Jangkitan kuman pada faraj merupakan masalah yang sering mengganggu wanita. Hendak berbincang dengan adik beradik sendiri, mak mahupun rakan perempuan, seakan-akan tak mampu diluahkan. Nak tak nak terpaksa simpan sendiri perasaan tak selesa dan kesakitan tersebut.

Isu berkaitan ‘dalam kain’ merupakan hal yang sangat peribadi dan tabu bagi kebanyakan wanita. Jadi, penulis dengan berbesar hati ingin berkongsi kepada pembaca sekalian tentang topik jangkitan kuman pada faraj.

Seperti yang kita sedia maklum, Miss V wanita sangat sensitif dan mudah terkena jangkitan kuman. Masalah ni dipanggil vaginitis. Vaginitis adalah keadaan di mana faraj menjadi bengkak disebabkan beberapa faktor.

Penyebab utama yang menyebabkan vaginitis ialah bakteria, kulat dan parasit. Lazimnya, penyakit ni berlaku akibat pembiakan keterlaluan atau ketidakseimbangan jumlah bakteria baik yang terdapat di faraj.

Jenis-Jenis Jangkitan Kuman Pada Faraj

Di bawah ni ialah senarai jenis vaginitis yang kerap berlaku dalam kalangan wanita, iaitu:

Atrophic vaginitis

Jenis vaginitis ni berlaku apabila lapisan mukosa faraj menjadi nipis akibat penurunan tahap estrogen selepas menopaus. Ini menyebabkan faraj mudah mengalami kerengsaan dan menjadi merah lalu bengkak.

Selain itu, wanita yang telah menjalani pembedahan membuang kedua-dua ovari juga berisiko mendapat jangkitan ni. Ini kerana kadar estrogen yang menurun selepas pembedahan dilakukan.

Bakteria vaginosis

Secara normalnya, di kawasan faraj terdapat bakteria baik yang dipanggil lactobacillus. Apabila kita kerap mencuci kemaluan dengan sabun, wangian atau douching, ni menyebabkan populasi bakteria baik tersebut berkurangan. Ini menyebabkan bakteria lain membiak di sekitar faraj.

Vaginal candiasis

Vaginal candiasis yang juga dikenali sebagai jangkitan yis. Ia disebabkan oleh sejenis kulat yang dipanggil candida albicans. Kulat ni wujud secara semula jadi di dalam faraj wanita tetapi populasinya sedikit saja dan tak mendatangkan sebarang masalah.

Apabila berlaku perubahan pada ekosistemnya, ia boleh membiak sehingga menyebabkan vagina dan vulva membengkak. Ia boleh menjangkiti semua wanita terutamanya wanita yang hamil, wanita berumur 30 hingga 50 tahun dan yang lemah sistem imunnya.

Trichomoniasis

Jangkitan ni berlaku disebabkan sejenis parasit yang dipanggil trichomonas vaginalis. Ia merupakan sejenis penyakit kelamin. Kebanyakan pesakit tiada sebarang simptom, namun ada juga wanita yang akan keluar lendir kuning atau kehijauan, gatal dan bengkak di bahagian faraj.

Punca Jangkitan Kuman Pada Faraj

Jangkitan faraj juga boleh berlaku disebabkan jangkitan organisma lain seperti gonorrhea, chalmydia, mycoplasma, herpes, parasit dan compylobacter.

Masalah jangkitan faraj juga berpunca disebabkan oleh:

  1. Kurangnya menjaga kebersihan di bahagian kemaluan.
  2. Cara membersihkan kemaluan yang salah iaitu mengelap dari arah dubur ke faraj.
  3. Melakukan seks rambang tanpa perlindungan.
  4. Gangguan keseimbangan hormon.
  5. Wanita yang stres dan mengalami tekanan
  6. Pengambilan ubat-ubatan seperti antibiotik, pengambilan pil perancang, pengambilan dos steroid yang tinggi dan sebagainya.
  7. Wanita yang menghidap diabetes, AIDS, kanser dan sebagainya.
  8. Wanita yang mengalami obesiti
  9. Kekurangan zat makanan

Gejala Jangkitan Kuman Pada Faraj

Simptom normal yang berlaku kepada wanita yang mengalami jangkitan kuman ialah rasa gatal, panas dan sakit semasa melakukan hubungan seksual. Selain tu, kita akan berasa tak selesa, sakit semasa kencing dan berlakunya kerengsaan di faraj.

