Kita mengakui bahawa mazhab yang diguna pakai oleh orang Islam di Malaysia adalah daripada Mazhab Syafie namun kenalkah kita dengan Imam Syafie pengasas Mazhab Syafie dan tahukah kita mengenai 10 wasiat beliau?

Imam Syafie merupakan salah seorang daripada empat orang imam yang terkenal dalam bidang masing-masing. Imam Syafie merupakan seorang yang sangat fasih dalam bidang fiqh dan pakar dalam bidang perdebatan.

Imam Syafie merupakan pengasas kepada Mazhab Al-Syafie dan di Malaysia, mazhab imam Syafie merupakan rujukan utama dalam semua sudut hukum terutama sekali hukum ibadat  dan para ulama di Malaysia akan menentukan hukum berdasarkan kepada mazhab Imam Syafie.

Siapa Imam Syafie?

Imam Syafie dilahirkan pada bulan Rejab tahun 150 hijrah iaitu tahun yang sama dengan kewafatan Imam Abu Hanifah.  Imam Syafie dipercayai lahir di Gaza, Palestine.

Nama penuh imam Syafie ialah Muhammad bin Idris bin Abbas bin Uthman bin Syafie bin Said bin Abdu Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf. Melihat kepada nasab keturunannya, beliau berasal dari keturunan mulia iaitu keturunan Nabi Muhammad SAW.

Imam Syafie mula belajar membaca al-Quran daripada ibunya  sehingga beliau berjaya menjadi seorang huffaz (hafal al-Quran).  Imam Syafie mengembara keseluruh pelusuk negara untuk menuntut ilmu dan atas kesungguhan beliau menuntut ilmu, guru –guru Imam Syafie tidak dikenakan sebarang bayaran semasa mengajar beliau.

Beliau merantau ke bumi Mesir, Madinah, Iraq dan Yaman demi menuntut ilmu .

Imam Syafie mempunyai akal fikiran yang cerdas dan mampu menghafal al-Quran ketika berusia 9 tahun dan pada usia 15 tahun beliau telah diberi keizinan untuk untuk memberikan fatwa dihadapan orang ramai.  Beliau juga menjawat jawatan sebagai guru besar dan mufti di Masjidil Haram.

Imam Syafie mempunyai daya ingatan yang sangat baik dan mampu menghafal  pelbagai ilmu agama daripada ramai guru. Antara guru yang pernah mengajar Imam Syafie adalah; Sufyan bin Uyainah yang merupakan seorang mufti Mekah. Selain itu, Imam Syafie mendalami ilmu hadis daripada ramai guru iaitu Daud bin Abd Rahman Al-‘Aththar, Ibrahim bin Yahya Al- Aslami dan Abdul Aziz Muhammad Ad-Darawardi.

kisah Imam Syafie

Imej via Tayedmezahdia

Imam Syafie merupakan hambaNya yang sangat kuat beribadah. Beliau membahagikan masa malamnya kepada tiga blok kehidupan iaitu sepertiga malam belian menunaikan kewajipan sebagai lelaki berkeluarga, sepertiga malam diperuntukkan untuk berzikir dan solat dan sepertiga lagi untuk tidur.  Imam Syafie merupakan antara hamba Allah yang menghabiskan 1 al-quran didalam solat sunat tahajud.

Imam Syafie sangat terkenal sebagai figura yang rajin menulis dan ada antara ahli hadis dan ilmuan meminta beliau untuk menulis untuk dijadikan sebagai rujukan. Antara karya Imam Syafie yang mashyur sebagai rujukan adalah;

Ikhtilaf al-Hadits ; membahaskan hujah mengenai hadis dan mempertahankan sunnah yang diwariskan oleh Nabi Muhammad .

Al-Hujjah ; kitab ini ditulis oleh Imam Syafie ketika beliau sedang mengajar di Baghdad. Kitab ini membincangkan mengenai ilmu fiqh berdasarkan Qaul Qodim (pendapat lama).

Al-Risalah ; ditulis atas permintaan Abdurrahman bin Mahdi dan membahaskan mengenai ilmu al-fiqh.

