Kehadiran orang baru adalah saat yang paling membahagiakan bagi seorang wanita yang bergelar ibu.

Namun, ada sesetengah wanita yang tidak bernasib baik, mengalami masalah kemurungan selepas bersalin. Kali ini kami akan berkongsi tentang 3 jenis kemurungan selepas bersalin dan simptom-simptomnya.

kemurungan selepas bersalin

Sumber: Ernestoeslava

Apa yang dimaksudkan dengan kemurungan selepas bersalin?

Kemurungan selepas bersalin atau istilah bahasa inggerisnya postpartum depression adalah satu keadaan di mana seorang ibu yang baru bersalin mengalami kemurungan. Dalam masyarakat melayu, keadaan ini juga dipanggil sebagai meroyan.

Kemurungan selepas bersalin mungkin berlaku disebabkan oleh faktor-faktor yang berikut:

  • Trauma akibat kesakitan bersalin yang melampau
  • Trauma akibat tempoh sakit bersalin yang terlalu panjang
  • Trauma akibat komplikasi semasa bersalin
  • Trauma akibat kegagalan bersalin secara normal tanpa sebarang bantuan perubatan
  • Berpantang tanpa suami di sisi
  • Dipaksa berpantang secara tradisional dan terlalu strict
  • Tidak cukup rehat semasa tempoh berpantang
  • Ketiadaan sokongan dari orang sekeliling dari segi emosi & fizikal sepanjang tempoh berpantang

Apakah tanda awal kemurungan selepas bersalin?

Bagi wanita yang mengalami kemurungan selepas bersalin, kebiasaannya akan mempamerkan simptom atau tanda-tanda awal sebelum kemurungan menjadi semakin teruk. Di antara tanda awal kemurungan selepas bersalin yang biasa dikesan adalah:

  • Insomnia

Insomnia atau masalah susah untuk tidur adalah di antara tanda awal kemurungan selepas bersalin yang paling kerap berlaku. Tidak dinafikan, ibu yang baru melahirkan kebiasaannya tidak akan mendapat tidur yang cukup memandangkan tubuh badan masih berasa sakit akibat proses bersalin dan berada dalam proses pemulihan dari tempoh mengandung.

Ditambah lagi dengan kepenatan menjaha bayi yang menyusu badan dan kerap terjaga. Namun secara normalnya, apabila ada peluang untuk tidur, ibu yang baru melahirkan akan tidur untuk mendapatkan rehat yang diperlukan. Namun bagi ibu yang mengalami kemurungan selepas bersalin, mereka tidak akan dapat tidur walau pun ada kelapangan.

Masalah insomnia yang tidak dirawat akan menjadi semakin teruk jika dibiarkan dan mengakibatkan berlakunya simptom kedua di bawah.

  •  Rasa tidak sihat

Akibat insomnia yang menyebabkan kesukaran untuk tidur, ibu yang baru bersalin akan mula berasa tidak sihat badan dan mengalami keadaan-keadaan berikut:

  1. Loya
  2. Mual
  3. Muntah-muntah
  4. Sakit belakang
  5. Sakit badan
  6. Sakit kepala
  7. Sakit perut
  8. Serangan panik.

Oleh itu, para suami dan penjaga semasa berpantang perlu memberi perhatian sekiranya ibu yang baru melahirkan mengalami simptom di atas.

  • Berfikiran negatif

Tanda awal kemurungan selepas bersalin yang seterusnya ialah ibu akan mula berfikiran negatif & memikirkan perkara yang bukan-bukan. Mereka akan berasa bimbang, takut, risau, tidak senang, sensitif, sedih, marah, dan kecewa tanda apa-apa sebab.

Sebagai seseorang yang paling rapat, anda perlu melakukan sesuatu apabila mendapati simptom ini ada pada seorang ibu yang baru melahirkan.

  • Rasa lapar berpanjangan

Tanda awal kemurungan selepas bersalin yang seterusnya ialah sentiasa berasa lapar. Ibu yang baru melahirkan kebiasaannya akan berasa lapar terutamanya bagi yang menyusukan bayi, lebih-lebih lagi bayi lelaki yang menyusu lebih banyak & kerap daripada bayi perempuan.

Namun kelaparan yang berpanjangan adalah sesuatu yang tidak normal dan ia adalah salah satu simptom kemurungan selepas bersalin. Jika anda mendapati bahawa nafsu makan anda terlalu tidak terkawal, ia adalah tanda yang perlu anda perhatikan.

kemurungan selepas bersalin

Sumber: Vix

  • Menjadi seorang yang pelupa

Pernah dengar orang kata, ibu yang baru melahirkan kebiasaannya akan menjadi seorang yang pelupa? Yang sebenarnya menjadi pelupa adalah salah satu daripada tanda awal kemurungan selepas bersalin. Masalah pelupa berlaku kerana anda tidak mendapat tidur & rehat yang secukupnya serta gangguan perasaan yang tidak terkawal.

Di antara contoh pelupa yang biasa dialami ialah kegagalan untuk melakukan dua kerja dalam satu masa. Anda juga mungkin terlupa pukul berapa kali terakbir bayi anda menyusu. Menjadi seorang yang pelupa bukanlah sesuatu yang normal, ia adalah di antara tanda kemurungan selepas bersalin yang wajib anda perhatikan.

  • Berasa hidup tidak bermakna

Tanda kemurungan selepas bersalin yang seterusnya ialah berasa seolah-olah hidup tidak bermakna. Anda akan berasa hidup terlalu kosong dan memenatkan. Anda tidak mahu ada lagi di dunia ini. Anda tidak berasa bahagia apabila memikirkan tentang suami & bayi yang baru dilahirkan.