Disebabkan faraj ialah kawasan yang diselaputi oleh mukosa, maka lelehan biasa yang keluar adalah berwarna jernih, putih dan tak berbau. Namun, jika cairan yang keluar tu berwarna putih kekelabuan dan berbau hanyir. Malah, bau tu semakin kuat selepas melakukan hubungan seksual maka ia ialah jangkitan bacterial vaginosis.

Jika lelehan yang keluar berwarna putih pekat dan berketul-ketul seperti keju dan menyebabkan kegatalan, ia ialah vaginal candiasis. Manakala, cairan yang keluar berwarna kehijauan dan berbuih ia disebabkan parasit trichomoniasis.

Malahan, simptom yang lain ialah bengkak dan kemerahan pada bibir kemaluan sehingga merebak ke dalam faraj. Malahan, faraj juga akan mengeluarkan bau hanyir yang kurang menyenangkan. Ada juga kes di mana keluar titisan darah yang dipanggil spotting.

Cara Rawatan Jangkitan Kuman Pada Faraj

Bagi mengatasi masalah ni, wanita yang mengalami jangkitan faraj perlulah mendapatkan rawatan dan pemeriksaan doktor. Biasanya ubat pesari vagina, ubat pil antikulat, antibiotik, pil vagina dan krim akan diberikan.

Doktor akan meminta maklumat tentang jenis cairan, warna dan bau yang keluar daripada faraj. Oleh itu, maklumat yang diberikan haruslah tepat untuk memudahkan diagnos penyakit tersebut. Maklumat lain yang sering ditanya ialah tentang aktiviti seksual dan simptom yang berkaitan.

Selain itu, langkah pencegahan juga perlu dilakukan oleh wanita yang berisiko mendapat jangkitan pada faraj. Antaranya ialah:

1. Memakai pakaian dalam yang longgar, diperbuat daripada kapas. Elakkan kain sintetik.

2. Pastikan faraj sentiasa bersih dan kering. Lap faraj dari arah depan ke belakang bagi mengelak pemindahan bakteria.

3. Jangan amalkan seks bebas. Pastikan memakai kondom untuk elakkan jangkitan penyakit kelamin.

4. Wanita yang berusia 25 tahun ke atas disarankan melakukan ujian pap smear setiap 2 tahun sekali.

5. Makanan seperti yogurt atau minuman yang mengandungi kultur hidup dapat membantu mengurangkan risiko jangkitan.

6. Jangan cuci faraj menggunakan sebarang sabun, wangian atau douching. Gunakan air biasa saja.

7. Bagi pesakit diabetes, kawal paras gula dalam darah.

8. Pengambilan makanan yang mengandungi probiotik atau prebiotik dapat merawat masalah ni. Jauhi makanan yang diproses, produk sejuk beku dan minuman beralkohol.

Setakat ni saja perkongsian penulis tentang topik jangkitan kuman pada faraj. Diharapkan pembaca Bidadari.my mendapat maklumat yang diperlukan berkaitan isu ni. Dengan perkembangan teknologi, semua maklumat di hujung jari saja.

Sebagai wanita, jagalah Miss V kita dengan sebaik-baiknya. Jangan dibiarkan jika ada masalah berkaitan jangkitan walaupuan ianya ringan. Jika ada kelainan, segeralah berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan dan nasihat.

Semoga bermanfaat. Jemput juga baca artikel tentang punca faraj berbau dan kentut faraj

Rujukan

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.