Orang Melayu kaya dengan adat. Ini termasuklah dalam urusan peminangan dan perkahwinan. Ada tiga langkah utama yang sering dilakukan dalam masyarakat Melayu yakni merisik, bertunang dan juga berkahwin. Dan ketiga-tiga acara untuk peminangan ini akan memerlukan cincin. Setiap jenis cincin dalam perkahwinan ini sering dijadikan sebagai simbolik dalam sesuatu acara yang melibatkan peminangan.

jenis cincin dalam perkahwinan

image via : Angsa Emas

Jenis Cincin Dalam Perkahwinan Untuk Masyarakat Melayu

Terdapat 3 jenis cincin dalam adat perkahwinan melayu ini iaitu :

  • cincin belah rotan untuk merisik
  • cincin tunang
  • cincin nikah

#1 – Cincin Belah Rotan Untuk Merisik

Cincin belah rotan ini bermaksud cincin yang sangat simple dan ringkas. Ia dipanggil cincin belah rotan bukannya disebabkan diperbuat daripada rotan. Ia masih juga cincin  daripada emas cuma reka bentuknya sangat ringkas tanpa sebarang batu, berlian mahupun permata.

Mudah cakap, cincin belah rotan ini adalah cincin emas kuning kosong biasa yang sangat ringka. Harganya pun lebih murah berbanding cincin tunang dan juga cincin nikah. Jika pergi ke kedai emas, sebut cincin belah rotan memang setiap kedai emas tahu cincin bagaimana yang diperlukan. Tapi awas, jangan pula di beli cincin belah rotan dari jenis emas putih kerana takut nanti pihak pengantin perempuan tersalah anggap yang itu adalah cincin diperbuat dari perak.

Tujuan merisik ini adalah untuk bertanyakan sama ada bakal pengantin perempuan itu masih belum ada yang punya ataupun belum. Sudah bersedia untuk menjadi seorang isteri atau tidak.

jenis cincin dalam perkahwinan

image via :  Halo Sugar

 

"

Ia juga bagi menyampaikan hasrat pada bakal pengantin perempuan termasuk ahli keluarganya sekali bahawa saat itu ada seorang lelaki ingin menyunting si perempuan tersebut. Maka jika setuju cincin akan disarung sebagai tanda awal sebelum rombongan pertunangan di hantar pada tarikh yang dibincangkan.

#2 – Cincin Bertunang

Ada juga dikalangan pasangan yang tidak mahu merisik sebaliknya ingin terus bertunang. Keadaan ini selalunya berlaku pada pasangan yang memang sudah saling kenal mengenali. Jodoh pilihan sendiri maksudnya. Jadi alang-alang dah suka sama suka maka tak perlulah nak di risik-risik sebaliknya boleh saja terus ke acara pertunangan.
Untuk cincin bertunang ini. rupa cincin tersebut lebih cantik dan menarik daripada cincin belah rotan tadi. Jika cincin tunang zaman 90an dulu, cincin tunang ini biasanya tidak berbatu cuma lebih besar dan cantik daripada cincin merisik.
Sebaliknya di zaman yang semakin canggih ini, cincin bertunang turut dinaiktaraf. Zaman sekarang ramai pasangan yang suka memilih cincin tunang dengan letakan batu kecil sejajar. Cincin ini turut dikenali sebagai Eternity ring. Dengan adanya batu begini maka tak kisahlah sama ada ingin cincin yang diperbuat daripada warna emas kuning ataupun emas putih. Selalunya harga cincin tunang berharga dari RM500 dan ke atas mengikut jenis design dan saiz.
Perlukah cincin tunang bagi lelaki? Untuk pengetahuan, cincin tunang untuk lelaki tidak perlu tetapi sekiranya pihak pengantin perempuan nak sediakan sebagai hadiah, itu tidak menjadi masalah.
jenis cincin dalam perkahwinan

image via : Erin Sakura

 

#3 – Cincin Nikah

Cincin nikah adalah yang paling grand sekali berbanding dengan cincin merisik dan juga cincin bertunang. Sesuailah dengan majlis pernikahan itu sendiri yang jauh lebih penting daripada majlis merisik dan juga pertunangan. Selalunya cincin perkahwinan dibeli dengan letakan batu di atasnya. Tidak kisahlah hanya berbatu satu yang agak besar ataupun batu kecil-kecil yang agak banyak.

