Jom fahami apa itu ibu tumpang.

Setiap pasangan yang sudah berumah tangga, pastinya mengimpikan kehadiran cahaya mata. Anak itulah menjadi pengerat hubungan suami isteri, pewaris keturunan dan harta. Malahan, kehadiran anak juga akan melengkapkan lagi institusi kekeluargaan.

Namun, bukan semua pasangan dianugerahkan rezeki cahaya mata. Ada yang cepat diberikan anugerah ni. Ada yang terpaksa tunggu lama hingga bertahun-tahun. Malah, ada pula yang langsung tak berpeluang menikmati rezeki tersebut.

Perkembangan sains dan teknologi yang pesat memberikan pelbagai alternatif dari segi kaedah rawatan dan perubatan bagi mengatasi masalah ketidaksuburan. Selain kaedah Permanian Beradas (IUI) dan Persenyawaan In Vitro (IVF), terdapat kaedah ibu tumpang (surrogate mother).

Dalam artikel ni, penulis akan mengupas isu berkaitan ibu tumpang dari aspek agama Islam dan sains. Diharapkan perkongsian ni dapat menjernihkan kekeliruan para pembaca tentang isu yang sering diperkatakan ni.

Maksud Ibu Tumpang

Ibu tumpang ialah kaedah menumpang rahim seseorang wanita yang berkeupayaan untuk hamil secara sukarela atau dibayar dengan kadar tertentu. Jika melibatkan bayaran tertentu ia akan melibatkan kontrak yang dipanggil ‘surrogacy contract.’

Wanita ini akan mengandungkan anak yang ditumpang benih pada rahimnya selama 9 bulan. Selepas melahirkan anak, wanita tersebut perlu menyerahkan bayi kepada pasangan berdasarkan perjanjian yang disepakati dalam kontrak.

Perjanjian dalam kontrak yang disepakati tu melibatkan sejumlah wang yang perlu dibayar oleh pasangan suami isteri kepada ibu tumpang bayi mereka. Ibu tumpang tersebut akan dibayar setelah menyerahkan bayi mengikut masa yang dijanjikan.

Setelah itu, suami isteri tersebut akan memelihara anak tersebut yang dianggap sebagai anak kandung dari segi undang-undang.

Mengapa Wujud Ibu Tumpang Dari Aspek Sains?

Kaedah ibu tumpang wujud disebabkan oleh beberapa faktor iaitu:

  1. Wanita yang mempunyai ovum (telur) tetapi tak boleh hamil walaupun telah melakukan kaedah-kaedah yang lain.
  2. Rahimnya tak mampu untuk mengandung.
  3. Tiada rahim kerana kecacatan atau terpaksa dibuang kerana pembedahan.
  4. Wanita yang tiada masalah pada rahim, boleh mengandung tetapi nak kekalkan kecantikan tubuh badan.
  5. Wanita yang telah menopause tetapi nak anak.
  6. Masalah ketidaksuburan sama ada kedua-dua pasangan suami isteri atau salah seorangnya.
  7. Wanita yang menjadikan khidmat ibu tumpang untuk mencari pendapatan.

Pandangan Islam

Walaupun kaedah moden ni telah terbukti dan berjaya membantu pasangan yang memerlukan anak, namun bagaimana pandangan Islam tentang ibu tumpang ni? Adakah ia menepati syariat dan berlandaskan lunas-lunas Islam?

Terdapat 5 kaedah perlaksanaan ibu tumpang dari aspek perubatan, iaitu:

1. Sperma dan ovum pasangan suami isteri disenyawakan di luar. Kemudiannya, dimasukkan ke rahim wanita ajnabi (orang asing).

2. Sperma dan ovum pasangan suami isteri disenyawakan di luar. Kemudiannya, dipindahkan ke dalam rahim isteri lelaki yang lain (bagi yang berpoligami).