Keadaan paling teruk bagi keadaan ini ialah perasaan untuk mati kerana memikirkan tiada gunanya lagi untuk meneruskan kehidupan. Jika anda merasai keadaan ini, segera dapatkan bantuan.

  • Kemarahan melampau yang tidak dapat dikawal

Kemarahan melampau yang tidak dapat dikawal merupakan satu lagi tanda kemurungan selepas bersalin yang perlu diperhatikan. Kemarahan yang dimaksudkan ialah kemarahan yang tidak normal. Sebagai contoh, oleh kerana perkara kecil sahaja, anda mula mengamuk, memecahkan barang, dan menjerit seperti orang hilang akal.

Kebiasaannya kemarahan melampau yang berlaku adalah berkaitan dengan bayi anda. Anda akan mengamuk setiap kali bayi menangis meminta susu. Anda akan mengamuk dan enggan menyusukan bayi anda yang sedang kelaparan.

  • Tidak ada perasaan sayang kepada bayi yang baru dilahirkan

Perasaan marah yang melampau dan tidak dapat dikawal yang kami sebutkan di atas akan menyebabkab berlakunya tanda kemurungan selepas bersalin yang berikutnya iaitu tiada peradaan sayang kepada bayi yang baru dilahirkan.

Anda akan melalui satu perasaan di mana anda berasa benci kepada bayi anda. Anda tidak mempunyai keinginan normal seorang ibu untuk memeluk, mengusap, dan membelai bayi anda dengan penuh kasih sayang. Malah anda memilih untuk menjauhkan diri daripada bayi dan membiarkan apabila ia menangis.

kemurungan selepas bersalin

Sumber: Scarymommy

3  jenis kemurungan selepas bersalin dan perbezaannya

Dari segi perubatan, kemurungan selepas bersalin terbahagi kepada 3 jenis iaitu postpartum blues, postpartum depression, postpartum psychosis. Berikut adalah perbezaan di antara ketiga-tiga jenis kemurungan selepas bersalin tersebut:

1. Postpartum Blues

Postpartum blues adalah jenis kemurungan selepas bersalin yang paling kerap berlaku. Ia dikategorikan sebagai kemurungan selepas bersalin peringkat pertama dan dianggap sebagai tekanan emosi pada tahap sederhana dan tidak terlalu serius.

Ibu baru bersalin yang mengalami postpartum blues akan mengalami keadaan di mana berakunya perasaan murung selepas bersalin. Namun kemurungan tersebut masih boleh dikawal. Ibu yang mengalami postpartum blues akan mengalami perasaan seperti:

  • Berasa sayu secara tiba-tiba tanpa sebab
  • Selalu bersedih walau pun tiada punca
  • Berasa letih akibat kurang tidur dan kurang rehat
  • Perasaan bimbang kalau tiba-tiba bayi berhenti bernafas
  • Rasa tidak senang hati seolah-olah ada perkara buruk yang akan berlaku

Kebiasaannya, bagi ibu baru bersalin yang mengidap postpartum blue, simptom ini akan hilang dengan sendiri asalkan mendapat sokongan daripada suami & mereka yang terdekat.

2. Postpartum Depression

Postpartum depression adalah peringkat kedua dalam kemurungan selepas bersalin. Ia akan berlaku sekiranya postpartum blues yang dialami tidak dikawal dan dibiarkan melarat menjadi semakin buruk. Kebiasaannya ia berlaku kerana kegagalan suami & orang terdekat untuk membantu ibu yang baru melahirkan untuk keluar dari postpartum blues yang dialami.

Selain kegagalan untuk mendapat bantuan dan sokongan dari orang keliling, dari segi perubatan, postpartum depression juga berlaku kerana kecelaruan hormon yang terlampau dalam badan ibu yang baru melahirkan. Ibu yang mengalami postpartum depression akan mengalami tanda-tanda yang berikut :

  • Terlebih sensitif daripada normal
  • Menangis tanpa sebab dan sukar untuk berhenti
  • Selalu marah dan risau tanpa sebab
  • Terlampau letih walau pun sudah mendapat tidur dan rehat secukupnya
  • Tidak boleh tidur
  • Terlalu banyak tidur
  • Tiada rasa sayang kepada bayi dan tidak mahu dekat dengan bayi

Postpartum depression adalah keadaan yang boleh dianggap sebagai serius dan jika dibiarkan, ibu tersebut akan masuk ke peringkat ketiga kemurungan selepas bersalin iaitu postpartum psychosis.

3. Postpartum Psychosis

Postpartum psuchosis adalah keadaan di mana seorang ibu yang baru melahirkan mengalami masalah tekanan mental. Ia adalah tahap ketiga dalam kemurungan selepas bersalin dan merupakan keadaan yang paling serius. Di antara simptom yang ditunjukkan oleh pengidap postpartum psychosis adalah:

  • Selalu bercakap tentang keinginan untuk membunuh diri
  • Adanya cubaan untuk mencederakan bayi
  • Berfikir yang bukan-bukan
  • Mendengar suara ghaib yang memberikan arahan untuk mencederakan diri sendiri atau bayi
  • Berhalusinasi
  • Suka bercakap seorang

Postpartum psychosis adalah masalah tekanan mental dan wajib diberikan bantuan perubatan bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini.

kemurungan selepas bersalin

Sumber: aneweratms

Itulah dia simptom-simptom kemurungan selepas bersalin yang wajib anda ketahui. Anda ada simptom di atas? Segera dapatkan bantuan.

Rujukan: Theasianparent

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.