Imam Syafie pernah menjadi mangsa fitnah. Ini berlaku ketika beliau berkhidmat sebagai setiausaha dan penulis istimewa kepada gabenor di Yaman. Memandangkan Imam Syafie bukanlah berasal dari Yaman tetapi berjaya menjawat jawatan penting telah menimbulkan rasa tidak puas hati . Imam Syafie ditangkap dan dirantai sementara menunggu hari pengadilan.

Imam Syafie begitu tenang ketika diftinah dan beliau memohon kepada Allah untuk mendapat keadilan sewajarnya. Semasa di dalam bilik pemeriksaan, Imam Syafie menghadap sultan dalam keadaan melutut dan memberi salam. Kepetahan dan kebijaksanaan Imam Syafie telah membuatkan sultan lembut hati  dan akhirnya sultan telah mengarahkan supaya rantai ditangan Imam Syafie dibuka.

Imam Syafie berkahwin pada usia 30 tahun dengan Humaidah binti Nafi’ dan mempunyai tiga orang anak iaitu seorang anak lelaki dan dua orang anak perempuan. Imam Syafie juga telah berkahwin dengan seorang hamba perempuan dan dikurniakan seorang anak lelaki.

Imam Syafie seorang yang rajin dan tekun dalam menuntut dan ini menyebabkan beliau kurang rehat dan menghidap penyakit buasir yang kritikal. Imam Syafie wafat di Mesir pada malam Jumaat hari akhir Rejab tahun 204 Hijrah seusai melaksanakan solat maghrib.

10 Pesanan Terakhir Imam Syafie

Selain kitab sebagai panduan kepada para muridnya, Imam Syafie juga telah meninggalkan wasiat untuk dijadikan rujukan dan panduan umat Islam pada hari ini. Antara kata-kata mutiara Imam Syafie yang kita dapat pelajari adalah;

Hak kepada Allah SWT ~ Maksudnya mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia daripada melakukan keburukan, menggemari ketaatan dan sebaliknya membenci kemaksiatan.

Hak kepada Rasulullah SAW ~ Bermaksud sentiasa bersalawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-sunnah (hadis), menyayangi sahabat baginda dan berlumba-lumba dalam mencari kelebihan daripada Allah.

Hak kepada diri ~ Bermaksud mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang Allah anugerahkan.

Hak kepada malaikat maut ~ Bermaksud menggandakan kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang dizalimi, membuat persediaan untuk mati dan menanam rasa cinta kepada Allah SWT.

Hak kepada kubur ~ Bermaksud membuang tabiat suka menabur fitnah, menjauhi tabiat suka kencing merata-rata tempat, memperbanyakkan solat tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.

Hak kepada malaikat Munkar dan Nakir ~ Bermaksud tidak berdusta (berkata benar), meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati sesama manusia.

Hak kepada Mizan (neraca timbangan amalan pada hari akhirat) ~ Bermaksud menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesulitan.

Hak kepada Sirat (titian yang merentangi neraka pada hari akhirat) ~ Bermaksud membuang tabiat suka mengumpat, memiliki sifat warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

Hak kepada Malik, Malaikat Penjaga Neraka ~ Bermaksud menangis lantaran takut kepada Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah ketika terang-terangan serta sembunyi dan memperelokkan akhlak.

Hak kepada Ridhwan, Malaikat Penjaga Syurga ~ Bermaksud kita redha kepada qada’ dan qadar Allah, bersabar ketika menerima bala, bersyukur  atas nikmat pemberian Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.

Kitab-kitab peninggalan ulama seperti Imam Syafie sewajarnya dijadikan bahan rujukan utama dalam kehidupan seharian supaya kita tidak alpa dan tersasar dari landasan yang benar. Semoga artikel ini memberi sedikit info dan manfaat buat anda .

 

Rujukan

Penulis: Noor Hazreen Mohd Mokhtiar

Noor Hazreen Mohd Mokhtiar

Berkhidmat sebagai seorang guru tuisyen Bahasa Melayu mendatangkan minat dalam bidang penulisan.Suka berkongsi idea dan info dengan rakan-rakan tak kira di alam maya atau realiti . Mengharapkan setiap yang membaca mendapat manfaat yang sebaiknya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.