Siapa tidak tahu bahawa baju kurung adalah pakaian tradisional Melayu yang dimaksudkan sebagai ‘pakaian tertutup’ oleh masyarakat Melayu terdahulu.  Ia merupakan sejenis baju kebangsaan Malaysia yang juga sering digunakan untuk upacara rasmi.

Baju kurung tradisional adalah lebih labuh dan longgar berbanding dengan baju kurung moden.  Baju kurung ini telah dipopularkan pada abad ke-19 oleh Sultan Johor pada masa itu iaitu Sultan Abu Bakar. Baju kurung juga telah dilaporkan menjadi sangat popular semasa Islamisasi Malaysia pada tahun 1970 an dan 1980 an. 

Terdapat banyak jenis baju kurung tradisional di Malaysia. Jom kita lihat satu persatu.

1.  Baju Kurung Sarawak

jenis baju kurung

Imej via [carousell]

Keindahan pakaian jenis baju kurung dari Sarawak terserlah dengan hiasan kreatif yang mempamerkan kemahiran menghiaskan corak menggunakan tangan. Corak hiasan pada baju kurung ini membentuk motif-motif etnik sama ada daripada tenunan, jalinan manik dan labuci. Paling penting sekali, ia seringkali menggunakan kain songket.

2.  Baju Kurung Negeri Sembilan

jenis baju kurung

Imej via [maruwiah]

Negeri Sembilan amat kaya dengan budaya kesenian dari segi pertukangan sehinggalah kepada pakaian yang cantik-cantik. Biasanya kaum wanita di sana gemar mengenakan baju Kurung Negeri Sembilan. Jenis Baju Kurung ini sama seperti Baju Kurung Teluk Belanga dan Kebaya labuh yang dipadankan pula dengan kain sarung. 

Bagi wanita bangsawan yang berketurunan Minangkabau, pakaian baju kurungnya diperbuat daripada kain baldu bersulam benang emas yang bertatahkan labuci. Kain sarungnya pula diperbuat dari kain songket penuh yang ditenun khas dari Pandai Sikek atau dari Batu Bara di Sumatera

"

3.  Baju Kurung Kedah

jenis baju kurung

Imej via [shopee]

Baju Kurung Kedah dipercayai berasal dari Selatan Thailand.  Jenis baju kurung ini menyerupai baju blaus pendek yang dibuat singkat sampai ke paras punggung. Jika anda lihat sendiri, jenis baju kurung ini amat menyerupai baju blaus di selatan Thailand bukan? 

Baju Kurung Kedah merupakan jenis baju kurung yang longgar dan diperbuat daripada kain kapas (cotton) yang berbunga kecil atau kain kasa tebal atau nipis yang jarang. Namun, bergantung kepada corak yang dipilih. Di bahagian leher pula, dibuat bentuk potongan bujur sireh. 

Baju Kurung Kedah biasanya dipakai bersama kain sarung. Kain sarung tersebut diikat secara ambak mengalur dan di masuk sebelah kiri atau kanan kain. Baju Kurung Kedah boleh disifatkan sebagai pakaian seharian ataupun sebagai pakaian basahan.

4.  Baju Kurung Perak

jenis baju kurung

Imej via [facebook]

Jenis baju kurung ini sukar untuk dilihat pada masa kini. Biasanya baju kurung ini dipakai oleh puteri di perak pada zaman dahulu. Reka bentuk baju kurung ini juga amat berbeza daripada baju kurung yang lain kerana ia perlu dipakai dengan seluar dan sampin.

Rekaan baju kurung ini juga mempunyai persamaan dengan baju kurung cekak musang kerana memiliki kolar di bahagian leher.

5.  Baju Kurung Pahang

jenis baju kurung

Imej via [carousell]

Jenis Baju Kurung ini dikenali sabagai Baju Kurung Riau Pahang. Baju kurung ini dikatakan sebagai simbolik menyingkap sejarah pertalian antara kedua negeri Riau dan Pahang.