Untuk zaman sekarang, cincin kahwin banyak di pilih dari jenis emas putih dengan letakan batu berlian di atasnya. Cincin sebegini dikenali sebagai Solitaire ring.

Ada juga cincin kahwin yang di tempah khas secara berpasangan untuk si pengantin lelaki dan si pengantin perempuan. Pemakaian cincin yang sedondon begini sering di pilih dengan cincin perempuan dari emas putih dan cincin si lelaki dari perak bermutu tinggi ataupun platinum.

jenis cincin dalam perkahwinan

image via : Wedpedia

Kenapa Cincin Penting Dalam Urusan Perkahwinan?

Cincin ini sering digunakan sebagai simbolik kepada sebuah pakatan janji di antara pihak bakal pengantin lelaki dan juga pihak bakal pengantin perempuan. Malah dalam agama Islam itu sendiri amat melarang mana-mana perempuan yang telah ditunangkan untuk menerima lelaki lain di dalam hidupnya. Dalam istilah lebih mudah, si perempuan yang telah bertunang ini tidak boleh berlaku curang kepada bakal suaminya.

Ikatan pertunangan ini juga merupakan sebuah janji untuk menyatukan dua buah keluarga dan jika berlaku apa-apa yang tidak sepatutnya maka tindakan lanjut boleh di ambil. Malah pernah terjadi kes putus tunang yang turut di bawa sehingga ke mahkamah disebabkan oleh sesuatu peristiwa hingga timbul rasa malu.

Untuk urusan pernikahan, cincin ini digunakan dalam acara membatalkan air sembahyang. Jika kebetulan tak nak cincin maka boleh saja digunakan barangan emas yang lain seperti rantai leher, rantai tangan dan gelang tangan.

4 Panduan Memakai Cincin Risik dan Cincin Tunang Untuk Wanita

Ini cara yang betul untuk memakai cincin tunang dan risik untuk bakal si pengantin perempuan yang sudah dilamar orang. Ada empat pilihan cara memakainya dan terpulanglah nak pakai dengan cara yang mana satu.

  1. Cincin tunang pakai di jari manis kanan dan cincin merisik pakai di jari manis kiri
  2. Cincin tunang pakai di jari manis kanan dan cincin merisik pakai di jari tengah kanan
  3. Cincin tunang pakai di jari manis kanan dan cincin merisik pakai di jari kelingking kanan
  4. Cincin tunang dan cincin merisik ke dua-duanya pakai secara bertindih di jari manis kanan
jenis cincin dalam perkahwinan

image via : Wedpedia

Cincin Ini Hanyalah Adat Maka Janganlah Hingga Tahap Menyusahkan

Paling penting kena ingat yang cincin ini hanyalah sekadar adat. Jika diikutkan ajaran dalam Islam, sebut akad dan lafaz itu adalah yang paling penting sekali. Maka janganlah si pengantin perempuan meminta cincin yang agak keterlaluan saiz dan harganya hingga boleh menyusahkan diri bakal si pengantin lelaki.

Lebih afdal berikan kuasa membeli cincin ke atas si pengantin lelaki hanya dengan memberitahu saiz kerana cincin itu sendiri adalah hadiah yang ingin di beri sebagai tanda cinta, kasih, sayang dan sebuah tanggungjawab yang bakal di pikul.

Penulis: Siti Awadah

Siti Awadah

Minat menulis untuk pelbagai topik seperti kesihatan, keibubapaan, perhubungan, kecantikkan, makanan, travel, Islamik dan sebagainya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.