3. Sperma dan ovum diambil daripada lelaki dan wanita yang berlainan (bukan pasangan suami isteri) dan disenyawakan di luar. Kemudiannya, dimasukkan ke dalam rahim wanita ajnabi yang lain. Apabila telah selamat melahirkan anak, maka akan diserahkan kepada orang lain yang inginkan zuriat.

4. Sperma suami disenyawakan dengan ovum wanita ajnabi (atas faktor tertentu yang menyebabkan isteri tidak mahu atau tak boleh hamil). Wanita tersebut akan mengandungkan anak tersebut sehingga proses kelahiran. Setelah anak diserahkan, pasangan tersebut akan membayar sejumlah wang kepada wanita ajnabi tu.

5. Ovum isteri disenyawakan dengan sperma lelaki ajnabi. Kemudiannya, dipindahkan ke dalam rahim wanita ajnabi yang lain. Selepas melahirkan bayi tersebut, pasangan tersebut akan memberikan bayaran kepada ibu tumpang tersebut.

Selepas meneliti 5 kaedah yang digunakan ni, penggunaan kaedah ibu tumpang adalah haram di sisi Islam. Pengharaman kaedah ibu tumpang berlandaskan maqasid syariah iaitu prinsip hifz al-Nasl yang menekankan penjagaan nasab (keturunan).

Mengapakan Islam Mengharamkan?

Terdapat 2 sudut yang diteliti berkaitan kaedah ibu tumpang, iaitu:

1. Walaupun ovum dan sperma diambil daripada pasangan suami isteri yang sah, namun apabila dipindahkan ke rahim wanita lain dikhuatiri berlaku kekeliruan dari sudut nasab anak.

2. Sumbangan sperma, ovum, embrio dan rahim oleh pihak ketiga atau penggunaan kaedah yang lain haram di sisi syarak.

Pada masa akan datang, ia akan menjadi pergaduhan dan kekecohan kerana masing-masing akan mendakwa anak tersebut merupakan zuriat asal mereka. Bayangkan pasangan yang berbangsa lain menggunakan perkhidmatan ibu tumpang yang berbangsa lain pula, bukankah akan menimbulkan kekeliruan?

Melalui khidmat ibu tumpang, anak yang dikandung dan dilahirkan mempunyai hubungan genetik atau tiada langsung dengan ibu tumpangnya kerana ovum dan sperma milik orang lain.

Di luar negara, misalnya di Eropah, kadar permintaan untuk menggunakan khidmat ibu tumpang semakin meningkat. Malahan, setakat ini, tiada undang-undang khusus untuk menyekat kaedah rawatan ketidaksuburan yang menggunakan khidmat ibu tumpang.

Disebabkan bayaran yang diterima oleh ibu tumpang sangat tinggi, perkhidmatan yang ditawarkan juga semakin banyak. Khidmat ibu tumpang yang melibatkan kontrak dianggap sah di Amerika Syarikat, California dan Ukraine.

Kesimpulannya, kaedah ibu tumpang diharamkan oleh agama Islam untuk mengelakkan percampuran nasab yang akan menimbulkan kekeliruan di kemudian hari. Dengan membenarkan kaedah ni, identiti si anak dan keturunannya juga boleh dipersoalkan.

Pengharaman ibu tumpang melibatkan beberapa aspek iaitu:

a. Melanggar hukum dan takdir yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T

b. Kecelaruan pada nasab

c. Peranan ibu yang tak menepati syariat Islam

d. Fatwa larangan dalam penyewaan rahim

Dengan adanya perkembangan dari segi perubatan, pasangan yang inginkan anak boleh mencuba kaedah lain yang tak melanggar syarak. Jika tidak berjaya, anggaplah ketiadaan anak itu sebagai ujian yang diturunkan oleh Allah. Percaya pada hikmahnya.

Semoga bermanfaat. Jemput juga baca artikel tentang pemakanan untuk ikhtiar hamil dan tanda subur wanita

Rujukan

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.