Walaupun dua negeri ini adalah berjauhan, hubungan politik dan sosial budaya yang terjalin sewaktu zaman kerajaan Melayu Melaka terserlah. Dengan keutuhan tersebut, maka terciptalah jenis baju kurung ini yang juga dikenal sebagai Baju Belah atau Baju Kebaya Turki.

Berbeza dengan pesak jenis baju kurung, kedua-dua bahagian tepi Baju Kurung Riau Pahang adalah jenis berpesak bunga yang disambungkan dengan kekek gantung. Baju ini amat sangat menarik sekali dipakai dengan butang yang ganjil bilangannya iaitu tujuh atau sembilan biji butang.

6.  Baju Kurung Melaka

jenis baju kurung

Imej via [my-baju]

Pakaian tradisional wanita Melayu Melaka pula selesa mengenakan jenis baju kurung teluk belanga. Uniknya, baju kurung ini diubah dengan gayanya yang tersendiri. Baju kurung ini diubah dengan mempunyai hiasan dada dihiasi dengan sibar layang dari baldu beserta manik dan labuci.

7.  Baju Kurung Cekak Musang

jenis baju kurung

Imej via [habra]

Baju kurung Cekak Musang ini lebih kurang seperti jenis baju kurung teluk belanga. Namun ianya berbeza pada struktur gaya lehernya, tengkuk cekak tinggi atau leher tegak. Jenis baju kurung ini dipercayai menerima potongan daripada pengaruh gaya India dan China.

8.  Baju Kurung Teluk Belanga

jenis baju kurung

Imej via [bloggengikom]

Baju kurung ini juga dikenali sebagai salah satu jenis baju kurung Johor. Baju kurung ini mula diperkenalkan semasa zaman pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar. Baginda menetapkan supaya baju perempuan labuhnya sampai ke bawah lutut, alas lehernya dijahit halus dan tidak mempunyai kocek atau poket.

Kini, perbagai jenis modifikasi dan pengubahsuaian telah dilakukan oleh para pereka fesyen yang selari dengan perubahan fesyen masa kini.

9.  Baju Kurung Johor

jenis baju kurung

Imej via [zalora]

Jenis baju kurung ini mula diperkenalkan semasa pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar juga. Ianya terjadi ketika baginda bersemayam di Teluk Belanga sebelum berpindah ke Tanjung Puteri. Terdapat pelbagai bentuk sulaman baju kurung Johor iaitu mata lalat, tulang belut dan insang pari.

Sewaktu pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, baginda telah mengubah rekaan baju kurung tersebut seperti Allahyarham Jaafar bin Haji Muhammad. 

Antara yang digubah oleh baginda pada baju kurung tersebut adalah ditambah kocek dan mengenakan kain bersusun di sebelah kiri. Baju kurung ini amat popular dalam kalangan masyarakat Johor dan dipakai pada hari perayaan dan apabila menghadiri pelbagai majlis tertentu.

 

10.  Baju Kurung Pesak

jenis baju kurung

Imej via [linazlina]

Baju kurung pesak merupakan jenis baju kurung tradisional Johor. Baju kurung ini mengenakan potongan klasik yang mula-mula dipakai oleh semua wanita Melayu.

Apa yang membezakan rekaan baju kurung ini dengan rekaan yang lain adalah baju kurung ini mempunyai potongan pesak di bahagian kiri dan kanan baju.

Itulah dia jenis baju kurung tradisional di Malaysia yang harus anda kenali. Jom baca juga tips pilih baju pengantin, Idea penyangkut baju dan Kisah baju raya anak Saidini Umar Al Khattab.

Rujukan

  1.  Jenis-jenis Baju Kurung.  https://jejarum.wordpress.com/2017/08/07/jenis-jenis-baju-kurung/
  2. Jenis Baju Kurung yang anda harus ketahui.  https://alaf21.com.my/info-artikel/532/jenis-baju-kurung-yang-anda-harus-ketahui
  3. Jenis-Jenis baju kurung tradisional.  https://iolacaviarofficial.blogspot.com/2014/11/jenis-jenis-baju-kurung-tradisional.html

Penulis: zulrina

Avatar

Penulis yang bekerjaya di rumah. Meminati dunia perniagaan, travel dan makanan.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.