyai bekalan daun pandan sepanjang masa.
  • Akar pandan sangat aktif dan berjenis berserabut.  Jauhkan dari paip kumbahan kalau anda menanam di atas tanah. Jika menanam di dalam pasu tiada masalah.
jenis pokok pandan
Sumber: Keluarga

Itulah dia info tentang jenis pokok pandan dan petua tanam pandan yang boleh anda cuba. Lepas ni anda dah tak perlu beli daun pandan di kedai lagi. Jimat kan? Jika anda sukakan perkongsian kami tentang pokok pandan, anda dijemput untuk membaca artikel kami tentang pokok dukung anak, idea pokok hiasan dalam rumah, dan khasiat pokok bunga telang.

Sumber:

  • Cara mudah Tanam Pokok Pandan dalam Pasu Yang Menajdi. Impiana

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.