Jadual imunisasi untuk bayi di Malaysia adalah berdasarkan Jadual Imunisasi program Imunisasi Kebangsaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Suntikan imunisasi mengikut jadual yang ditetapkan adalah sangat penting bagi memastikan herd imunity atau imuniti berkelompok di Malaysia sentiasa terpelihara dan yang paling utama, untuk melindungi bayi anda daripada penyakit merbahaya.

jadual imunisasi bayi 2019
Sumber: Tribunnews

Istimewa untuk anda, hari ini kami akan kongsikan jadual imunisasi bayi di Malaysia beserta jenis vaksin dan masa yang semua ibu bapa wajib tahu, supaya bayi anda tidak terlewat menerima suntikan dari klinik.

Semasa lahir

Selepas bayi anda dilahirkan, bayi anda akan disuntik dengan dua jenis vaksin iaitu:

  • BCG. Suntikan BCG adalah singkatan kepada Basile Calmette-Guerin iaitu vaksin yang memberi perlindungan kepada bayi anda terhadap penyakit Tuberkulosis.
  • Hepatitis B ( dos pertama ) pula diberikan kepada bayi anda untuk melindunginya daripada penyakit Hepatitis B.

Satu bulan

Apabila bayi anda berumur satu bulan, anda perlu membawa si manja ke klinik untuk mendapatkan suntikan Hepatitis B ( dos kedua ).

Dua bulan

Sedar tak sedar, bayi anda dah masuk dua bulan. Sekali lagi, anda perlu ke klinik untuk memberikan bayi anda suntikan vaksin yang berikut:

  • DTap ( dos pertama ). Suntikan DTap adalah kombinasi vaksin yang memberi perlindungan kepada bayi anda terhadap Difteria, Tetanus dan Pertusis. Ketiga-tiga penyakit ini adalah penyakit merbahaya yang boleh membawa maut.
  • Hib ( dos pertama ). Suntikan Hib adalah vaksin yang melindungi bayi anda daripada penyakit Haemophilus Influenzae type B.
  • Polia ( dos pertama ) diberikan kepada bayi anda untuk melindunginya daripada penyakit polio.

Tiga bulan

Genap sahaja bayi anda berumur 3 bulan, sekali lagi anda perlu membawanya ke klinik untuk mendapatkan suntikan:

  • DTaP ( dos kedua )
  • Hib ( dos kedua )
  • Polio ( dos kedua )
jadual imunisasi bayi 2019
Sumber: Wanista

Lima bulan

Apabila bayi anda berumur lima bulan, suntikan yang akan diberikan ialaj seperti berikut:

  • DTaP ( dos ketiga )
  • Hib ( dos ketiga )
  • Polio ( dos ketiga )

Enam bulan

Anda akan diberikan tarikh temujanji apabila bayi anda berumur enam bulan untuk mendapatkan suntikan:

  • Hepatitis B ( dos ketiga )
  • Measles ( dos pertama ) untuk melindungi bayi anda daripada demam campak.

Sembilan bulan

Temujanji anda yang seterusnya ialah apabila bayi anda berumur sembilan bulan di mana bayi anda akan diberikan suntikan yang berikut:

  • MMR ( dos pertama ) iaitu vaksin yang melindungi bayi anda daripada Measles (campak),Mumps (beguk) dan Rubella.
  • JE yang merupakan vaksin untuk mencegah penyakit Japanese Encephalitis. Namun vaksin ini hanya diberikan kepada bayi yang tinggal di Sarawak sahaja. Negeri lain tidak perlu.

Dua belas bulan

Apabila bayi anda menyambut ulang tahun kelahirannya yang pertama, anda akan mempunyain temujanji untuk mendapatkan suntikan MMR dos kedua.

Lapan belas bulan

Apabila bayi anda berumur satu tahun enam bulan, tarikh temujanji yang diberikan ialah untuk mendapatkan suntikan:

  • DTaP ( booster )
  • Hib ( booster )
  • Polio ( booster )
jadual imunisasi bayi 2019
Sumber: Irismyra

Dua puluh satu bulan

Jika anda menetap di Sarawak, bayi anda akan diberikan suntikan vaksin JE dos kedua apabila bayi mencecah usia dua puluh satu bulan.

Tujuh tahun

Apabila anak anda memasuki darjah satu, anda akan mendapat surat kebenaran imunisasi di mana pasukan kesihatan akan datang ke sekolah untuk memberikan anak anda suntikan berikut:

  • MR yang merupakan dos booster yang bertujuan untuk memberikan anak anda perlindungan terhadap Measles (campak) dan Rubella.
  • DT pula ialah dos booster yang memberi perlindungan terhadap Difteria dan Tetanus.

Tiga belas tahun

Jika anak anda adalah seorang perempuan, apabila anak anda berumur 13 tahun, suntikan HPV dos pertama dan kedua akan diberikan secara percuma di sekolah. Vaksin HPV iaitu Human Papillomavirus adalah bertujuan untuk melindungi anak anda daripada kanser serviks. Dos kedua akan diberikan dalam tempoh 6 bulan selepas dos pertama.

Lima belas tahun

Apabila anak anda berumur 15 tahun, anak anda akan diberikan vaksin Tetanus Booster.

Bagaimana pula dengan anak yang tidak pernah divaksinkan?

Terdapat juga kes di mana bayi tidak divaksinkan di atas sebab tertentu seperti berada di luar negara, berada jauh di pedalaman dan tidak dapat ke klinik, atau mungkin juga bayi tersebut mempunyai ibu bapa anti vaksin yang baru medapat kesedaran untuk memvaksinkan anak.

Untuk bayi yang tidak pernah divaksinkan, suntikan imunisasi yang pertama akan diberikan seawal lawatan pertama ke klinik. Vaksin akan diberikan berdasarkan umur bayi semasa dibawa ke klinik. Sebagai contoh, jika bayi berumur 2 bulan semasa dibawa:

  1. Lawatan pertama: Suntikan BCG dan Hepatitis ( dos pertama )
  2. Lawatan kedua ( satu bulan kemudian ): Suntikan Hepatitis B ( dos kedua ) dan DTaP-IPV//Hib ( dos pertama )
  3. Lawatan ketiga ( satu bulan kemudian ): Suntikan DTaP-IPV//Hib ( dos kedua )
  4. Lawatan keempat ( satu bulan kemudian ): Suntikan Hepatitis B ( dos ketiga ) dan DTaP-IPV//Hib ( dos ketiga )
  5. Apabila berumur 12 bulan: Suntikan MMR
  6. Apabila berumur 18 bulan: Suntikan DTaP-IPV//Hib ( booster )
jadual imunisasi bayi 2019
Sumber: Mstar

Suntikan vaksin tambahan yang tiada dalam jadual imunisasi kebangsaan

Terdapat beberapa jenis vaksin yang tidak tersenarai dalam jadual imunisasi kebangsaan, dan boleh anda dapatkan di klinik swasta. Di antara vaksin tersebut ialah:

  • Pneumokokal (conjugated vaccine)
  • Meningokokal
  • Rotavirus
  • Varicella / cacar air
  • Hepatitis A

Itulah dia jadual imunisasi bayi 2019 beserta jenis vaksin dan masa yang ibu bapa perlu tahu. Suntikan imunisasi adalah sangat penting bagi kesihatan bayi anda. Anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang petua hilangkan selsema dan petua hilangkan cirit birit.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.